Khamis, 13 Ogos - Satu majlis berbuka puasa yang ditaja khas dari MPP GMUKM telah diadakan di Surau Blok D Kolej Tun Syed Nasir untuk sama-sama memeriahkan bulan syaaban yang hampir tamat dan meraikan bulan Ramadhan yang bakal menjelang tiba.
Majlis berbuka puasa tersebut telah disertai oleh semua mahasiswa pelbagai fakulti dan tahun. Wartawan GMUKM difahamkan mereka hanya perlu membayar RM 1 sebagai bayaran harga makanan dan selebihnya ditanggung oleh pihak penganjur.
Objektif bagi aktiviti tersebut selain mengeratkan hubungan silaturrahim antara mahasiswa pelbagai fakulti ialah, yang paling penting melatih dan mengajak mahasiswa agar bersedia awal bagi menghadapi ujian di bulan puasa Ramadhan baik dari segi fizikal, rohani dan mental.
Dalam masa yang sama, pihak GMUKM ingin menekankan bahawa program-program dan aktiviti yang dianjurkan oleh PMUKM bukanlah semata-mata berbentuk akademik dan hiburan seperti yang mahasiswa sedia maklum pada tahun-tahun yang lepas, tetapi ianya perlukan 1 perubahan. Di mana perubahan itu perlulah menitikberatkan dari segi aspek spiritual dan digaulkan dengan sebati ilmu duniawi dan ukhrawi agar setiap tindakan manusiawi tetap berlandaskan prinsip yang Maha Satu.
Satu langkah yang bijak bila mana mahasiswa dapat menilai setiap perkara yang berlaku di sekelilingnya dengan pemikiran dewasa dan professional. Apa yang pihak MPP GMUKM laksanakan bukanlah mengejar kepopularitian, tetapi demi perjuangan suara mahasiswa, kebajikan dan keintelektualan berpandukan falsafah UKM itu sendiri iaitu Ilmu, Iman dan Amal.
Hal ini kerana, secara dasarnya Islam telah menjadi teras di UKM. Apabila keimanan, ilmu dan amal dijadikan teras, maka akan lahirlah generasi berilmu dan terpelajar yang akan membangunkan universiti.
Malangnya, dasar yang baik ini telah gagal diamalkan dengan baik dan praktikal. Ia perlaksanaan yang lemah dan perlu kepada perubahan terhadapnya. Semua pihak bertanggungjawab untuk menjayakan perubahan ini.
Justeru, bukanlah di waktu berkempen menjelang Pilihan Raya Kampus, baru MPP-MPP turun padang tunjukkan muka tetapi sepatutnya sepanjang tempoh perkhidmatan mereka hinggalah tarikh PMUKM dibubarkan. Kuasa adalah amanah dan kuasa adalah tanggungjawab.
GMUKM tidak akan berhenti dan senyap. GMUKM akan terus dalam mempersadakan visi dan misinya. Dengan itu, amat diharapkan sokongan tegar mahasiswa kepada pihak GMUKM dalam meneruskan perjuangan membawa arus perubahan mahasiswa.
"BERSAMA MAHASISWA, MEMIMPIN PERUBAHAN"
0 comments:
Catat Ulasan