Kebangkitan rakyat Mesir menentang kezaliman pemerintah sedia ada adalah perlu kerana rakyat sangat tertekan. Kenaikan harga barang, pengangguran, pendapatan per kapita yang rendah sudah pasti mendorong rakyat mendesak kerajaan sedia ada untuk memperbaikinya. Malangnya, sekian lama mendesak kerajaan hanya membuta tuli, ditambah pula dengan sikap bermewah-mewah pemimpin kerajaan dengan duit rakyat.
Korupsi dan penyelewengan kuasa adalah isu yang mendapat perhatian dan menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat. Dan ia bukanlah perkara baru dalam mencetus kemarahan rakyat. Amalan korupsi memang terdapat di kedua-dua buah negara. Janji pemerintah untuk membasmi korupsi secara serius jika tidak dikotakan pasti akan menambahkan kebencian rakyat. Apatah lagi sekiranya yang mengamal rasuah dan kronisma adalah pemerintah itu sendiri.
Institusi-institusi negara telah disalahgunakan untuk menjadi alat politik bagi memperkuatkan cengkaman kuasa rejim Mubarak. Badan-badan kerajaan seperti polis dan pasukan risikan dan keselamatan dalam negeri digunakan untuk menekan dan menindas mana-mana golongan dan anasir yang berani bersuara menentang rejim. Media massa di bawah kuasa rasmi rejim dan juga swasta dikawal untuk membendung suara dan mesej pihak yang membangkang kerajaan.
Pilihan raya yang telah dijalankan rata-rata dipersoal dan dicurigai kredibilitinya, terutama sekali yang telah diadakan pada November dan Disember 2010. Di dalam pilihan raya itu, Mubarak telah diumumkan mendapat lebih 80% undi sokongan dari para pengundi Mesir, satu keputusan yang tidak dipercayai oleh rakyat Mesir sendiri. Oleh sebab proses pilihan raya dianggap tidak boleh dipakai sebagai mewakili sentimen dan kehendak rakyat, maka pilihan yang tinggal adalah demonstrasi jalanan.
Perkara paling ketara yang dapat diperhatikan sepanjang revolusi yang bermula pada 25 Januari 2011 di Mesir adalah kebijaksanaan dan disiplin golongan penentang rejim Mubarak, terutamanya Ikhwan Muslimin, dalam keengganan mereka untuk menjadi opportunis politik dan menggunakan gerakan protes rakyat tersebut sebagai satu cara atau vehicle untuk merebut kuasa politik. Ini adalah disebabkan kesedaran dan pegangan di kalangan mereka bahawa perubahan atau reformasi adalah lebih penting dari kuasa atau jawatan politik semata-mata.
Di samping itu mereka sedar bahawa gerakan protes besar-besaran itu telah timbul secara spontan dan dianjur atau disusun oleh golongan muda yang tidak mempunyai apa-apa pertalian kepada mana-mana parti politik. Revolusi yang tercetus itu adalah bagaikan anak kecil yang mesti dibenarkan untuk membesar sendiri. Sekiranya Ikhwan atau mana-mana pertubuhan politik tergesa-gesa atau terlalu gopoh untuk mendakap anak kecil itu dan mendakwa anak kecil itu dia yang punya, sudah pastinya musuh-musuh revolusi akan membunuh anak kecil itu.
Di situlah terletaknya kelebihan parti-parti pembangkang di Mesir. Mereka tidak membenarkan cita-cita peribadi dan keinginan untuk kuasa politik mempengaruhi tindak tanduk mereka. Yang paling penting, reformasi atau revolusi dalam masyarakat mereka mesti terlebih dahulu diberi ruang dan peluang untuk wujud. Sekiranya dunia kagum atas keberanian dan kecekalan rakyat Mesir dalam berdemonstrasi beramai-ramai menumbangkan Mubarak, wajar juga dunia menyanjung kewarasan dan kebijaksanaan pertubuhan pembangkang Mesir dalam menangani pergolakan yang melanda negara mereka.
Kecekalan rakyat Mesir untuk terus bertahan mengadakan demontrasi di seluruh negara yang berpusat di Medan Tahrir menggambarkan kekecewaan mereka terhadap rejim Mubarak yang memerintah negara tersebut selama 30 tahun. Mereka tidak menghiraukan lagi kesan negatif dan mudarat daripada demonstrasi yang dilakukan seperti ketidakstabilan ekonomi, ancaman keselamatan, campur tangan kuasa asing dan lain-lain lagi. Ini adalah kerana mereka melihat kesan negatif dan mudarat pemerintahan rejim Mubarak mengatasi segala-galanya.
Tekanan yang dihadapi oleh rejim Mubarak daripada rakyatnya ini mengingatkan kepada kita tentang balasan daripada Allah terhadap golongan yang bermuka-muka dalam Islam. Umum mengetahui tentang kediktatoran dan kekejaman rejim Mubarak terhadap rakyatnya dan umat Islam Palestin secara khusus.
Penangkapan pemimpin dan pejuang Islam yang dilihat menentangnya, pengumpulan harta untuk diri sendiri yang dianggarkan memiliki kekayaan AS$70 bilion dan dalam masa yang sama membiarkan rakyatnya hidup melarat sehinggalah dalam menangani isu Palestin dengan menjadi kuda tunggangan kepada Barat dan Israel cukup merobek hati rakyatnya dan umat Islam.
Bersekongkol dengan Israel mengadakan sekatan terhadap Palestin termasuk pemasangan kepingan besi oleh rejim Mubarak sepanjang sempadan Mesir dengan Genting Gaza menampakkan lagi kekejaman rejim ini terhadap umat Islam. Tujuan pemasangan ini adalah untuk menyekat terowong yang dibina oleh rakyat Palestin bagi saluran makanan dan perubatan ke wilayah mereka. Pemerintahan rejim Mubarak yang sedang terumbang ambing menanti rebah ini hakikatnya tidak lain adalah bayaran ‘cash’ daripada Allah s.w.t atas kekejaman yang dilakukan.
Tanggal 11 Februari 2011, pengumuman peletakan jawatan Hosni Mubarak disambut dengan kegembiraan luar biasa sehingga Kaherah berpesta hingga ke pagi yang turut diraikan dengan penuh kesyukuran apabila penunjuk perasaan menunaikan solat Subuh berjemaah yang ditutup dengan bacaan doa yang panjang dan mengharukan.
Fajar baru yang terbit di bumi Anbiak itu membawa sekali tanggungjawab besar rakyat Mesir untuk memulihkan politik, sosial dan ekonomi selepas ‘dicengkam kegelapan’ selama 30 tahun. Selepas fajar kegembiraan disambut rakyat Mesir, mereka perlu melalui siang yang panjang tetapi pastinya dengan sinar baru.
Apa yang terjadi di Mesir menunjukkan bahawa bukan kekuatan ketenteraan, tapi kekuatan rakyat dan pertolongan Allahlah yang mampu membawa perubahan.
Akan tetapi, perlu diingat bahawa Barat dan Israel tidak senang dengan keadaan yang berlaku di Mesir sekarang ini. Mereka tahu survival mereka di Asia Barat sangat bergantung kepada Mesir yang menjadi tali barut mereka sekian lama. Kejatuhan rejim Mubarak pastinya akan membawa kejatuhan Israel selepas itu. Mereka juga mengetahui ketidakstabilan Mesir yang mempunyai Terusan Suez jika berpanjangan akan juga memberikan kesan negatif kepada mereka dalam menguasai ekonomi dunia.
Justeru, satu usaha perlu dilakukan untuk mengembalikan kestabilan di Mesir dan dalam masa yang sama mengekalkan kelangsungan pemerintahan yang boleh menjadi kuda tunggangan mereka. Tidak peliklah jika pada hari ini kita melihat Barat yang diketuai oleh Amerika begitu bersungguh-sungguh agar Hosni Mubarak meletak jawatan kerana mereka melihat kestabilan di negara tersebut tidak akan berlaku kecuali dengan perletakan jawatannya. Perletakan jawatan Hosni Mubarak nanti pastinya tidak akan mengancam kedudukan mereka di Asia Barat kerana mereka mempunyai calon pengganti yang layak iaitu Omar Sulaiman yang kini adalah Naib Presiden Mesir. Beliau terkenal rapat dan banyak berjasa kepada Israel dalam menjayakan agenda mereka.
Dalam masa yang sama, muncul seorang hero bernama Mohammed El Baradei yang juga menggerakkan protes besar-besaran terhadap Hosni Mubarak. Siapakah El-Baradei? El-Baradie merupakan bekas pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang mana telah banyak bekerja dengan Amerika. Apakah kriteria mereka yang boleh bekerja dengan Amerika? Ia sudah semestinya mereka yang boleh mengikut telunjuk Amerika yang layak untuk memegang jawatan penting seperti IAEA itu. Jawatan itu hanyalah drama Amerika untuk melantik pelakon-pelakon mereka.
Nama El Baradei menjadi sebutan akhbar-akhbar dan media massa lain apabila IAEA menjadi orang tengah untuk meminta Iran menghentikan program nuklearnya atas arahan Amerika Syarikat. El Baradei juga salah seorang manusia yang bertanggungjawab menyiasat senjata pemusnah Iraq apabila Amerika menceroboh Iraq dengan alasan Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran.
Lihatlah liciknya permainan Yahudi. Sungguh malang rakyat Mesir atau di mana-mana sahaja apabila mereka menjatuhkan sesuatu kerajaan tanpa mereka sedar mereka menaikkan pula boneka Yahudi seterusnya tanpa mereka sedari, umpama keluar mulur buaya masuk mulut harimau. Akan sia-sialah pengorbanan dan darah rakyat Mesir sekiranya yang naik nanti juga adalah tali barut Yahudi.
Justeru, kebijaksanaan gerakan Islam dalam menghalang agenda Barat dan Israel ini adalah sangat dituntut. Kita tidak mahu rejim yang sedia ada pada hari ini digantikan dengan rejim yang lain yang meneruskan agenda Barat dan Israel . Kebangkitan rakyat Mesir pada hari ini seharusnya digunakan sebaik mungkin sebagai peluang untuk menjatuhkan jahiliyyah dan membangunkan Islam di atas keruntuhan tersebut.
Kita tidak mahu sejarah berulang semula sebagaimana berlaku ketika kejatuhan Raja Farouk, pemerintah terakhir sistem beraja di Mesir yang digulingkan oleh rakyat. Kebangkitan rakyat ini gagal diambil peluang oleh gerakan Islam untuk menggantikan sistem pemerintahan Jahiliyyah apabila yang berkuasa selepas itu adalah Jamal Abdul Nasir yang meneruskan sistem Jahiliyyah yang sedia ada.
Umum mengetahui gerakan Islam yang terkenal di Mesir sepanjang zaman ialah Ikhwanul Muslimin. Sejarah, tribulasi, cabaran dan ujian Ikhwan Muslimin terlalu berat dan pahit, sebagaimana yang dialami oleh gerakan Islam ditempat lain, padahal Ikhwan adalah gerakan dakwah dan tarbiyah, harakah syumuliah yang ingin menyampaikan Islam yang universal itu, kepada sesiapa sahaja dengan cara yang bijaksana berhemah dan penuh adab.
Kezalimanan pemimpin kerajaan yang memerintah secara diktator selama berpuluh-puluh tahun mendorong rakyat membentuk parti baru bagi menjatuhkan kerajaan dari parti sedia ada. Dalam tempoh tersebut juga, wujud golongan ulama yang cuba berjuang melalui politik walaupun tindakan tersebut adalah di luar kehendak mereka. Memandangkan syariat Islam dicemari oleh pemimpin Islam sendiri, maka para ulama menyuntik semangat golongan pemuda untuk berjuang secara berparti tetapi di atas landasan syariat yang betul.
Peranan ulama begitu penting iaitu kembali menjadi penasihat kepada umarak yang belajar dari pergolakan yang telah terjadi. Perlu ada satu kesedaran ingin kembali kepada syariat Islam dalam bernegara kerana setiap kejadian akan meninggalkan pengajaran atas yang mengalaminya.
Tetapi Ikhwan tetap sahaja difitnah oleh regim yang memerintah Mesir, mulai dari Raja Faroq, Naquib, Jamal Naseer, Anwar Sadat dan kini Hosni Mubarak, sebagaimana kecurigaan negara-negara barat terhadap Islam dan gerakan islam dan begitu pula sikap Islamophobia sebahagian umat Islam.
Ikhwanlah yang awal bejuang menentang kehadiran pendatang Yahudi di Palestin, hampir berhasil dan masa itu mungkin tidak akan tertegak Negara haram Yahudi itu, namun boneka Barat di Mesir memaksa pulang sukarelawan Ikhwan dan tidak berapa lama kemudian As Syahid Hassan Al Banna dibunuh dengan kejam kerana konspirasi boneka dan beberapa Negara barat.
Sebagai gerakan Islam yang besar, jasa Ikhwan terlalu besar buat dunia Arab dan umat islam.
Walaubagaimanapun, penulis merasakan bahawa ada sinar dalam perjuangan rakyat Mesir. Bukan bermaksud utk menafikan apa yang penulis perkatakan sebelum ini, namun untuk menambah sisi pandangan jika terdapat ruang untuk difikirkan bersama.
Benar kita akui ketika inilah agen-agen bawah tanah Barat akan masuk menyusup ke dalam setiap ‘chaos’ dan akan menjayakan ‘systematic chaos’nya. Maka yang perlunya disini adalah mengesan mana-mana pihak yang akan mendesak campur tangan antarabangsa di kalangan mereka itu. Kesempatan ini akan diambil oleh pelaksana agen-agen bawah tanah itu untuk menjayakan arahan bos-bos mereka. Ianya perlu kepada membersihkan negara Mesir dari anasir-anasir sekular dan ulama yang selama ini dibisukan oleh Rejim Hosni Mubarak kembali kepada fitrah perjuangan mereka di tempatnya.
Satu lagi perkara ialah keuntungan yang dinanti-nantikan oleh pemberi-pemberi dana dari kejadian ini adalah bentuk kemusnahan dan tafsiran yang akan dikira dengan kadar bunganya sekali yang akan dibentangkan oleh para pemberi dana untuk pakej pembangunan semula negara Mesir.
Korupsi akan meninggalkan beban hutang dan pengaliran wang keluar dari negara bergolak serta kesan kemusnahan dan pembaikan semula infrastruktur asas perlu dijalankan sejurus selepas tamat pergolakan supaya rutin perjalanan urusan seharian warga Mesir dapat berjalan semula lalu satu dana besar akan menyusul dengan menggunakan tajuk pakej pembangunan semula.
Di sinilah peranan lintah darat untuk menjerut negara yang baru tamat bergolak dengan jerutan yang lebih melemaskan jika mereka kehilangan opsyen dan meminggirkan nasihat yg benar-benar ingin membersihkan Mesir dari unsur campur tangan anasir Zionis.
Namun adakah semua ini difikirkan oleh mereka yang berpandangan ke hadapan atau tidak, kita serahkan kepada Allah s.w.t kerana Barat bukan Tuhan yang mampu menguasai hati dan pendirian semua manusia.
Teori Konspirasi adalah sesuatu jangkaan untuk mewajarkan sesuatu polemik tetapi perlu ada jalan keluar atas semua hipotesis yang dikemukakan supaya ia kelihatan lebih berhemah kerana apa yang penting adalah penyelesaian dan bukan meninggalkan persoalan-persoalan yang dibangkitkan tanpa penyelesaian ke atasnya.
Usah kita melihat orang-orang yang hidup dan mempunyai roh umpama melihat buah-buah catur, kerana ia sangat silap apabila telahan yang difikirkan itu berlawanan dengan kehendak dan naluri kita sendiri. Jika kita mengguna pakai piawaian Barat untuk mentafsir manusia, maka bentuk tafsiran kita tidak akan bebas dari pengaruhnya, sebaliknya jika kita meletakkan Sunatullah sebagai cara membuat pengukuran, kita akan melihat ruang yang perlu diisi untuk menegakkan negara melalui Daulah Islamiah yang Allah tuntut.
Tidak ada daya upaya kita melainkan dgn izin Allah semata-mata.
Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu. [Ali Imran: 160]
Dan sesungguhnya orang-orang kafir yang sebelum mereka telah melancarkan rancangan jahat (terhadap Nabi-nabi mereka): Oleh itu, (janganlah engkau bimbang kerana) bagi Allah jualah kuasa menggagalkan segala jenis rancangan jahat. Dia mengetahui apa yang diusahakan oleh tiap-tiap diri dan orang-orang yang kafir akan mengetahui bagi siapakah balasan (yang baik dan yang buruk) pada hari akhirat kelak. [Ar-Ra’d: 42]
Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang. [Al-Maidah 56]
Wallahua’lam.
0 comments:
Catat Ulasan