Jumaat, Januari 14, 2011

RESOLUSI SIDANG MEJA BULAT MAJLIS PENGERUSI/PRESIDEN

Assalamu'alaikum wbt & salam sejahtera, salam PERJUANGAN, salam MAHASISWA UNTUK MALAYSIA!


Terlebih dahulu, izinkan saya selaku Pengerusi Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) merakamkan ucapan yang tidak ternilai kepada pihak penganjur 'Sidang Meja Bulat Majlis Pengerusi/Presiden (Siri 1)' kerana telah menganjurkan sesi sumbang-saran yang sangat-sangat bermanfaat khususnya buat aktivis-aktivis 'front' di bawah Gabungan Mahasiswa UKM sebentar tadi.

Seinfiniti rasa kesyukuran dan sembah takzim dirafakkan kepada Ilahi kerana dengan Izin-Nya, diberikan kepada kita hamba-hamba-Nya yang serba daif ini sedikit ruang dan peluang untuk berhimpun dan bertukar-tukar idea sebentar tadi. Juga selawat dan salam kepada baginda Junjungan Besar, Kekasih dan Nabi Allah Muhammad SAW dan para sahabat dan tabi'in serta ahli keluarga Baginda yang kita cintai lagi kasihi.

1.0 RESOLUSI HIMPUNAN MAHASISWA UNTUK MALAYSIA
Kehadiran pelbagai ‘front’ seperti GAMIS, KAMI, DEMA dan sebagainya adalah jelas menjadi isyarat bakal berlaku 'turning point' bagi kebangkitan mahasiswa pada tahun 2011  ke arah yang lebih progresif serta membawa mahasiswa lebih dekat pada masyarakat.. Himpunan ini dilihat mampu menjadi suatu titik tolak untuk meneruskan momentum dan aksi dalam usaha menuju Malaysia baru yang lebih gemilang.

Signifikannya himpunan ini dianjurkan adalah untuk memberitahu masyarakat Malaysia bahawa mahasiswa sudah bersedia memikul amanah sebagai ejen perubah kepada negara seterusnya menjadi jurucakap rakyat yang terus-menerus bersedia membela nasib masyarakat marhaen.

Justeru, dengan tiga (3) Deklarasi Mahasiswa seperti yang diumumkan oleh Pengerusi Majlis Politik Nasional, saudara Ahmad Syukri Abdul Razak semalam jelas bertepatan dengan aspirasi anak muda yang menginginkan keterlibatan secara lebih meluas dan serius dalam konteks pembinaan negara. GMUKM tegas menyahut cabaran untuk kembali menjadi generasi mahasiswa yang bermaruah dan tegas memperjuangkan prinsip-prinsip yang telah lama kita garis dan perjuangkan.


2.0 SIDANG MEJA BULAT MAJLIS PENGERUSI/PRESIDEN (SIRI 1)
Kesempatan yang dianugerahi Ilahi pada hari ini juga telah diambil oleh kami di peringkat pimpinan 'front' Gabungan Mahasiswa untuk mengadakan 'Sidang Meja Bulat Majlis Pengerusi/Presiden' bagi Siri 1 dalam sehari suntuk di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Kehadiran yang tidak disangka-sangka oleh pecinta-pecinta semangat kemahasiswaan di UKM sebentar tadi sangat-sangat dihargai oleh saya selaku Pengerusi Gabungan Mahasiswa. Keberadaan sahabat dari MAMPU (Membina Mahasiswa Penggerak Ummah), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (GMLN), Angkatan Siswi Dinamis (AKSIS),  Laws Faculty Council (LawFaC) dan Pertubuhan Mahasiswa Profesional Perubatan & Kesihatan UKM (Pro-PK) ; yang masing-masing diwakili Pengerusi/Presiden masing-masing, ditambah serinya lagi dengan kehadiran pemuka-pemuka baru 'front' yang sekian lama menyepi seperti Gerakan Pelajar Intelek Malaysia (GAPIM), Penang Guide dan Pertubuhan Johorian. Malahan khabar berita penubuhan suatu lagi 'front' baru di Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (FKAB) juga menjadi khabar berita kepada kami di Majlis Pengerusi/Presiden hari ini. 

Kita menganggap makluman-makluman ini menjadi isyarat yang jelas bahawa mahasiswa UKM sudah semakin jelas dengan perjuangan Gabungan Mahasiswa hari ini. Ditambah lagi dengan beberapa buah resolusi yang dicapai di akhir sidang tadi bakal menambahkan semangat dan kefahaman kepada pecinta dan aktivis-aktivis mahasiswa UKM khususnya.


3.0 RESOLUSI SIDANG
Ingin saya ulangi kembali resolusi SIDANG MEJA BULAT - MAJLIS PENGERUSI/PRESIDEN yang telah disepakati oleh hadirin seramai 23 orang hari ini telah menzahirkan  Gagasan GMUKM : “Realisasi Varsiti” seperti berikut;

3.1 Intelektual
    3.1.1 Mewujudkan sistem pendidikan bersepadu yang melahirkan mahasiswa yang bijak dan berintegriti

3.2 Kebajikan
    3.2.1 Melestarikan aspek-aspek kebajikan demi menjamin kesejahteraan warga kampus

3.3 Keadilan sosial
    3.3.1 Mewujudkan keharmonian berlandaskan prinsip-prinsip keadilan

3.4 Perpaduan kaum
    3.4.1 Menjunjung tinggi kebebasn beragama
    3.4.2 Memelihara perpaduan kaum yang teguh
    3.4.3 Memupuk semangat kerjasama

3.5 Sukan & Kebudayaan
    3.5.1 Menekankan aspek-aspek kesopanan dalam kebudayaan berlandaskan nilai-nilai keagamaan
    3.5.2 Menyemai amalan sihat secara holistik dalam bersukan


4.0 DASAR GMUKM
Gabungan Mahasiswa juga dalam pada itu bersepakat untuk mengekalkan dasar perjuangan yang bersifat demokrasi dan non-partisan (tidak menyokong mana-mana parti politik). Ini demi mengekalkan sifat kemahasiswaan yang memiliki idealisme yang eksklusif dan tersendiri serta tidak terbanding dengan mana-mana sifat. Justeru itu Gabungan Mahasiswa secara ringkas menggariskan tiga (3) dasar utama iaitu;

> Falsafah UKM : yakni paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti.

> Kebajikan semua mahasiswa serta masyarakat kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tanpa mengira batasan agama dan kaum.

> Nilai keintelektualan dan keilmuan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

5.0 PENUTUP
Mengakhiri detik-detik yang bersejarah ini yang bertarikh 2 Januari 2011, saya selaku Pengerusi Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) bagi seluruh kampus di Bangi, Cheras dan Kuala Lumpur mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada rakan-rakan mahasiswa yang telah hadir berprogram sehari suntuk pada hari ini demi menyusun pelan dan strategi kita, Gabungan Mahasiswa dalam misi menawan PMUKM demi mengembalikan kuasa mahasiswa kepada mahasiswa. Ingatlah, kita bukanlah orang yang memulakan perjuangan ini, dan kita juga bukanlah orang yang mengakhiri perjuangan ini.

Mahasiswa Untuk Mahasiswa !



(MOHD HAFIZ BIN ABDUL RAZAK)
Pengerusi Gabungan Mahasiswa 
Universiti Kebangsaan Malaysia
Bangi, Selangor Darul Ehsan
Tarikh : 02 Januari 2011

0 comments:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Ayuh mahasiswa, bangkit!!!

Dah daftar belum?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites