Sabtu, Oktober 12, 2013

Kenapa HEP tidak layak kendali pilihan raya kampus?

Bismillah.

Anda tentu boleh faham mengapa proses dan perjalanan pilihan raya di negara ini sukar sangat dijalankan secara adil, telus dan bebas, 'kan?  Elit pemerintah, apatah yang sudah begitu lama "berkuku", terutama yang bergelumang dengan rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa, malah menerajui takhta secara zalim dan menindas, tentu akan berusaha sedaya mungkin mempertahankan singgahsana dengan apa kaedah jua


Biarpun siri perhimpunan dan perarakan tunjuk perasaan menuntut pilihan raya bersih sudah diatur sejak lebih lima tahun lalu dan dihadiri ratusan ribu orang menghantar mesej jelas, namun sistem yang pincang-tempang itu tetap diteruskan.

Sekurang-kurangnya kita dapat memahami apa yang berlaku. Ya, begitu dahsyatnya tarikan kuasa sehingga penyandang bermati-matian mengeksploitasi dan memanipulasi apa jua kemudahan kerajaan, media dan wang.



Peralihan tampuk pemerintahan, terutama di peringkat persekutuan, bukan saja membuka laluan untuk perubahan dan reformasi lebih menyeluruh, malah mungkin akan mengheret bekas pemimpin yang ditolak rakyat ke muka pengadilan, selain hilang segala keistimewaan dan kekebalan.

Tetapi saya agak kebingungan dengan situasi di IPTA, yang bakal melangsungkan pilihan raya kampus (PRK). Perkembangan demokrasi di universiti tempatan, khususnya dalam proses pemilihan majlis perwakilan pelajar, rupanya lebih tragis dan buruk berbanding suasana pilihan raya umum. Tiada istilah "padang permainan sama rata".

Pertama, tarikh PRK semacam menjadi misteri dan teka-teki. Begitu payah sekali pihak universiti (Hal Ehwal Pelajar) untuk membuat pengumuman awal. Dan apabila diisytiharkan, selalunya tarikh yang dipilih itu cuba memerangkap mahasiswa yang tidak cenderung kepada Umno-BN (Pro-Mahasiswa).
Manakala tempoh berkempen singkat sekali, mengambil kira helah cuti hujung minggu (terbaru di UKM, cuti Aidiladha) dan kesukaran calon memasuki kolej-kolej kediaman untuk bertemu pelajar. Tegasnya, Pro-M mahu diasak bertanding dalam keadaan tidak bersedia; ibarat kaki dan tangan diikat, seterusnya diajak bertinju!

(Di UKM,  pengumuman tarikh PRK dibuat pada 11 Oktober ketika pelajar sudah mula pulang ke kampung untuk bercuti sehingga 16 Oktober sempena Aidiladha. Malah setiap calon bertanding mesti mempunyai sijil Bengkel Kepimpinan Pelajar HEP sedangkan bengkel tersebut hanya diadakan sebaik habis cuti iaitu 17 Oktober manakala keesokannya sudah penamaan calon).

Kedua -- sebenarnya inilah yang lebih utama -- pihak HEP yang sepatutnya bertindak bebas dan adil  sebagai pengendali PRK, bukan sahaja mengambil sikap memihak atau pilih kasih, iaitu untuk memberi kemenangan mudah kepada kumpulan Aspirasi pro-Umno, malah berkomplot menyekat peluang Pro-M.

Lapan tahun dulu, saya pernah mendedahkan konspirasi HEP dengan Aspirasi, yang mengadakan mesyuarat mingguan di Ibu Pejabat Umno, di PWTC,  melibatkan Timbalan-timbalan Naib Canselor HEP IPTA seluruh negara, termasuk dari Sabah dan Sarawak, yang turut dihadiri sayap parti komponen BN, misalnya Puteri Umno dan Pemuda MCA. Ada kalanya pertemuan sulit itu dipengerusikan wakil Pemuda Umno!

Bayangkan, mesyuarat yang sering diketuai Menteri Pengajian Tinggi, dengan kehadiran TNC HEP dan wakil Aspirasi setiap universiti, membincangkan bagaimana kaedah terbaik untuk mengalahkan kumpulan pelajar yang lain, termasuk meminda peraturan PRK, bagi menutup potensi mahasiswa yang dilihat propembangkang.
Tahun lalu, terdedah Ops 2020, yang juga melibatkan HEP, Umno, Biro Tata Negara, Jabatan Perdana Menteri dan agensi kerajaan yang lain, bagi memastikan semua 20 IPTA dikuasai pelajar Aspirasi. Pelbagai taktik licik dibincangkan untuk mencapai target yang disasarkan.

Dan baru-baru ini, terbongkar satu lagi komplot jahat yang sama, turut membabitkan TNC HEP, khususnya di Universiti Malaya, melalui kursus pemantapan jentera dan calon PRK, di Melaka (cadangan awalnya di Negeri Sembilan) pada 18-20 September, membincangkan kaedah untuk mempertahankan penguasaan Aspirasi di universiti tertua itu.
Beberapa makalah diedarkan dalam kursus tersebut, antaranya bertajuk "Kenapa belia perlu tolak Pakatan Rakyat", "Akujanji Barisan Nasional adalah Islamik", dan "50 Dalil kenapa DAP mesti ditolak umat Islam".
Sekiranya kursus itu dianjurkan Umno, malah dirasmikan Presidennya, Najib Razak sekalipun, kita dapat menerimanya dengan senang hati. Ya, apa salahnya kalau Umno-BN, ataupun PAS, KeADILan dan DAP mahu menyediakan kursus buat kader-kader mereka di universiti; silakan ....

Isu besar di sini ialah pembabitan proaktif HEP dan Kementerian Pendidikan -- yang seharusnya bertindak bebas-adil sebagai pengendali PRK -- berkomplot bersama satu kumpulan pelajar (Aspirasi) bagi mengalahkan saingan mereka (Pro-M), dengan perbelanjaan dana awam, yang juga disokong dekan fakulti masing-masing.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang hebat dikritik Bersih itu pun tidak seburuk HEP dalam mengendalikan pilihan raya umum, 'kan? Lebih pelik, saban tahun Umno mendakwa hampir semua IPTA dikuasai Aspirasi kecuali beberapa kampus di Lembah Klang, misalnya UIAM, UKM dan UM. Biarkanlah pelajar bebas bereksperimen menentukan pemimpin yang dipilih. Lagi pun, apalah kuasa-pengaruh Pro-M jika mereka menang pun?

Saya amat menyokong gesaan rakan-rakan Pro-M, khususnya Presiden Gamis, Azan Safar, supaya HEP yang terjejas teruk kewibawaannya itu tidak lagi mengendalikan PRK. Sudah banyak bukti HEP mengkhianati amanah sebagai badan bebas, malah menggalakkan perpecahan di kampus.

"Saya cadang agar mahasiswa yang uruskan pilihan raya mereka sendiri. Tak susah, buka borang permohonan, adakan kursus pengurusan pilihan raya, pilih sukarelawan di kalangan mahasiswa dan HEP boleh menjadi pengurus kepada bahagian-bahagian teknikal dan logistik, selain sekadar pemantau daripada luar," kata Azan, sambil mengalu-alukan pemantauan badan luar. --

sumber: Detik daily
lutfi_detik@yahoo.com

0 comments:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Ayuh mahasiswa, bangkit!!!

Dah daftar belum?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites