Sabtu, Ogos 20, 2011

Ramadhan : Antara Adat dan Syariat???

Bulan Ramadan yang penuh keberkatan telahpun secara rasmi memasuki fasa separuh keduanya.

Kalau dalam perlawanan bola sepak, separuh masa kedua adalah kesempatan terbaik bagi memperbaiki kelemahan semasa separuh masa pertama.
Jika gawang dibolosi beberapa kali semasa separuh masa pertama, maka kesempatan di separuh masa kedua perlu digunakan semaksima mungkin untuk memperbaiki kelemahan, memperbetulkan strategi dan mempertajamkan jentera serangan dengan harapan dapat beroleh kemengangan di akhir perlawanan.

Jika menang akan diberi mata kemenangan, jika tewas hanya penat dan lelah yang diperolehi tanpa sebarang mata. Begitulah juga halnya dengan Ramadan yang telah kita harungi sehingga ke separuh kedua ini.





Alhamdulillah, kebanyakan kita masih mengekalkan momentum ibadah sebagaimana di permulaan Ramadan.
Masjid dan surau masih lagi dapat bertahan dengan jumlah jemaah yang ramai ketika Solat Tarawih walaupun tidak seramai ketika di permulaan Ramadan. Namun, lagu-lagu raya yang semakin galak dikumandangkan akhir-akhir ini begitu mengganggu konsentrasi kita untuk beribadah.

Lagu-lagu raya yang begitu awal dimainkan ini seolah-olah tidak sabar-sabar ingin menerima kehadiran Aidil Fitri dan dalam masa yang sama kita tidak sedar ia juga seolah-olahnya menyuruh Ramadan 'berlalu secepat mungkin' agar dapat segera berhari raya.


Antara adat dan syariat


Begitulah suasananya Ramadan di tempat kita. Bila sampainya Ramadan, selain ibadah puasa, sahur dan tarawih, ia juga sinonim dengan bazar ramadan, murtabak, moreh dan sebagainya.

Ibadah puasa Ramadan juga begitu unik berbanding ibadah-ibadah lain. Ada orang yang solat berpuasa, orang yang tak bersolat juga berpuasa. Orang yang menutup aurat berpuasa, orang yang berpakaian seksi juga berpuasa.
Orang tua berpuasa, anak-anak kecil juga berpuasa. Bahkan jika ditanya kepada mak nyah di lorong-lorong di kota besar Kuala Lumpur itupun, pasti mereka akan katakan mereka berpuasa.


Bila waktu malam, mereka akan memendekkan 'waktu operasi' mereka bagi memudahkan mereka bangun awal untuk bersahur dan berpuasa. Para artis pula mengambil kesempatan sempena Ramadan untuk 'berehat' dari aktiviti-aktiviti seni bagi menumpukan kepada ibadah dan aktiviti-aktiviti amal.
Begitulah ragamnya masyarakat kita menyambut Ramadan dengan cara tersendiri yang bersandarkan kepada kefahaman masing-masing terhadap falsafah di sebalik Ramadan.
Walauapapun cara kita menerima kehadiran Ramadan, suatu yang semua perlu faham ialah natijah dan tujuan berpuasa ialah untuk meraih taqwa. Jika sinar ketaqwaan itu tidak terzahir daripada tingkahlaku kita, maka ada suatu yang tidak kena dengan puasa yang kita lakukan.



Taqwa sebagai matlamat puasa

Perkataan taqwa, meskipun didengar saban waktu - sekurang-kurangnya empat kali seminggu iaitu ketika mendengar khutbah Jumaat - namun masih ramai yang tidak memahami akan maksud dan falsafahnya.
Buktinya, tindak-tanduk umat Islam kadang-kala tidak menggambarkan mereka faham akan maksud taqwa tersebut. Lalu apakah maksud taqwa itu sebenarnya?

Imam Ali bin Abi Talib mendefinisikan taqwa sebagai 'meninggalkan perbuatan maksiat, dan tidak tergoda dengan rasa sudah baik mengerjakan ketaatan'. Beliau juga membahagikan ciri-ciri taqwa kepada empat iaitu; Al-Khauf minal Jalil (Takut kepada Allah yang Maha Agung), Al-Amal bit Tanzil (Beramal apa yang Allah turunkan dalam Al-Quran), Ar-Ridha bil Qalili (Rasa cukup dengan sedikit yang kita ada) dan Al-Ist'dad ila yaumirrahiil (bersedia menghadapi hari keberangkatan/kematian).
Imam Syafie pula berkata, kamu boleh lihat diri kamu berada di puncak ketakwaan apabila berlaku perkara berikut: Al-Juud minal Qalil (Kamu bersedekah walaupun duit yang kamu ada tinggal sedikit), Al-War'u 'Indal Khalwah (Kamu bersikap wara' ketika kamu berseorangan) dan An-Takuna kalimata Haqqin Inda Ma Yukhafu wa Yurja' (Kamu dapat katakan kebenaran di hadapan orang yang kamu takuti dan kamu harapkan sesuatu daripadanya).
Seterusnya Al-Hasan mendefinisikan taqwa sebagai 'menjaga diri daripada yang diharamkan dan menunaikan yang diwajibkan.' Ibn Kathir pula manyatakan taqwa berasal daripada perkataan tawaqqi, iaitu menjaga diri daripada perkara yang tidak diingini manakala Ibn Abbas menggambarkan orang yang bertaqwa ialah mereka yang takut dalam keadaan berwaspada daripada balasan Allah dengan meninggalkan dorongan nafsu, dan mengharapkan rahmat Allah dengan percaya terhadap perkara yang datang daripada-Nya.



Begitulah pandangan-pandangan ulama yang sedikit sebanyak dapat menjernihkan lagi kefahaman kita terhadap maksud taqwa. Jika taqwa difahami, maka kita pastinya faham arah tuju puasa yang kita laksanakan.
Jika puasa dan ibadah Ramadan yang kita laksanakan tidak berjaya membawa ciri-ciri taqwa ke dalam diri, maka pasti ada suatu yang tidak kena atau kecacatan dengan puasa yang kita laksanakan.
Pokok pangkalnya, setiap tingkahlaku yang dilakukan di atas mukabumi ini perlu berlandaskan 'ilmu'. Jika seorang penjenayah pun menggunakan ilmu dan berstrategi dalam melakukan jenayah mereka, apatah lagi apabila kita ingin melakukan ibadah kepada Allah, pasti ia perlu bersandarkan ilmu dan kefahaman yang jelas, bukan kerana ikut-ikutan.
Orang solat, kita pun solat, orang puasa kita pun berpuasa. Bila ditanya falsafah puasa dan kenapa kita perlu berpuasa ada juga yang tidak tahu.



Islam agama ilmu



Sesungguhnya Islam adalah agama yang berdiri di atas prinsip 'ilmu dan 'kefahaman' yang jelas berteraskan dalil dan hujjah, bukan ikut-ikutan atau warisan nenek-moyang semata-mata.
Bahkan ayat pertama diturunkan di dalam Al-Quran ialah berkaitan ilmu iaitu ayat 'Bacalah' (Iqra') di dalam Surah Al-'Alaq. Sepanjang pengamatan saya, lantaran tiadanya ilmu dan asas yang jelas tentang syariat Islam, maka terjadilah perkara-perkara seperti ramainya umat Melayu Islam kita yang sukar membezakan perkara syariat dan adat.
Natijahnya, tindak tanduk kita kadangkala tidak mencerminkan syariat Islam, tetapi lebih kepada adat yang telah kita anggap seperti syariat, malah ada kalanya, jika salah i'tiqad, adat tersebut boleh menyimpang daripada prinsip syariat yang sebenar.



Contohnya ada yang anggap menanam uri selepas kelahiran itu adalah tuntutan 'syariat', tetapi sebenarnya ia hanyalah adat dan petua nenek moyang. Bahkan akan menjadi khurafat jika kita beri'tiqad ia boleh menjejaskan kesihatan anak-anak dan sebagainya. Itu belum diambil kira amalan khurafat dan mistik yang lain seperti pemujaan dan sebagainya yang sememangnya orang Melayu amat 'pakar' di dalamnya.

Seterusnya, tanpa ilmu yang jelas tentang syariat juga akan menyebabkan kita mengambil sebahagian daripada Al-Quran dan meninggalkan sebahagian yang lainnya. Kita juga kadangkala akan lebih mengutamakan isu furu'(cabang) melebihi isu usul (pokok).
Senario yang berlaku hari ini mungkin boleh mengesahkan perkara ini. Contohnya; kita kisah tentang perlunya meletak atau menggantung ayat Al-Quran, gambar kaabah dan lain-lain di dinding rumah, tetapi kita tidak kisah jika ada penghuni-penghuni rumah dan anak-anak kita yang tidak menghadap qiblat (bersolat).
Perkara pokok di sini ialah solat, sementelah menggantung ayat Al-Quran adalah perkara cabang.
Kita marah/sensitif bila ada bukan Islam masuk/ziarah masjid/surau tetapi kita tak marah/tak sensitif bila ramai Muslim yang tak pernah datang masjid/tak bersolat.
Kita marah bila akhbar berbahasa Inggeris menyiarkan artikel/gambar babi, tetapi kita tidak rasa apa-apa apabila ada akhbar berbahasa Melayu yang menyiarkan iklan keputusan judi-4D,Toto, Magnum dan sebagainya.
Selain mengharamkan babi, bukankah Al-Quran juga mengharamkan judi, atau kita hanya beriman dengan sebahagian Al-Quran dan meninggalkan yang selainnya?

Kita marah bila ada bukan Islam ingin mendekati Al-Quran, membaca dan memahami tafsirannya, tetapi kita tidak kisahpun bila ramai muslim yang bukan sahaja tidak faham, malah buta Al-Quran.
Apabila menyambut maulidurrasul, kita rasa bersalah atau seolah-olah berdosa jika perarakan tidak dapat dibuat atas masalah tertentu, tetapi kita tidak rasa bersalah bila banyak hadis dan sunnah Baginda yang tidak diamalkan malah diperlekehkan.
Bukan salah perarakan itu, tetapi memperingati Rasulullah itu perlu dilihat dari skop yang lebih besar.
Senario seterusnya, apabila ada pihak yang mengeluarkan arahan (dengan bersandarkan dalil dan nas yang rajih) agar tidak diperdengarkan bacaan al-Quran sebelum laungan azan khususnya di waktu subuh, maka ramai yang menjadi hero dan bangun membantah seolah-olah arahan itu anti-Islam, namun anehnya bilangan yang pergi ke masjid untuk solat subuh masih juga Ssedikit.
Boleh diperiksa di mana-mana masjid dan surau hanya ada beberapa saf sahaja ketika solat subuh. Di manakah hero-hero yang lantang berbicara tadi? Soalnya, jika arahan yang dikeluarkan bersandarkan nas dan dalil, kita yang membantah kerana ilmu atau apa sebenarnya?



Penutup



Nah, begitulah sedikit sebanyak senario ketidahfahaman masyarakat tentang syariat Islam menyebabkan kejahilan di dalam agama terus berterusan. Lebih membimbangkan jika tindakan orang yang jahil terhadap syariat Islam ini akan menjadi fitnah kepada agama suci ini manakala orang alim hanya menjadi 'penonton' apabila orang jahil itu memburukkan imej agama.
Sesudahannya, wajah Islam yang comel dan cantik dipandang dengan jijik oleh masyarakat. Bukan salah Islam itu, tetapi salah umat Islam yang tidak memahami agama mereka. Amat menyedihkan juga apabila ada sesetengah pihak yang suka jika ramai yang jahil tentang agama kerana kejahilan itu akan mudah dimanipulasi untuk kepentingan tertentu.
Justeru, bagi mengelakkan diri kita daripada dimanipulasi oleh mana-mana pihak, ilmu-ilmu tentang syariat Islam perlu dipertingkatkan agar amal ibadah yang kita laksanakan adalah bersandarkan ilmu dan diterima Allah hendaknya.
Bukanlah maksudnya kita perlu meningkatkan ilmu Islam sehingga ke peringkat PhD, tetapi memadailah kita faham perkara-perkara asas di dalam Islam. Yang paling penting keberadaan kita di dalam Islam ini juga perlu bersandarkan ilmu dan kesedaran yang jelas bukan kerana faktor 'genetik' atau warisan keluarga.
Ramadan yang berbaki separuh bulan haruslah dimanfaatkan semaksimum mungkin bagi menampung kelompangan dan kekurangan di dalam amal ibadah kita. Mudah-mudahan amal ibadah kita yang berdasarkan ilmu dan kefahaman akan syariat akhirnya Insya Allah akan menghadirkan taqwa.
Kita juga mohon agar dijauhkan puasa kita daripada puasa adat berteraskan taqlid buta yang tidak akan memberikan apa-apa melainkan lapar dahaga.




0 comments:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Ayuh mahasiswa, bangkit!!!

Dah daftar belum?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites