Khamis, Mac 08, 2012

Bebaskan Pilihanraya Kampus

Oleh Lee Khai Loon

Apakah anda berminat serta mengambil berat dalam pilihanraya kampus?
Jawapan rata-ratanya adalah tidak untuk kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi di IPTA. Sebabnya bukan sekadar pengaruh luar pilihanraya kampus IPTA jika berbanding dengan Pilihanraya Umum yang membolehkan keseluruhan rakyat Malaysia berpeluang untuk memilih wakil rakyat dan kerajaan untuk memimpin mereka. Malahan, pengaruh pilihanraya kampus yang ada di Malaysia telah sengaja diperlekehkan atau dijadikan sesuatu yang kurang relevan. Kebanyakan mahasiswa tidak sedar akan kepentingan pilihanraya kampus kerana mereka telah disekat secara langsung dan tidak langsung oleh pihak universiti terutamanya dari Jaabtan Hal Ehwal Pelajar (HEP).
Walaupun keputusan pilihanraya kampus tidak dapat mengubah pemerintahan kerajaan pusat dan negeri, malahan pengaruh dalam mengubah struktur pentadbiran kampus juga tidak wujud sama sekali. Namun demikian, terdapat banyak masalah yang wujud dalam pilihanraya kampus.
Sekatan yang utama dalam pilihanraya kampus adalah kerana wujudnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Dengan adanya akta yang tidak adil ini di dalam kampus, kuasa Naib Canselor yang mutlak telah diperuntukkan dalam AUKU.
Masalah pokok adalah AUKU
Biasanya dalam satu pilihanraya kampus, Naib Canselor telah memberi kuasa kepada Timbalan Naib Canselor (TNC-HEP) untuk menjadi Pengarah Pilihanraya. Pengarah pilihanraya yang mempunyai kuasa termasuk menentukan kelayakan calon, peraturan penamaan, tempoh untuk kempen, cara pembuangan undi dan sebagainya.
Peranan TNC-HEP seperti Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Namun begitu, disebabkan perlantikan TNC adalah tertakluk kepada bidang kuasa NC dimana beliau biasanya mengikut perintah daripada Kementerian Pengajian Tinggi.
Lebih merisaukan apabila TNC-HEP yang tidak berpendirian neutral atau bertindak adil ke atas latar belakang politik seseorang calon. Biasanya calon-calon yang akan dibahagikan kepada dua kem iaitu kem pro-mahasiswa dan pro-kerajaan. Secara automatik, TNC-HEP akan berpihak kepada calon dalam kem pro kerajaan. Disebabkan oleh sikap TNC-HEP yang tidak adil serta bias, ramai bakal calon atau calon yang dilabel sebagai pro-pembangkang telah menghadapi rintangan yang besar dalam kempen pilihanraya.
Antaranya contoh adalah temuduga bakal-bakal calon, keupayaan calon dalam bahasa Inggeris serta pencapaian akademik yang sekurang-kurangnya CGPA 3.0. Kesemuanya pra-syarat telah menunjukkan proses pilihanraya kampus telah bercanggah dengan prinsip demokrasi iaitu setiap calon akan diuji melalui sokongan yang diterima oleh pengundi yang layak.
Masalah AUKU adalah masalah pokok dalam pelaksanaan pilihanraya kampus yang demokrasi. Sebagai institusi pengajian tinggi yang sepatutnya mengamal prinsip demokrasi serta menyediakan gelanggang persaingan di kalangan mahasiswa, pihak universiti telah mengambil langkah yang bertentangan produktiviti (counter-productive).
Sebenarnya, jika berbanding dengan Kesatuan Pelajar (Student Union) yang ada pada Universiti Malaya sebelum 1971 atau sebelum penggubalan AUKU, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) hanya mempunyai kuasa untuk menjaga kebajikan mahasiswa. Malah, kuasa untuk mengurus kewangan persatuan pelajar juga tertakluk kepada HEP.
Harimau yang tidak bertaring
Pendek kata, MPP merupakan sebuah harimau yang tidak bertaring. Biasanya dasar-dasar universiti akan ditetapkan di dalam Majlis Senat Universiti. Malangnya MPP bukan ahli dalam Majlis Senat. Oleh itu, peranan MPP amat terhad dan hanya merupakan badan yang menyalurkan suara hati kepada pihak universiti.
Walaupun pilihanraya kampus dinampak seolah-olah tidak berpengaruh langsung, mengapakah pihak Kementerian serta HEP begitu risau dan bimbang dengan penglibatan yang aktif dalam pilihanraya kampus?
Motif Kementerian serta HEP untuk menguasai pilihanraya kampus adalah sangat jelas dimana pemimpin pelajar di IPTA dan IPTS akan mengikut perintah pihak universiti. Kewujudan pemimpin pelajar yang kritikal akan menyusahkan proses pentadbiran universiti terutamanya dalam hal yang berkenaan dengan mahasiswa.
Selain itu, suara mahasiswa yang boleh mempengaruhi pendapat orang ramai terhadap pihak yang berkuasa. Biasanya mahasiswa dianggap sebagai pembela rakyat dan masyarakat. Sekiranya terdapat ramai mahasiswa yang keluar dari kampus dan mengkritik dasar kerajaan, maka kredibiliti kerajaan akan merosot dan sekaligus mengugat kuasa pemerintahan.
Dengan tsunami politik 8 Mac tahun ini, pilihanraya kampus telah menjadi satu tumpuan di kalangan rakyat serta warga kampus. Berlainan dengan cara pada tahun yang lepas, tahun ini pilihanraya kampus tidak mempunyai satu tarikh yang umum dan sama untuk semua IPTA dan IPTS.
Sampai hari ini kita belum tahu bilanya pilihanraya kampus akan diadakan di setiap universiti di Malaysia. Akan tetapi, adalah penting untuk semua warga kampus bersedia dengan pilihanraya kampus yang akan berlangsung dalam tempoh yang tidak lama lagi.
Kesedaran warga kampus dalam pilihanraya kampus adalah mustahak. Selain daripada menjadi calon atau petugas kempen, mahasiswa sekurang-kurangnya boleh
Pengalaman berpolitik
Petugas kempen merupakan ejen yang memainkan peranan yang berpengaruh. Proses kempen memberi pengalaman yang berharga kepada warga kampus khasnya dalam proses politik kampus. Melalui penyertaan pilihanraya secara calon atau petugas kempen, warga kampus akan berpeluang untuk berpolitik dalam kampus.
Konsep-konsep demokrasi, kepimpinan serta pengurusan yang biasanya diperkenalkan daripada membaca buku, sekarang boleh difahami melalui latihan yang sebenar iaitu pilihanraya kampus. Bakat-bakat pemimpin dapat dicungkil melalui pidato serta perbahasan.
Bagi aktivis-aktivis kampus demokrasi, pilihanraya kampus merupakan peluang keemasan untuk menjalankan kempen kesedaran kampus demokrasi serta autonomi mahasiswa dalam mentadbir kampus di kalangan mahasiswa. Dengan adanya ruang berpidato atau perbahasan di kalangan calon-calon, setiap calon boleh membawa manifesto masing-masing. Setiap calon mempunyai peluang untuk menerangkan agenda yang dibawa.
Proses ini sangat berkesan dalam mempertingkatkan kesedaran mahasiswa dalam politk kampus. Yang mengecewakan cuma adalah tempoh berkempen tersebut terlalu singkat. Calon dan petugas kempen menghadapi masalah untuk memperkenalkan diri kepada semua warga kampus dalam masa yang singkat. Lebih-lebih lagi jika hendak memperkenalkan konsep demokrasi serta autonomi pelajar kepada warga kampus.
Walaubagaimanapun, pilihanraya kampus merupakan satu wacana yang penting untuk warga kampus menghayati politik yang sebenar. Pihak universiti sepatutnya menggalakkan mahasiswa-mahasiswi untuk peka serta mengambil bahagian secara aktif dalam pilihanraya kampus.
Segala amalan yang tidak adil, berat sebelah dan penyelewengan yang diamalkan oleh pihak universiti perlu dihentikan segera. Demi memperkasakan mahasiswa kita untuk menghadapi cabaran yang kian hebat, pihak universiti perlu memberi kuasa sepenuhnya kepada MPP untuk menjalankan pilihanraya kampus sendiri. Campur tangan daripada HEP bukan sahaja tidak matang, malah menunjukkan betapa lemahnya keyakinan pihak pentadbiran universiti.

Lee Khai Loon
Lee Khai Loon is the Convenor for Youth for Change (Y4C). He was an active student leader throughout his time at University Malaya, and continues to work towards empowering Malaysian youths about their rights as citizens through advocacy programmes and education on the democratic process of elections.

0 comments:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Ayuh mahasiswa, bangkit!!!

Dah daftar belum?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites