Jumaat, Ogos 07, 2009

ARTIKEL : Hakikat keMAHASISWAan

DUNIA KEMAHASISWAAN

Perjuangan hidup : Apakah yang sebenarnya cuba dicapai oleh mahasiswa? Dunia keMahasiswaan sekarang tidak lebih sekadar perjuangan untuk hidup. Iaitu perjuangan untuk mendapatkan pengiktirafan supaya hidup dapat diteruskan.



Segulung ijazah yang diperjuangkan supaya kelak hidup mereka dapat dijamin oleh dunia kerjaya yang menjanjikan pendapatan dan pekerjaan yang baik. Namun, tidaklah secara total melibatkan mahasiswa seluruhnya, akan tetapi dunia keMahasiswaan sekarang realitinya dilihat hanya berkisar dalam dua perkara ini sahaja; kerjaya dan pendapatan.





Perkara ini berlaku hasil daripada perancangan kita jua yang mana menggesa dan menakut-nakutkan mahasiswa akan dunia yang akan menanti selepas mereka bergraduasi. Ditakut-takutkan akan kesan buruk yang bakal diterima jika segulung ijazah tiada dalam genggaman atau pada kualiti yang rendah.



Mahasiswa sudah semakin hilang minat dalam aktiviti kemasyarakatan contohnya dalam aktiviti opkim, anak angkat, mengambil berat tentang golongan kurang bernasib baik, dengan kata lain perkara yang berkaitan dengan aktiviti berunsur Tanggungjawab Sosial dan Kemasyarakatan.






Mahasiswa semakin selesa menguruskan hidup mereka sendiri berbanding hidup secara kolektif atau bersama-sama. Sebahagian besar merasakan mengejar prestasi akademik setinggi mungkin adalah perkara utama berbanding hal-hal lain yang akan menjejaskan CGPA mereka.



Sesi semester banyak dihabiskan untuk pembelajaran dan tugasan. Jika letih belajar, katil sedia menemani. Jika bosan, filem dan dan drama di Youtube menjadi santapan minda. Jika mempunyai kenderaan, boleh meronda di sekitar universiti atau bandar berdekatan. Jika lapar, kafe dan gerai sedia berkhidmat di samping wang PTPTN dan JPA yang sedia membantu.







Menganggotai persatuan mahasiswa bukan lagi satu pilihan melainkan ajakan rakan, pujukan dan rayuan senior, sudah biasa terlibat aktiviti ko-kurikulum di sekolah atau untuk mengejar merit bagi penginapan semester hadapan. Sebahagian besar lagi menolak beralasankan tidak mahu jadi sibuk dan lalai daripada tumpuan terhadap akademik. Jika bukan kerana syarat aktif ko-kurikulum, pasti aktiviti beroganisasi semakin sepi.


Begitu juga halnya situasi persatuan Akademik, Bukan Akademik dan Kelab. Hanya minat, kesedaran untuk berpersatuan dan perjuangan kebajikan pelajar mengikut kursus menjadi penyambung hayat organisasi mereka.


Kebanyakan mahasiswa yang ditemui rata-ratanya, amat kurang minat dalam aktiviti ko-kurikulum dan kemasyarakatan melainkan mereka yang pernah aktif di sekolah. Jika bukan kerana 2 kredit ko-kurikulum yang diwajibkan, mungkin universiti akan semakin pasif daripada kegiatan pelajar dalam 2 perkara di atas.



Akan tetapi, persepsi golongan mahasiswa yang pasif terhadap persekitaran, ko-kurikulum dan aktiviti kemasyarakatan ternyata merupakan suatu kesilapan besar dalam menempuhi dunia keMAHASISWAan. Kerana dunia kerjaya yang menanti mereka bukan hanya menilai pencapaian akademik semata-mata. Fikir-fikirkanlah.

Apabila Kata - Kata Membuahkan Hikmah


Daripada Muaz r.a :

"Pelajarilah ilmu pengetahuan sebab mempelajarinya kerana Allah adalah tanda takut kepada-Nya. Menuntutnya adalah ibadah. Menelaahnya adalah tasbih.
Mencarinya adalah jihad.


Mengajarkannya kepada yang belum mengetahui adalah sedekah Memberi kepada ahlinya adalah kebaktian. Dialah kawan masa kesepian dan dialah teman masa kesunyian. Dialah petunjuk jalan kepada agama dan pendorong kesabaran dalam
masa kepayahan dan kesempitan. "



0 comments:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Ayuh mahasiswa, bangkit!!!

Dah daftar belum?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites