MENANG BESAR di UIAM : Pro-Mahasiswa dan calon bebas
Pilihanraya kampus bagi Universiti Islam Malaysia (UIAM) calon pro-Mahasiswa dan calon bebas hampir menyapu bersih kesemua kerusi fakulti dan kerusi antarabangsa yang dipertandingkan. Manakala pengundian bagi dua kerusi Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu ditangguh sehingga 29 Januari depan, selepas kumpulan pro-Mahasiswa membuat bantahan terhadap seorang calon yang bertanding di kerusi berkenaan.
Menurut keputusan rasmi hari ini, pro-Mahasiswa memenangi 17 kerusi fakulti manakala calon bebas menang tiga kerusi. Pencapaian tersebut menyamai jumlah kerusi yang dimenangi pro-Mahasiswa pada sesi lalu.
Calon bebas juga menyapu bersih kesemua lima kerusi antarabangsa yang dipertandingkan hari ini. Manakala calon pro-Aspirasi dan calon Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula masing-masing memenangi satu kerusi.
Selepas penamaan calon Isnin lalu, kumpulan Pro-Mahasiswa UIAM (WUFI- We Unite For Islam) sudah memenangi dua kerusi tanpa bertanding di Fakulti Kejuruteraan di kampus Gombak dan Fakulti Kejururawatan di kampus Kuantan. Seorang calon bebas pula menang satu kerusi tanpa bertanding di kerusi Fakulti Teknologi Maklumat dan Informasi.
Dalam hari pengundian, bagi kampus Gombak, pro-Mahasiswa menang sembilan kerusi manakala calon bebas, pro-Aspirasi dan PKPIM masing-masing menang satu kerusi. Bagi kampus Kuantan pula, pro-Mahasiswa memenangi lapan kerusi, dua dimenangi oleh calon bebas dan pengundian dua kerusi lagi ditangguhkan.
Menurut bekas Presiden MPP UIAM sesi 2000/2001, saudara Fadzli Ramli menyifatkan kemenangan WUFI memasuki tahun ke sepuluh berturut-turut (kecuali tahun boikot pada 2006) membuktikan kematangan berpolitik mahasiswa UIAM.
"Budaya merasuah pelajar, peraturan pilihanraya yang membelakangkan demokrasi dan sikap tunduk pada politik parti pemerintah akhirnya tetap memberikan kemenangan pada mahasiswa. Kemenangan ini amat bermakna tetapi pengisian selepas ini lebih penting."
0 comments:
Catat Ulasan