Isnin, Disember 01, 2008

Mahasiswa Bertamadun & Intelek

Insiden demonstrasi oleh GMUKM Bangi yang berlaku di hadapan DECTAR serentak dengan berlangsungnya Karnival Kerjaya di UKM Bangi telah mengundang respon dari pelbagai pihak. Demonstrasi ini tercetus apabila pihak pentadbiran menyembunyikan perihal Pilihan Raya Kampus yang bakal menjelang pada semester akan datang. Sebab penyembunyian tersebut tidak diketahui. Antara respon yang paling berbisa diberikan oleh pihak Aspirasi ialah pendokong GMUKM dilabel tidak bertamadun dan menggambarkan sikap mahasiswa yang tidak intelektual. Melakukan demonstarasi ketika berlangsungnya program mega di DECTAR seolah-olah mengundang malu kepada warga UKM.


Perhatikan pula moral dan akhlak pada diri mahasiswa masa kini. Isu ‘couple’ yang telah menjadi tradisi mahasiswa dari di bangku sekolah sehingga ke isu khalwat membuktikan mahasiswa kini semakin pudar dari sudut nilai moral dan akhlaknya. Bukan setakat isu ‘couple’ dan khalwat, malah nilai hormat-menghormati sesama mahasiswa dan para pensyarah juga semakin pudar. Sebuah Pertubuhan Mahasiswa juga pernah mendapat laporan secara tidak formal berkenaan isu ini.


Senario tingkah laku mahasiswa ketika di dalam dewan kuliah juga boleh menjelaskan dengan lebih lanjut tentang moral dan akhlak mahasiswa. GMUKMKL yakin tentu ada di antara pensayarah yang jelek dengan tingkah laku yang di lakukan oleh segelintir mahasiswa. Antaranya ialah kehadiran lewat ke dalam kelas dan membuat bising serta bercakap-cakap sesama sendiri walaupun pensyarah berada di hadapan dewan kuliah. Selain itu, ada juga segelintir pelajar yang sanggup melakukan penipuan pada kertas kehadiran dengan menandatangan bagi pihak rakan yang tidak hadir ke kuliah.


Isu berpakaian pula tidak perlu diperjelaskan lagi. Warga UKMKL sendiri sudah sedia maklum bagaimana cara mahasiswa UKMKL berpakaian terutamanya mahasiswi. Tidak perlu diperbahaskan tentang prinsip agama dan bangsa tetapi cuba fikirkan dan renungkan tentang adab seorang yang bergelar intelek. Menuntut ilmu dengan berpakaian tidak sopan dan adakalanya menjolok mata malah menjelekkan sudah menjadi kebiasaan mahasiswa masa kini. Walaupun pernah ditegur oleh pegawai keselamatan, namun teguran itu tidak langsung diberi perhatian. Malah, ada juga pelajar yang membalas semula teguran tersebut dengan kata-kata yang kurang enak didengari. Tidak terhad kepada isu-isu yang telah disebutkan, tetapi cuba anda perhatikan dan menilai sendiri tentang adab dan moral mahasiswa di dalam perkataan iaitu cara percakapan dan komunikasi.


Perbandingan antara demonstrasi dan moral serta akhlak di kalangan mahasiswa dalam konteks ketamadunan dan intelektual perlu diperhalusi. Adakah mahasiswa yang berdemonstrasi tidak bertamadun dan tidak intelek jika dibandingkan dengan mahasiswa yang tidak berdemonstrasi tetapi melakukan perkara-perkara yang melanggar nilai moral dan adab sebagai seorang mahasiswa? Adakah berdemonstrasi menuntut hak dan pembelaan selepas diplomasi bersama pihak-pihak tertentu gagal itu tidak bertamadun sementara mengikut telunjuk pihak tertentu yang hanya bermotifkan kepentingan politik sebuah parti politik luar, walaupun perkara yang diarah itu tiada kaitannya dengan pembangunan mahasiswa itu bertamadun? Apabila mahasiswa GMUKM bertindak berdemonstrasi menuntut hak kesamarataan dan keadilan dikatakan mengundang malu kepada warga UKM tetapi adakah melahirkan produk insan dari UKM yang kurang sahsiah diri dan bertindak hanya apabila menerima arahan tanpa perlu bersusah-payah memikirkan masa hadapan serta arah tuju sesuatu pertubuhan itu membanggakan?


Apa yang pasti, perjuangan GMUKM umunya adalah berdasarkan prinsip kebenaran. Tatkala ruang diskusi dan perbincangan ditutup adakah wajar mahasiswa hanya berpeluk tubuh dan berdiam diri? Dimanakah prinsip perjuangan mahasiswa? Atau mahasiswa terlalu bacul dan penakut untuk berdepan dengan risiko dalam menegakkan kebenaran. Sewajarnya warga UKM patut malu pada mereka yang berdiam diri melihat penipuan dan kezaliman berleluasa. Kerana golongan ini tidak ada prinsip dan maruah diri. Sudahlah berdiam diri terhadap kezaliman, orang yang bersuara pula dikatakan tidak bertamadun. GMUKMKL berdiri di atas usaha dan inisiatif sendiri dengan izin Allah sementara Aspirasi disokong penuh oleh pentadbiran UKM. Walaupun tanpa sokongan penuh dari pentadbiran, bukan hanya kemenangan yang ingin GMUKMKL capai, tetapi GMUKMKL akan terus berusaha membentuk pemikiran mahasiswa UKMKL. Nasihat GMUKMKL, sebagai mahasiswa. anda seharusnya bijak menilai dan memerhati.


Kesimpulannya, GMUKMKL menegaskan universiti adalah tempat pembentukan intelektual mahasiswa yang bertamadun dan mahasiswa seharusnya mempunyai pemikiran yang bebas dari ideologi-ideologi luar. Peluang berada di universiti dan bergelar mahasiswa harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Sementara itu, pemimpin mahasiswa di pelbagai peringkat dengan kerjasama pentadbiran harus memikirkan dengan terperinci kaedah-kaedah yang sesuai dalam usaha membentuk identiti mahasiswa UKMKL dan tidak hanya memikirkan kepentingan politik semata-mata.


0 comments:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Ayuh mahasiswa, bangkit!!!

Dah daftar belum?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites