Dua tiga bulan kebelakangan ini , seringkali di dada akhbar memaparkan penentangan terhadap satu projek kerajaan Malaysia yang bertempat di Gebeng yang merupakan sebuha bandar di Kuantan Pahang, dinamakan Projek Lynas.
Projek Lynas ialah projek yang diusahakan oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation dari Australia, memproses nadir bumi atau juga dikenali sebagai Projek Penggalian dan Perlombongan Radioaktif. Keluasan Lynas ialah seluas 140 buah padang bola dan kerajaan akan memberi pelepasan cukai selama 12 tahun untuk projek ini. Kilang ini bernilai 700 juta dan dijangka akan memperolehi hasil sebanyak RM8 Billion setahun hasil daripada pemprosesan nadir bumi ini.
Pihak yang bertanggungjawab untuk menilai dan mengeluarkan lesen bagi syarikat ini adalah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi. Buat masa ini, AELB mendakwa Lynas hanya mendapat lesen pembinaan dan masih belum mendapat lesen beroperasi.
Ramai pihak termasuk penduduk kuantan membantah projek yang diluluskan pada 2008 ini kerana risau mengenai masalah radiasi hasil dari sisa bahan radioaktif. Lesen untuk pembinaan loji tersebut dikeluarkan sebelum konsultasi awam dilakukan dengan para penduduk kawasan berkenaan. Tambahan pula, rakyat Malaysia pernah menghadapi situasi seperti ini pada 1980-an dan 1990-an apabila sebuah kilang nadir bumi yang dikendalikan oleh Mitsubishi Chemical beroperasi di Bukit Merah telah meninggalkan kesan kepada kesihatan manusia dan persekitaran. Kilang ini telah dihentikan operasinya pada 1992 dan sisa-sisa radioaktif yang dihasilkan masih bertaburan di sekitar Bukit Merah hingga kini.
Berikut adalah fakta-fakta mengenai projek ini.
1. Wakil Jawatankuasa Anti-Lynas dari Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (PEIA) dan Penilaian Kesan Radiologi (RIA) mendedahkan bahawa Lynas akan menggunakan 500 meter padu sejam bekalan air untuk operasi harian mereka.(Satu jumlah penggunaan yang cukup besar dan dianggarkan melebihi penggunaan harian seluruh penduduk Kuantan termasuk menghasilkan air sisa yang dikatakan juga mengandungi sisa radioaktif yang dirawat dan dilepaskan ke sungai yang berhampiran.)
2. Operasi Kilang Lynas berpotensi untuk mengancam penduduk setempat dan kegiatan ekonomi khususnya yang berada di sekitar 30KM dari lokasi kilang itu dari ancaman sisa radioaktif yang boleh tersebar melalui udara, air dan tanah jika tidak diurusselia dengan baik oleh pihak pengurusan Lynas dan dipantau secara ketat oleh agensi pihak berkuasa. Kecuaian yang kecil sama ada daripada pihak pengurusan atau pemantauan boleh membawa kepada kesan negatif yang besar.
3. Pemprosesan elemen-elemen tanah nadir ini berpotensi untuk mengeluarkan kadar radiasi dari peringkat rendah hingga sederhana. Kadar radiasi yang rendah masih boleh menyebabkan kesan yang besar terutamanya dalam jangka masa panjang. Ini bermakna, tiada kadar radiasi yang boleh dianggap selamat, seperti yang diakui oleh International Atomic Energy Agency.
4. Dr Jayabalan A Thambyappa, seorang doktor dan ahli toksikologi berpendapat bahawa kenyataan Lynas yang mendakwa tahap radioaktif daripada LAMP ini adalah rendah, adalah kurang bijak.
5. Lynas Corp pada asalnya merancang untuk membina kilang di Wilayah Shandong, China. Namun, atas tindakan kerajaan China yang telah mengetatkan peraturan alam sekitar menyebabkan Lynas Corp mencari tapak lain untuk pembinaan kilang. Rentetan daripada itu, Lynas Corp mengemukakan cadangan untuk menempatkan kilang itu di Kemaman, yang kemudiannya ditolak oleh kerajaan negeri Terengganu.Oleh sebab itu, Malaysian Industrial Development Authority telah mengenalpasti Gebeng sebagai lokasi untuk menggantikan Kemaman.
6. Rakyat Australia tidak mahu menerima kembali sisa radioaktif yang didakwa Lynas tidak berbahaya dan tidak mengancam keselamatan manusia dan persekitaran.
7. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertegas tidak akan berkompromi dengan projek-projek yang dilihat boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Satu panel bebas yang dianggotai pakar membuat kajian berhubung soal keselamatan dan kesan kilang berkenaan. Panel ini diketuai Pengarah Bahagian Teknologi Sisa dan Kitaran Bahan Api Nuklear di Jabatan Tenaga Nuklear IAEA, Dr Tero Varjoranta dari Finland.
Rakan-rakan mahasiswa juga boleh meneruskan pembacaan mengenai projek ini di internet. Namun, bagi pihak Pro-Mahasiswa kami menolak pembinaan kilang Lynas ini setelah menimbangkan kesan buruk yang lebih banyak berbanding kesan baiknya. Kami juga mengharapkan agar pihak kerajaan dapat membuat pertimbangan dan keputusan terbaik untuk persoalan ini.
sumber : http://promahasiswaupm.wordpress.com/
BER-GM LEBIH BAIK
0 comments:
Catat Ulasan