Selasa, Mac 03, 2009

ADAKAH HARAM MENYAMBUT MAULIDUR RASUL?


Bulan rabiul awwal .... Nasyid selawat dan marhaban yang kian diperdendangkan selama sebulan. Kedatangannya menyebabkan pelbagai percanggahan pendapat tentang keharusan atau tidak mengadakan sambutan maulidul rasul. Inilah yang kita lihat saban tahun.



Pengulangan tahun hijrah mengulangkan sambutan maulidul rasul dan apa yang ada bersamanya. Soalnya, di manakah hasil atau kesan daripada sambutan maulidul rasul?




Kita tidak lagi ingin bertanya, apakah bid’ah atau tidak merayakan maulidul rasul? Ini kerana kita semua telah sebati dengan pendapat orang-orang yang mengharuskannya, (kerana kita berada di kalangan mereka) samada kita suka atau tidak.




Soalnya, adakah sambutan ini wujud pada zaman Rasulullah s.a.w.? Adakah sambutan ini wujud pada zaman Abu Bakar r.a.? Adakah sambutan ini wujud pada zaman Saidina Umar r.a.? Adakah sambutan ini wujud pada zaman Saidina Usman dan Ali? Kalau jawapannya ia, sudah pasti tiada khilaf di kalangan kita menerimanya. Dan kalaulah jawapannya tidak, maka tidaklah pelik kalau terdapat golongan yang tidak menerima sambutan maulid ini.




Cuma persoalannya, kenapakah dan apakah yang mendorong para ulamak mengadakan sambutan maulidul rasul? Apakah mereka menyambutnya tanpa sebarang sebab, atau hanya mengikut tradisi sahaja? Kalaulah kita bersangka baik dengan para ulamak silam kita, - dan sudah tentu demikian – kita pasti menyatakan bahawa mereka mengadakan sambutan hari kelahiran Rasulullah s.a.w. ini dengan tujuan tertentu.






Dan bagi saya, tidak ada tujuan lain bagi mereka melainkan kerana kecintaan mereka kepada Rassulullah s.a.w. Mereka ingin supaya Rasulullah s.a.w. sentiasa berada di sanubari umat Islam. Mereka ingin supaya umat Islam sentiasa menyayangi, menyebut dan menyanjung baginda sentiasa. Mereka inginkan supaya ajaran dan sunnah Rasulullah s.a.w. sentiasa menjadi pegangan dan amalan umat Islam.




Kalaulah ini tujuan mereka, adakah tepat perayaan maulidul rasul yang disambut oleh kita sekarang? Siapakah di kalangan kita yang bertambah kecintaan mereka kepada Rasulullah s.a.w. dengan menghadiri perayaan sambutan maulidul rasul? Apakah bertambah bilangan ahli masjid setelah selesainya sambutan? Di manakah orang-orang yang berhimpun pada 12 rabiul awwal dan berarak merayakan maulidul Rasul?




Kerana itu, marilah sama-sama kita memikirkan beberapa perkara di bawah, kerana apa yang pasti, -jika kiamat belum menjelma- rabiul awwal akan berulang, dan ia juga akan membawa bersamanya apa yang sentiasa dibawanya.




Pertama: Marilah sama-sama kita memikirkan supaya sambutan maulidul rasul memberikan sesuatu yang positif untuk Islam dan umatnya. Biarlah sambutan maulidul rasul sampai kepada matlamatnya, iaitu mengenali dan mencintai junjungan besar Nabi kita Muhammad s.a.w. Janganlah sambutan maulidul rasul hanya menjadi acara ritual yang tidak memberikan sebarang makna dan faedah.




Kedua: Memang tidak dinafikan berlaku khilaf tentang merayakan maulidul Rasul, namun tidak berlaku khilaf pada wajibnya mencintai Rasulullah s.a.w. Mengenal Rasulullah s.a.w. dan mencintainya merupakan antara kandungan rukun Islam yang pertama, sebagaimana ia juga termasuk antara rukun-rukun Iman yang enam.



Ketiga: Memang tidak dinafikan berlaku khilaf tentang merayakan maulidul Rasul, tetapi tidak berlaku khilaf dalam kewajiban menyebarkan ajaran baginda. Kerana itu, isilah perayaan maulidul rasul dengan ceramah-ceramah yang memberikan kefahaman mengenai Islam dan tuntutannya. Dan janganlah maulidul rasul hanya diisikan dengan perarakan, slogan-slogan dan nasyid-nasyid selawat, marhaban dan berzanji sahaja.


Tambahan pula, bila berlaku kekhilafan, dan kita terpaksa melakukan perkara itu, maka gunakanlah untuk menegakkan agama Allah SWT. Kita juga perlu ingat bahawa perkara yang berlaku khilaf dalam keharusannya, tidaklah sama dengan yang ittifaq (sepakat) ulamak mengharuskannya atau mengharamkannya.



Keempat: Janganlah medan sambutan maulidul rasul menjadi tempat untuk bertambahnya amalan bid’ah dan maksiat (seperti percampuran bebas lelaki perempuan semasa perarakan atau semasa penyediaan masakan untuk majlis sambutan). Ini kerana hasil yang ingin dicapai melalui maulidul Rasul adalah ittiba’ (mengikut dan menghidupkan kembali ajaran baginda).


Firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad), kalaulah kamu semua mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya kamu semua akan dicintai Allah dan Dia akan ampunkan dosa-dosa kamu, kerana Allah itu Maha Pengampun dan Maha Mengasihani”. Surah Ali Imran: 31.



Kelima: Kita hendaklah berhati-hati dan cermat dalam menceritakan perkara-perkara yang berkaitan dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah medan sambutan maulidul Rasul menjadi tempat untuk kita mengulangi kesilapan-kesilapan orang-orang yang sebelum kita yang telah tersilap (walaupun tanpa disedari) dalam menyebarkan perkara-perkara yang palsu berkaitan dengan Nabi kita Muhammad s.a.w.


Sebagai contoh kita menyebut bahawa di malam kelahiran baginda, runtuhnya tiang-tiang istana Raja Kisra, padamnya api kerajaan Parsi (yang beragama Majusi) sedangkan tidak pernah padam semenjak seribu tahun dan keringnya air Buhairah Sawah (Sawah ialah nama tempat bawah kerajaan Parsi)[1]. Samalah juga cerita kijang memberi salam kepada baginda. Cerita-cerita seperti ini tidak memberikan sebarang kesan amalan kepada kita, apatah lagi ia adalah cerita yang tidak sahih.




Keenam: Semua umat Islam yang memahami Islam akan mencintai Rasulullah s.a.w. Orang yang mengadakan sambutan maulidul rasul adalah kerana mencintai Rasulullah s.a.w., sebagaimana orang yang tidak bersetuju dengan sambutan ini juga adalah kerana kecintaan dan ittiba’ mereka dengan sunnah Nabi s.a.w.


Kerana itu, sama-samalah kita bersangka baik dan janganlah kita saling tuduh menuduh dan buruk memburukkan sesama kita. Janganlah ia menjadi perkara yang dilihat sebagai agama pada zahirnya, tetapi neraka pada batinnya.



Ketujuh: Kalaulah benar kita semua mencintai Rasulullah s.a.w., kita hendaklah buktikan dengan mengikuti ajarannya. Janganlah kita semua berhimpun pada rabiul awwal untuk sambutan maulidul rasul, tetapi masjid kita lengang dan kosong tanpa himpunan jemaah.


Janganlah kita bangun berdiri untuk berselawat, tetapi malas untuk bangun bersolat. Kalaulah kita mencintai Rasulullah s.a.w., bukan selawat dan marhaban sahaja yang kita laungkan, tetapi “kembali mengamalkan Islam” yang kita laungkan.


Kita bukan sahaja berarak membawa slogan “Akhlakmu Sungguh Agung, Wahai Rasulullah”, tetapi kita akan berarak dengan slogan “Jangan Pinggirkan Ajaran Rasulullah”, “Al-Qur’an Dan Sunnah Adalah Perlembagaan Kami” dan slogan “Tegakkan Kembali Syariah Islam Di Bumi Kami”!!!



Kelapan: Jangan kita hanya menyambut maulidul rasul tetapi menolak ajaran Rasul. Kalaulah kita menyambut maulidul rasul, maka lebih utama bagi kita untuk menyambut ajaran Rasul. Ingatlah bahawa sambutan maulidul rasul adalah satu perkara khilafiah, tetapi menyambut dan menjunjung ajaran Rasul merupakan satu kewajiban di atas leher-leher kita semua. Bahkan dalam sejarah Islam, para mujahid Islam sanggup bermandi darah dan mempertaruhkan nyawa untuk ajaran Rasulullah s.a.w.
_______________________________________________________



[1] Sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam muqadiddimah kitab “Al-Masnu’, karangan Mulla Ali al-Qari. Kitab itu merupakan kitab himpunan hadis-hadis palsu.


sumber: Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail, www://tasekpauh.blogspot.com/ UPI, KIAS, 0136353463


0 comments:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Ayuh mahasiswa, bangkit!!!

Dah daftar belum?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites