Selasa, Disember 30, 2008

Mahasiswa Kutuk Serangan Biadap Israel di Gaza



Mahasiswa dari Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) bersama kira-kira 500 aktivis dari pelbagai NGO dan parti politik serta front-front Mahasiswa Islam yang lain telah menyertai himpunan aman membantah kekejaman rejim Israel ke atas Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat tengah hari tadi. Apa yang lebih menarik adalah himpunan hari ini juga turut disertai beberapa aktivis Palestin yang berada di Malaysia. Mereka membawa bendera Hamas, sepanduk yang mengecam Israel, sambil berselawat dan bertakbir.



Himpunan diadakan bagi menyerahkan memorandum pada kedutaan Amerika menuntut Amerika segera campur tangan dalam memaksa Israel menghentikan segera serangan ke atas penduduk Palestin. Serangan pada sabtu lalu sesungguhnya menunjukkan Israel melanggar ketetapan yang telah dibuat PBB, malah Israel dengan sengaja membunuh lebih 345 umat Islam Palestin dan 1650 tercedera parah sehingga ke saat ini.


Ketua Tentera Rejim Zionis , Gabi Ashkenazi telah mengugut pada Khamis lepas akan mengerah seluruh kekuatan tentera bagi menyerang balas Gaza seperti yang di arahkan oleh kerajaan Israel . Beliau berkata serangan ini akan melibatkan kekuatan penuh ketenteraan ke atas fraksi pejuang Palestin di Gaza.
sumber ; http://gamisdaily.com/

Isnin, Disember 29, 2008

UMAT ISLAM DIMINTA MUHASABAH DIRI.....


PUTRAJAYA, 29 Dis - Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru umat Islam di negara ini supaya melakukan perubahan demi memartabatkan dan memperkasakan kedudukan Islam ke tahap lebih gemilang.


Baginda bertitah sehubungan itu umat Islam perlu memahami dan menzahirkan wawasan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t melalui kitab suci Al-Quran dan Al-Hadis di mana Islam dan umatnya perlu memberi sinar "rahmatan lil a'lamin" (pembawa rahmat bagi seluruh alam).

Wawasan itu juga perlu dijadikan tunggak ke arah memupuk semangat perpaduan sesama Islam dan bukan Islam agar rangkaian kehidupan sosial yang mantap dapat diwujudkan, titah baginda pada majlis sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1430H/2OO8M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini, lapor Bernama.

"Sikap tidak menghormati para ulama, suka mengambil jalan mudah dengan mengenepikan ajaran agama, malas berfikir dan berusaha, bermusuhan sesama umat Islam dan mengutamakan kepentingan peribadi tanpa mempedulikan hukum halal dan haram perlu ditinggalkan oleh semua umat Islam kerana unsur-unsur inilah yang telah menjadi kekangan bagi membangunkan ummah yang gemilang," titah baginda.

Ahad, Disember 28, 2008

TAHUN BARU..AZAM BARU..HARAPAN BARU MAHASISWA.....

SALAM MAAL HIJRAH...SELAMAT TAHUN BARU.....



Pejam, celik, pejam, celik…kita dah pun masuk tahun baru Hijrah 1430..Alhamdulillah, kita masih diberi kesempatan untuk terus menghirup udara segar ciptaan Tuhan…(hakikatnya, bumi dah makin tercemar dek peperangan dan kemaksiatan!)


Sahabat...kita masih diberi 2 nikmat terbesar iman dan islam untuk terus melangkah membawa panji-panji Islam tanpa gentar dengan berbekalkan keyakinan bahawa Allah adalah sebaik-baik penolong.. Marilah kita reflect kembali apa yang kita dah buat pada tahun lepas dan sebelum ini..Terlaksanakah segala apa yang dirancang? atau tergendala? atau buat tapi tak sepenuh hati?


Kata-kata ini buat diri kami juga, sebagai manusia yang terbatas kudrat..kadang-kadang tak semua yang kita rancang terlaksana ..Betul tak sahabat? Benarlah..ALLAH ADALAH SEBAIK-BAIK PERANCANG. Walau serapi dan sistematikmya rancangan kita namun ALLAH lebih mengetahui setiap apa yang akan berlaku. Tapi janganlah kita jadikan ini sebagai alasan untuk kita lemah dalam berjuang.



Mengingati Tahun Baru Hijrah ini juga, sepatutnya mengingatkan kita tentang penghijrahan Nabi junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W ke Habsyah( Madinatul Munawwarah). Ketabahan, ketaatan baginda dalam mengikut perintah Allah perlulah kita contohi dalam menyebarkan dakwah pada masa sekarang. Walau banyak halangan baginda hadapi, namun, baginda tetap cekal dan tabah,… terus, terus dan terus menyebarkan dakwah…dan lihatlah sekarang baginda telah menjadi lagenda buat kita umat islam dan tidak dapat dinafikan, bagi orang bukan islam sendiri…mereka mengakui bahawa Nabi Muhammad adalah role model yang terbaik…


Mungkin kita perlu teguhkan dan perkuatkan pasak kita pada tahun ini, menjadikan RASULULLAH sebagai QUDWAH HASANAH.. INSYAALLAH..Moga Tahun Baru ini membawa AZAM BARU..HARAPAN BARU MAHASISWA..... dalam konteks kita sebagai mahasiswa/i, cabaran dalam menuntut ilmu, membuat assignment dan tesis juga peperiksaan adalah 1 lumrah ke"survival"an kita dalam mencapai cita-cita.


adakalanya kita teguh berdiri dan adakalanya pula kita jatuh..tapi yang paling penting sahabat bagaimana kita mahu bangun semula dari kegagalan dan terus bertahan dengan bersabar. ujian hidup ini sebenarnya mematangkan cara pemikiran seseorang dan jika diselami ia adalah suatu kemanisan hidup yang diberikanNya.

kami GMUKM KL mengajak sahabat-sahabat kita ciptakan 1 REVOLUSI BARU..1 PERUBAHAN BARU..bersama MAHASISWA, memimpin kecemerlangan.. MAHASISWA adalah AGEN PERUBAHAN seharusnya mempunyai azam dan semangat dilengkapi jati diri yang kuat agar MAMPU mengharungi arus globalisasi zaman serta berupaya membentuk mazyarakat ke arah pembinaan jati diri dan sahsiah yang terpuji.....

Sabtu, Disember 27, 2008

PENGUMUMAN PENTING.....

Tuanku Ja'afar mangkat


Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diserang angin ahmar SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman, mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), di sini, kira-kira jam 11.45 pagi semalam kerana angin ahmar.



Kami barisan pimpinan GMUKM KL mengucapkan SALAM TAKZIAH kepada keluarga baginda di atas kemangkatan Baginda...semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di antara hamba-hamba yang soleh.amin.....


read more http://www.bharian.com.my

SALAM TAKZIAH KEPADA SAHABAT KITA...



Kami barisan pimpinan GMUKM KL mewakili seluruh mahasiswa/i UKM mengucapkan SALAM TAKZIAH kepada sahabat kita Zalifahtul Husna binti Zulkifli, Mahasiswa Forensik, tahun3.....seorang NYDP PMFSKB (Naib Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu) .


Untuk makluman sahabat-sahabat, beliau yang kita sayangi ini telah terlibat dengan kemalangan pada pagi Sabtu, 27 Disember 2008...amat menyedihkan pula kemalangan itu berlaku ketika beliau sedang menunggang motor lantaran mengalami kecederaan yang parah dan serius di anggotanya..dan ketika ini sedang terlantar di Hospital Manjong, Perak..


Justeru, kami barisan pimpinan GMUKM KL mengambil inisiatif untuk membuat kutipan derma kilat dan menghantar rombongan hampir 3 buah kereta yang bertolak pada pagi Ahad, 28 Disember dari Kuala Lumpur..


Sehubungan dengan itu kami mengalu-alukan kepada sahabat-sahabat yang ingin memberi sumbangan bolehlah menyalurkan sumbangan terus ke Bendahari PMFSKB, Siti aswati bt. Tugiman di talian: 014-5007528...


Untuk makluman semua, sahabat yang dikasihi kita ini seorang yang amat peramah dan mudah mesra dengan semua orang, pendek kata mudah didekati dan senang untuk diajak berbual walaupun dengan orang yang tidak dikenali..... juga seorang yang amat aktif dalam berpersatuan sehingga berjaya dinobatkan dan terpilih untuk menjawat sebagai NYDP PMFSKB.. dalam keluarganya beliau seorang kakak yang amat prihatin dan bersifat penyayang terhadap adik-adiknya...dalam bergerak kerja pula, dia amat komited dan tekun melaksanakan tugasannya dengan bersungguh-sungguh.


Sama-samalah kita mendoakan semoga beliau cepat sembuh dan dapat menjalani kehidupan harian seperti sediakala. Amin.

Khamis, Disember 25, 2008

WASPADA SAMBUTAN TAHUN BARU!



KEHADIRAN tahun baru dilihat sebagai satu hari perayaan yang disambut dengan pelbagai upacara yang kebiasaannya menelan perbelanjaan yang besar. Orang ramai diajak berkumpul di tempat-tempat yang tertentu sama ada secara terbuka mahupun tertutup dan mereka disajikan dengan pelbagai program hiburan yang mengasyikkan serta bertentangan dengan syarak.


Bahkan di sesetengah perhimpunan tersebut ia dicemari dengan aksi pergaulan bebas di antara kaum lelaki dan perempuan, pesta tari-menari, penggunaan pakaian yang menjolok mata bahkan adakalanya minuman keras turut disajikan sambil masing-masing menunggu kedatangan detik 12 malam yang menunjukkan masuknya tahun baru.Maka sorak-sorai serta jerit-pekik gembira bergema apabila jam tepat menunjukkan pukul 12.


Hiburan-hiburan berunsur maksiat ini akan berterusan sehingga ke pagi hari. Ini sebenarnya budaya kaum yang ingkar kepada perintah Allah yang telah menjadi ikutan muda-mudi Islam pada masa ini. Budaya sebegini begitu giat dipropagandakan di negara-negara Islam melalui serangan ideologi oleh musuh-musuh Allah agar umat Islam terpesong daripada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Hakikatnya, kita telah diperingatkan tentang niat buruk golongan ini melalui Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)." (al-Baqarah: 120)

read more http://al-fikrah.net/News/article/sid=337.html


Rabu, Disember 24, 2008

WARKAH BUAT MAHASISWI

MAHASISWI - Golongan majoriti yang terus mewarnai persada kampus tanahair dengan warna-warni perjuangan yang seindah pelangi. Kewujudan mereka menggambarkan betapa besar dan bermaknanya mereka dalam perjuangan bagi menegakkan kebenaran dan keadilan.



Percaya atau tidak, golongan mahasiswi inilah penggerak utama dalam setiap agenda mahupun secara direct atau indirect.
Pada era ini, mahasiswi perlu sedar bahawa mereka punya peranan dan tanggungjawab yang besar dalam meraih dan menguasai segala bidang baik dari segi akademik, sahsiah diri dan juga skil kepimpinan.


Hakikatnya, semua ini perlu ditunjangi dengan Iman dan Taqwa sebagai benteng paling utuh dalam mendepani cabaran. Kefahaman yang jelas dalam diri setiap individu juga penting tentang matlamat dan halatuju kewujudan mereka di kampus agar kehadiran mereka dirasai dan memberi erti bagi warga kampus khususnya dan kepada masyarakat amnya.


TEMAN MOTIVASI ANDA......




BERUSAHA, BERKORBAN, BERDOA DAN BERTAWAKAL........


SEMESTER dua telah membuka tirainya....dan keputusan peperiksaan semester 1 telah pun keluar. GMUKM mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka yang telah lulus dan berjaya mendapat pointer yang tinggi.

kepada sahabat yang tidak begitu bernasib baik dan perlu mengulangi peperiksaan, janganlah kita berasa lemah dan putus asa....kerana masih ada peluang untuk kita bangkit semula dan setiap kegagalan itu tidaklah bermakna kita akan gagal selama-lamanya......harapan ibu ayah melangit tinggi di kampung perlulah kita sematkan di dalam jiwa sebagai PEMBAKAR OBOR SEMANGAT BERJUANG sama ada dalam menuntut imu atau pun dalam aktiviti seharian kita.


menghadapi ujian hidup memerlukan kesabaran dan kecekalan yang tinggi. pada masa yang sama juga, sahabat-sahabat haruslah sentiasa memastikan SEMANGAT dan PENDIRIAN TETAP UTUH kerana pelbagai perkara yang bukan jangkaan kita mungkin akan berlaku pada suatu ketika nanti dan ia semestinya mahukan sesuatu PENGORBANAN.....


Khususnya untuk sahabat-sahabat yang telah memulakan kuliah di samping sibuk menguruskan pelbagai program yang akan berlangsung dalam masa terdekat ini terutamanya pada bulan januari ini nanti.. GMUKM amat bangga dan berbesar hati dengan sahabat sekalian kerana berusaha melaksanakan tugasan dengan seikhlasnya walaupun terdapat banyak masalah yang kita semua terpaksa hadapi.


jika kita lihat dan renung-renungkan semula terlalu banyak program kolej dalam masa yang SERENTAK dan kita dibebankan dengan tugasan yang memerlukan masa sehingga menjejaskan masa belajar kita sebagai seorang MAHASISWA. sebagai contoh, dalam bulan januari 2009 sahaja kita akan menyaksikan pelbagai program mega kolej, "UNTUKMU PALESTIN" dan selepas itu program fiesta citra budaya yang melibatkan semua kaum melayu, cina dan india, Pesta Tanglung, Pesta Ranggoli.....dan sebagainya.




selain itu sahabat, kita juga acapkali setiap tahun menjadi mangsa kepada masalah merit dan penempatan kolej yang masih kurang telus dan adil. masalah kemudahan wireless dan kebajikan kolej-kolej luar seringkali dilaungkan tetapi masih lagi tidak selesai sehingga kini. dan GMUKM percaya banyak lagi masalah yang dihadapi sahabat-sahabat tetapi masih belum lagi dapat disuarakan. mungin adakah benar SUARA MAHASISWA kita DISEKAT dan TIDAK DIAMBIL PEDULI??


sedar atau pun tidak, percaya atau pun tidak kita terpaksa korbankan masa belajar, wang dan tenaga kita dan itulah sebenarnya lumrah hidup dalam diari seorang MAHASISWA. tiada kata-kata yang boleh GMUKM ungkapkan terhadap pengorbanan dan perjuangan sahabat-sahabat tidak kira melayu, cina dan india kerana anda semua sungguh layak untuk bergelar MAHASISWA SERBA BOLEH malah BERINTELEKTUAL.




GMUKM percaya MAHASISWA sekarang punya pemikiran yang matang, bersikap terbuka dan berpandangan jauh, malah GMUKM yakin kita semua punyai SATU HARAPAN yang sama iaitu SATU PERUBAHAN KEMBALIKAN HAK MAHASISWA...jadi dengan itu, kita akan bersama-sama tidak kira bangsa dan agama akan turut memperjuangkan Falsafah Universiti, kebajikan mahasiswa/i dan masyarakat UKM serta memartabatkan nilai keilmuan dan keintelektualan UKM.








GABUNGAN MAHASISWA : "jom kawan-kawan
kita bantu rakyat palestin"


Untukmu Palestin (UP) merupakan program anjuran Kolej Tun Syed Nasir,UKM kampus Kuala Lumpur.Tujuan utama program ini diadakan adalah bertujuan untuk mungumpul dana Tabung Amal Palestin yang akan disalurkan kepada rakyat Palestin melalui AMAN Palestin.Beberapa program menarik telah dirancang untuk menjayakan matlamat murni kami.


Program mega(10-11januari 09) ini akan semuanya dijalankan di Stadium Tasik Titiwangsa dan kawasan sekitarnya...antara acara menarik :


  • Pesta Paintball
  • Futsal Piala Al Quds
  • Konsert Keamanan "WE HEAR WE SEE" yg akan menampilkan beberapa artis terkenal
  • larian amal "walk for peace"
  • kejohanan "PIALA ALQUDS"
  • forum "NAKBAH: 60 TAHUN DERITA PALESTIN"
  • dan banyak lg........

diharap sahabat-sahabat dan para pengunjung dapat berhibur sambil beramal......PENGUMUMAN TERBARU UNTUK MENDERMA KEPADA RAKYAT PALESTIN melalui program Untukmu Palestin anjuran UKM.

Anda bolehlah bank-in sumbangan derma anda kepada akaun BANK SIMPANAN NASIONAL(BSN) nombor akaun 10131-29-00009132-7 atas nama Nurul Mahmudiah binti mukhlas.Tarikh akhir untuk membuat sumbangan adalah pada 9Januari 09 dan selepas dari tarikh ini akaun bank akan ditutup dan sumbangan akan diserahkan kepada AMAN Palestin...

maklumat lanjut anda bolehlah melayari http://untukmupalestin.blogspot.com/



Sabtu, Disember 20, 2008

SUKAN UNVERSITI ASEAN (SUA) 2008


TAHNIAH !!! ATLIT MALAYSIA CEMERLANG

Sukan Universiti Asean (SUA) 2008 ke-14 akan melabuhkan tirainya pada hari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. Malaysia muncul juara keseluruhan SUA 2008 buat pertama kalinya dan mencatatkan pungutan pingat tertinggi mengatasi negara lain. Malaysia menjadi juara dengan 90 emas, 79 perak dan 47 gangsa.Manakala Vietnam menduduki tempat kedua (45, 28, 23) diikuti Thailand (32, 29, 59), Indonesia (28, 52, 48), Singapura (18, 16, 39), Filipina (8, 12, 21), Laos (1, 2, 3), Timor Leste (satu perak, sembilan gangsa), Brunei (2 gangsa) dan Kemboja (satu gangsa).

Kami Gabungan Mahasiswa merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan TAHNIAH kepada skuad atlit mahasiswa negara kerana berjaya mengharumkan nama negara. Semoga kejayaan ini berterusan untuk temasya yang akan datang. Mahasiswa sememangnya mampu menggegar dunia

Sabtu, Disember 13, 2008

DEMONSTRASI B*G*L : Mahasiswa membantah keras hasrat Reformis

GMUKM (Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia ) menyifatkan cadangan Reformis (Gerakan Reformis Rakyat Malaysia) mengadakan demonstrasi b*g*l bagi membantah kerajaan Selangor menaikkan kadar sewa rumah Projek Perumahan Rakyat(PPR) sebagai tidak bermaruah dan menyimpang daripada ajaran agama Islam dan adat melayu.


Sememangnya, hak untuk berhimpun telah dijamin oleh Perkara 10 Pelembagaan kita tapi janganlah menggunakan mekanisma b*g*l sebagai cara demonstrasi kerana ia dilihat tidak bertamadun dan lebih buruk daripada binatang. Tambahan lagi, perbuatan berdemonstrasi secara b*g*l yang dilakukan bangsa melayu akan dikenang sebagai satu sejarah yang menjijikkan dan akan diketawakan oleh generasi akan datang. Kita asyik perjuangkan ketuanan dan kewibawaan melayu tetapi kita sendiri melacurkan maruah melayu dengan berb*g*l dijalanan persis seperti perbuatan binatang.


Sebelum ini, Presiden Reformis Ramlan Abu Bakar menyatakan pihaknya ingin melakukan demonstrasi b*g*l kerana membantah kenaikan sewa itu dari RM 124 kepada RM 250 sebulan oleh kerajaan Selangor. Sepatutnya terdapat saluran yang betul untuk menunjukkan rasa tidak puas hati seperti mengadakan pertemuan secara tertutup dengan pihak kerajaan negeri Selangor.


Dengan ini GMUKM menyokong penuh kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menegaskan bahawa beliau tidak takut dengan ugutan daripada Reformis untuk mengadakan demonstrasi berb*g*l kerana kerajaan Pakatan Rakyat Selangor hanya mengenakan kenaikan sewa kepada mereka yang MAMPU dan bukannya orang miskin.


Walaupun isu kenaikan sewa PPR membebankan rakyat namun ia sudah tidak timbul lagi kerana kerajaan Selangor telah mengumumkan kenaikan Purata Garis Kemiskinan dari RM700 sebulan kepada RM1500 dan kami fikir bahawa lebih ramai lagi yang miskin termasuk mereka yang menghuni di rumah kos sederhana rendah tidak dikenakan kenaikan sewa tersebut.


Persoalan yang bermain dibenak fikiran kita sekarang adakah Reformis benar-benar berjiwa rakyat dan amat prihatin dengan masalah rakyat atau ada kepentingan politik tersembunyi. Adakah rakyat miskin amat bersetuju dengan cadangan untuk melancarkan kempen mogok b*g*l ini? Jika benar mereka memperjuangkan nasib rakyat, mengapa tiada bantahan diadakan semasa harga minyak petrol naik mendadak sehingga 78sen seliter? Bukankah itu lebih membebankan rakyat seluruh Malaysia malah ahli Reformis sendiri tidak bersetuju dengan tindakan ini apalagi rakyat Selangor.


Mahasiswa amat kecewa betapa rendahnya maruah bangsa dan agama hingga sanggup digadaikan demi kepentingan pribadi dan politik. Kami menasihatkan agar pihak Reformis mengambil pendekatan yang lebih baik dan rasional dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi, memang tidak salah untuk memperjuangkan dan membela nasib rakyat tetapi biarlah kena pada tempatnya.


Dengan itu, kami bagi pihak GMUKM menggesa agar Malis Fatwa Kebangsaan atau mufti negeri mengeluarkan fatwa mengharamkan cara demonstrasi berb*g*l ini yang dilihat bukannya cara manusia normal menyelesaikan masalah tetapi lebih kepada menimbulkan polemik politik bagi kepentingan pihak tertentu.

Jumaat, Disember 12, 2008

Sabtu, Disember 06, 2008

Sebuah PENGORBANAN...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



“Berapa bahagian kamu masuk korban tahun ni,Mat,”tanya Pak Abu. “Erm,aku kan ramai sanak saudara,jadi tahun ni kami tumbangkan 2 ekor lembu lah...”balas Pak Mat pantas.

Itulah realiti sambutan Hari Raya Aidiladha (atau dikenali sebagai Hari Raya Korban) di Malaysia. Rata-rata masyarakat kini amat kalut dengan berapa bilangan ternakan yang perlu dikorbankan. Kalau tidak menyertai korban, rasanya tidak sah. Bagi sesetengah negeri, 1 rumah 1 korban biasanya memang menjadi satu lumrah. Namun begitu, keadaan ini amat berbeza di tempat lain terutamanya di Makkah Al Mukarramah. Di sana, umat Islam berlumba-lumba untuk mencari peluang menambah amal ibadah supaya kepulangan mereka ke tempat masing-masing dengan haji yang mabrur. Merupakan suatu pengorbanan apabila terpaksa meninggalkan ahli keluarga dan membelanjakan harta ke jalan Allah. Meskipun berbeza cara menyambutnya, kita haruslah lebih memahami erti sebuah pengorbanan.

happy eid4 Pictures, Images and Photos

Saat berderai jatuh
Tiitsan air mata Ibrahim,
Melihat keteguhan iman
Anaknya Ismail
Dikala itu bermulannya
Sejarah Agung
Erti sebuah pengorbanan..

Bagi Mahasiswa, pelbagai pengorbanan harus dilakukan dalam setiap aspek kehidupan. Ada di kalangan Mahasiswa tahun akhir bersusah payah untuk menyiapkan tugasan bagi projek penyelidikan (tesis), dan mungkin juga ada yang tidak pulang ke kampung kerana terpaksa bekerja (posting) di tempat lain. Manakala segelintir Mahasiswa juga mungkin sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan keadilan bertapak di bumi UKM ini suatu hari nanti menerusi pelbagai cara. Walau apa pun pengorbanan yang terpaksa dilakukan, percayalah bahawa setiap yang terjadi adalah terbaik bagi diri anda...so,berusaha!

Kepada sahabat-sahabat Mahasiswa, kita mungkin sudah berpuas hati dengan apa yang sudah dimiliki. Namun, jangan kita lupa bahawa segala apa yang ada pada kita hanyalah pinjaman daripadaNya. Dan selayaknya Dia mengambil semula apa yang telah dipinjamkan. Berbicara mungkin sangat mudah,namun hakikatnya untuk berkorban sangatlah sukar. Buktikan pengorbanan anda untuk memihak kepada keadilan pada sesi yg akan datang. Kepada pejuang-pejuang yang berpaksikan kebenaran, hanya Allah yang mampu membayar segala pengorbanan anda. Benarlah firman Allah yang bermaksud:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “kami beriman”, sedang mereka tidak diuji? [Al-Ankabut 29: 2]

Wallahu’alam..

Isnin, Disember 01, 2008

KEBAJIKAN MAHASISWA KOLEJ LUAR KTSN

Syabas dan Tahniah !
diucapkan kepada pihak pengurusan pentadbiran fakulti kesihatan UKM, kampus Kuala Lumpur dengan kerjasama barisan ‘mpp kl + pmfskb + pmfgg + persiap + pentadbiran kolej’ kerana berjaya menguruskan masalah pengangkutan pelajar yang sekian lama tertunggak.

Apatahlagi bagi pelajar yang menetap di kolej 2,4,5, dan Plaza Rah ( kolej luar siswi ), kemudahan pengangkutan yang disediakan adalah suatu nikmat yang bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan ulang alik kolej-fakulti malahan mengurangkan risiko gangguan keselamatan.

Walaupun sejak beberapa tahun dulu, masalah pengangkutan sering diutarakan tetapi usaha penyelesaian seakan - akan ‘timbul kemudian tenggelam’ sehinggalah beberapa siri kes gangguan keselamatan berlaku baru lah fokus ‘mereka’ bertukar arah. Kebajikan mahasiswa sudah semestinya menjadi agenda penting pihak berwajib universiti untuk diperjuangkan masa kini.

Apapun yang menjadi asbab kepada perubahan ini, terima kasih kami ucapkan daripada pihak Gabungan Mahasiswa UKM.

Entri pada kali ini ingin mengupas lebih lanjut mengenai kebajikan pelajar kolej luar yang kelihatan tidak seimbang perhatiannya berbanding kolej ‘dalam’ ( kolej 1 ) KTSN.

Selain isu keselamatan di sepanjang laluan pejalan kaki kolej-fakulti, para pelajar kolej luar turut terkena bahana kesempitan wang dek pengalirannya ke akaun belanja untuk INTERNET !

Desakan keperluan internet telah memaksa kebanyakan pelajar kolej luar untuk membeli dan berkongsi modem ( broadband ) atau pakej ‘streamyx’. Bayaran internet yang tinggi ini boleh saja menyesakkan dada pelajar ditambah lagi dengan yuran penempatan kolej luar yang tidak kurang mahalnya.
Hal ini amat membebankan pelajar terutamanya bagi mereka yang mengambil PTPTN. Mujur, fakulti menyediakan kemudakan akses internet percuma. Jika tidak, sebahagian besar pelajar tentu mengalami kesukaran untuk menyiapkan tugasan kursus masing – masing.

Namun, kesibukan menghadiri kuliah semasa di fakulti menyebabkan tempoh masa pencarian informasi berkaitan tugasan menjadi terhad. Kadang kala, kerja terpaksa diTANGGUHKAN esok..lusa….
Padahal ‘assignment’ bukan 1-1 tapi 1+1+1…pening – pening.

Teringat kata – kata ahli fikir :
~ PROCRASTINATION IS THE THIEF OF SUCCESS ~

Tentunya, pelajar kolej luar KTSN berharap semoga kemudahan akses internet turut sama dinikmati sepertimana yang dirasai oleh pelajar kolej dalam. Pastinya, jika hal ini diusahakan bersungguh – sungguh, ia mampu membantu peningkatan prestasi akademik selain memberikan pendedahan berkenaan perkembangan teknologi terkini di alam maya. Kecemerlangan prestasi mahasiswa bukan hanya bergantung pada usaha diri mahasiswa itu semata – mata tetapi turut melibatkan kerjasama para pensyarah dan pihak pengurusan universiti. Bukannya pelajar kolej luar mahu mendambakan kesenangan semata – mata tetapi bukankah lebih baik kesenangan dan kesusahan itu dikongsi bersama.

Jika pun bukan untuk generasi mahasiswa yang ada sekarang, generasi mahasiswa akan datang tentu mengimpikan kemudahan akses internet ini. Atau adakah perlu menanti sehingga Pengisytiharan Bandaraya Kuala Lumpur menjadi Bandar ‘free internet’ kelak ?..
~ KESABARAN SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN ~
Segala permasalahan mungkin boleh dikongsikan dalam ‘program jelajah kolej’ bersama pengetua yang sebelum ini direncanakan tetapi telah ditangguhkan ke sem seterusnya.

Editor gm-ukm kl

Sebarang komen dan cadangan boleh diemailkan kepada : gabunganmahasiswakkl@yahoo.com.my

Mahasiswa Bertamadun & Intelek

Insiden demonstrasi oleh GMUKM Bangi yang berlaku di hadapan DECTAR serentak dengan berlangsungnya Karnival Kerjaya di UKM Bangi telah mengundang respon dari pelbagai pihak. Demonstrasi ini tercetus apabila pihak pentadbiran menyembunyikan perihal Pilihan Raya Kampus yang bakal menjelang pada semester akan datang. Sebab penyembunyian tersebut tidak diketahui. Antara respon yang paling berbisa diberikan oleh pihak Aspirasi ialah pendokong GMUKM dilabel tidak bertamadun dan menggambarkan sikap mahasiswa yang tidak intelektual. Melakukan demonstarasi ketika berlangsungnya program mega di DECTAR seolah-olah mengundang malu kepada warga UKM.


Perhatikan pula moral dan akhlak pada diri mahasiswa masa kini. Isu ‘couple’ yang telah menjadi tradisi mahasiswa dari di bangku sekolah sehingga ke isu khalwat membuktikan mahasiswa kini semakin pudar dari sudut nilai moral dan akhlaknya. Bukan setakat isu ‘couple’ dan khalwat, malah nilai hormat-menghormati sesama mahasiswa dan para pensyarah juga semakin pudar. Sebuah Pertubuhan Mahasiswa juga pernah mendapat laporan secara tidak formal berkenaan isu ini.


Senario tingkah laku mahasiswa ketika di dalam dewan kuliah juga boleh menjelaskan dengan lebih lanjut tentang moral dan akhlak mahasiswa. GMUKMKL yakin tentu ada di antara pensayarah yang jelek dengan tingkah laku yang di lakukan oleh segelintir mahasiswa. Antaranya ialah kehadiran lewat ke dalam kelas dan membuat bising serta bercakap-cakap sesama sendiri walaupun pensyarah berada di hadapan dewan kuliah. Selain itu, ada juga segelintir pelajar yang sanggup melakukan penipuan pada kertas kehadiran dengan menandatangan bagi pihak rakan yang tidak hadir ke kuliah.


Isu berpakaian pula tidak perlu diperjelaskan lagi. Warga UKMKL sendiri sudah sedia maklum bagaimana cara mahasiswa UKMKL berpakaian terutamanya mahasiswi. Tidak perlu diperbahaskan tentang prinsip agama dan bangsa tetapi cuba fikirkan dan renungkan tentang adab seorang yang bergelar intelek. Menuntut ilmu dengan berpakaian tidak sopan dan adakalanya menjolok mata malah menjelekkan sudah menjadi kebiasaan mahasiswa masa kini. Walaupun pernah ditegur oleh pegawai keselamatan, namun teguran itu tidak langsung diberi perhatian. Malah, ada juga pelajar yang membalas semula teguran tersebut dengan kata-kata yang kurang enak didengari. Tidak terhad kepada isu-isu yang telah disebutkan, tetapi cuba anda perhatikan dan menilai sendiri tentang adab dan moral mahasiswa di dalam perkataan iaitu cara percakapan dan komunikasi.


Perbandingan antara demonstrasi dan moral serta akhlak di kalangan mahasiswa dalam konteks ketamadunan dan intelektual perlu diperhalusi. Adakah mahasiswa yang berdemonstrasi tidak bertamadun dan tidak intelek jika dibandingkan dengan mahasiswa yang tidak berdemonstrasi tetapi melakukan perkara-perkara yang melanggar nilai moral dan adab sebagai seorang mahasiswa? Adakah berdemonstrasi menuntut hak dan pembelaan selepas diplomasi bersama pihak-pihak tertentu gagal itu tidak bertamadun sementara mengikut telunjuk pihak tertentu yang hanya bermotifkan kepentingan politik sebuah parti politik luar, walaupun perkara yang diarah itu tiada kaitannya dengan pembangunan mahasiswa itu bertamadun? Apabila mahasiswa GMUKM bertindak berdemonstrasi menuntut hak kesamarataan dan keadilan dikatakan mengundang malu kepada warga UKM tetapi adakah melahirkan produk insan dari UKM yang kurang sahsiah diri dan bertindak hanya apabila menerima arahan tanpa perlu bersusah-payah memikirkan masa hadapan serta arah tuju sesuatu pertubuhan itu membanggakan?


Apa yang pasti, perjuangan GMUKM umunya adalah berdasarkan prinsip kebenaran. Tatkala ruang diskusi dan perbincangan ditutup adakah wajar mahasiswa hanya berpeluk tubuh dan berdiam diri? Dimanakah prinsip perjuangan mahasiswa? Atau mahasiswa terlalu bacul dan penakut untuk berdepan dengan risiko dalam menegakkan kebenaran. Sewajarnya warga UKM patut malu pada mereka yang berdiam diri melihat penipuan dan kezaliman berleluasa. Kerana golongan ini tidak ada prinsip dan maruah diri. Sudahlah berdiam diri terhadap kezaliman, orang yang bersuara pula dikatakan tidak bertamadun. GMUKMKL berdiri di atas usaha dan inisiatif sendiri dengan izin Allah sementara Aspirasi disokong penuh oleh pentadbiran UKM. Walaupun tanpa sokongan penuh dari pentadbiran, bukan hanya kemenangan yang ingin GMUKMKL capai, tetapi GMUKMKL akan terus berusaha membentuk pemikiran mahasiswa UKMKL. Nasihat GMUKMKL, sebagai mahasiswa. anda seharusnya bijak menilai dan memerhati.


Kesimpulannya, GMUKMKL menegaskan universiti adalah tempat pembentukan intelektual mahasiswa yang bertamadun dan mahasiswa seharusnya mempunyai pemikiran yang bebas dari ideologi-ideologi luar. Peluang berada di universiti dan bergelar mahasiswa harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Sementara itu, pemimpin mahasiswa di pelbagai peringkat dengan kerjasama pentadbiran harus memikirkan dengan terperinci kaedah-kaedah yang sesuai dalam usaha membentuk identiti mahasiswa UKMKL dan tidak hanya memikirkan kepentingan politik semata-mata.


Catatan Popular

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Ayuh mahasiswa, bangkit!!!

Dah daftar belum?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites