Ahad, Disember 27, 2009

GMUKM KOMEN ISU KEMALANGAN BAS SANI EKSPRES, 10 MAUT

Titiwangsa, 26 Dis - Berikutan dengan 10 penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat Sani Express terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM 272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini (baca di sini)


Seluruh pendukung dan penyokong GMUKM bersimpati dan bersedih dengan keluarga mangsa dan mengucapkan takziah kepada mereka yang terlibat,harapan kami semuga semuanya bersabar dan sentiasa berdoa kepada Allah supaya semua yang meninggal dunia ditempatkan oleh Allah SWT dikalangan roh orang yang beriman. Kepada semua marilah kita menyedekahkan bacaan Al Quran kepada mereka semua..Al Fatihah...


GMUKM juga menyambut baik tindakan syarikat Sani ekpress yang menyediakan pampasan kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut bagi meringankan beban mereka. Ia dilihat kebertangungjawaban di atas kemalangan yang berlaku, dan ia seharusnya membiayai kos pengebumian setiap mangsa itu.





  1. GMUKM dengan rasa keprihatinan menyarankan kerajaan mengkaji semula tahap keselamatan bas dua tingkat yang digunakan untuk perjalanan jarak jauh. Kami mencadangkan agar kerajaan membentuk satu Suruhanjaya Diraja yang diselia oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya malaysia (MIROS) dan dianggota pelbagai pihak yang berpengalaman dalam aspek keselamatan jalan raya dan pengangkutan awam di peringkat antarabangsa.


  2. MIROS perlu diberi tanggungjawab untuk menjadi sekretariat kepada suruhanjaya ini untuk mengkaji dengan telus dan mendalam langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini. Malah ianya juga perlu dianggotai oleh agensi bukan kerajaan contohnya pihak pengusaha bas ekspress sendiri dan persatuan pengguna


  3. Hal ini kerana setiap kali berlakunya kemalangan membabitkan bas ekspress dua tingkat, penumpang yang duduk di tingkat bawah selalunya menerima kesan yang teruk dan menyebabkan kehilangan nyawa. Isunya adakah bas ekspress dua tingkat ini selamat digunakan di lebuh raya di Malaysia ini? Apakah ada jaminan dari segi tahap keselamatannya secara hitam putih?


  4. Dalam masa yang sama, GMUKM tidak menolak faktor pemandu memainkan peranan penting, namun kerajaan perlu mengkaji faktor lain terutamanya tahap keselamatan lebuhraya sama ada menepati piawaian keselamatan antarabangsa atau tidak.


  5. Hal ini bermaksud, GMUKM tidak menafikan kenyataan yang dibuat oleh pihak polis berasaskan kepada pengakuan pemandu bahawa dia terlelap ketika memandu. Selain melihat faktor manusia dari sudut pemandu itu, faktor lain dari sudut pembinaan infrastruktur lebuh raya harus dilihat secara menyeluruh. Adakah pembinaan lebuhraya utara selatan ini menepati piawaian keselamatan antarabangsa?


  6. GMUKM juga tidak bersetuju dengan cadangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) supaya Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menggantung operasi semua bas milik syarikat Sani Express sementara menunggu siasatan selesai. Hal ini katanya akan memberikan implikasi yang negatif kepada banyak pihak termasuk menjejaskan pendapatan pekerja-pekerja syarikat berkenaan.


  7. Melainkan permit bas itu digantung kerana tidak mengikut peraturan yang ditetapkan. Selagi ia mengikut peraturan, permit tidak harus digantung. Perkara penting ini perlu dipandang serius.


  8. Bila permit digantung,syarikat tidak ada sumber kewangan untuk membayar gaji pekerja-pekerja di semua bahagian. Ini sudah tentu menjejaskan pendapatan pekerja. Bagaimana mereka hendak menampung perbelanjaan keluarga, persekolahan anak-anak? Apatah lagi, bas yang mengalami kemalangan itu tidak mempunyai rekod buruk sebelum ini.


  9. GMUKM juga menyarankan syarikat-syarikat bas ekspress supaya lebih bertanggungjawab di atas kesediaan dan kebajikan pemandu-pemandu. Ini bagi memastikan mereka memandu dalam keadaan yang peka dan penuh tanggungjawab terhadap berpuluh-puluh nyawa penumpang di tangan mereka.


  10. Satu sisatan yang terperinci dan menyeluruh mesti dilakukan dengan segera bagi memastikan pihak yang bertanggugn jawab diadili dengan sebaik mungkin termasuklah pemandu yang memandu bas ketika kemalangan itu yang telah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


  11. Siasatan juga perlu melibatkan keadaan jalan, pembahagi jalan dan lain-lain aspek yang berkaitan supaya kejadian seumpama itu tidak akan berulang lagi dimasa akan datang.




Berikut adalah cadangan dan komen kami di peringkat GMUKM, anda mahasiswa boleh menilai kerasionalan dan kerelevanan hujah berhubung kait permasalahan pokok yang utama.




"Bersama GMUKM kita pacu semangat keintelektualan, kebajikan dan Falsafah UKM itu sendiri sejajar dengan prinsip perjuangan kami. MAHASISWA perlu berfikir di luar kotak fikirannya lantas mencipta gelombang PERUBAHAN mendewasakan KEPROFESIOANALISME dan KETAMADUNAN bangsa demi varsiti tercinta kita ini"

0 comments:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Ayuh mahasiswa, bangkit!!!

Dah daftar belum?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites