Isnin, Januari 25, 2010

KAIN RENTANG SUDAH SIAP DIGANTUNG








Walaupun tidak dicetak mesin...

Walaupun mengambil masa begitu lama untuk disiapkan...

Walaupun terpaksa pergi ke Bangi untuk dicop, disahkan dan menunggu begitu lama...

Walaupun tidak ditemani oleh pihak pentadbir kolej ke Bangi...

Walaupun terpaksa mengorbankan masa, wang dan tenaga...




Tetapi kami GEMBIRA dan PUAS kerana berjaya juga menggantung kain rentang pada Hari Penamaan atas usaha kami sendiri...


Terima kasih kepada semua wira-wirawati...

Terima kasih pihak pentadbiran kolej kerana mengajar kami supaya berdikari...

Terima kasih pihak pengurusan Bangi kerana mengajar kami erti bersabar...

Semoga menjadi kemenangan moral bagi pihak calon MAHASISWA yang bertanding...






SPEAKER'S CORNER : PEMIMPIN GMUKM BERTEMU PENTADBIR

22 Jan, Kolej Tun Syed Nasir - Satu pertemuan antara beberapa wakil pimpinan GMUKM Kampus Kuala Lumpur telah diadakan bersama pihak pentadbir kolej bagi memohon kebenaran mengadakan sudut pidato di Kolej Tun Syed Nasir.


Tujuan permohonan ini adalah untuk menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi agar mengadakan sudut pidato semula setelah kian lama dipandang sepi selain menunjukkan keintelektualan mahasiswa yang berani mengemukakan pandangan dan pendapat dikhalayak ramai.


Malangnya permohonan kami untuk mengadakan sudut pidato pada 23 Januari 2009 telah ditolak dengan beralasan tunggu sehingga Pilihan Raya Kampus (PRK) pada minggu hadapan.


GMUKM berpendapat saranan mengadakan sudut pidato yang dimaksudkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang bukanlah pada hanya minggu PRK sahaja, malah budaya ilmiah ini perlu disuburkan sekurang-kurang sekali seminggu supaya ia menjadi salah satu aktiviti sihat yang boleh diamalkan oleh masyarakat kampus. Mungkin ini cadangan kami pada pihak pentadbiran untuk pertimbangan pada masa hadapan.


Pendapat kami kedua, jika sudut pidato diadakan pada minggu PRK, makanya yang akan berpidato atau berucap hanyalah calon yang bertanding, padahal kita mahu semua mahasiswa UKM terlibat sama dan mempunyai skill pengucapan awam ini.


Pendapat kami ketiga, sudut pidato tidak semestinya diadakan pada tempat tertutup, terutamanya di Dewanserbaguna. Hal ini kerana, ianya tidak bersifat menarik perhatian dan seolah-olah 'syok sendiri' berucap di dalam dewan tersebut. Matlamat kita ialah kita mahu mewujudkan perkembangan inteletualisme dalam diri segenap mahasiswa, oleh itu tempat terbuka seperti di kafe adalah suatu tempat yang amat strategik untuk menarik seberapa ramai penonton, supaya proses penyampaian ilmu tersebut tidak bersifat terhad.


Pendapat keempat, seperti yang ditegaskan oleh KPT, sudut pidato ini tidak perlu disekat, diperlekeh dan dikenakan pelbagai peraturan yang cerewet supaya ketidakterbatasan mahasiswa menyuarakan idea dan pandangan dapat direalisasikan. Siapa yang rugi jika graduan mahasiswa yang dilahirkan walaupun mempunyai pencapaian akademik yang membanggakan, namun tidak punya "soft skill" sebagai kelengkapan personaliti?

HIMPUNAN MAHASISWA

23 JANUARI 2010-Selaras dengan tuntutan daripada Misi Mahasiswa Tawan Kampus 10 (MISI-10) yang mana salah satunya ialah menuntut agar pihak pengurusan setiap Universiti menyediakan ruang demokrasi dalam pilihanraya kampus yang telus, bebas dan adil, satu Himpunan Mahasiswa telah diadakan hari ini.

Seramai 200 mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai kampus di sekitar ibu negara telah menyertai perhimpunan ini bagi menuntut hak setiap mahasiswa di universiti. Bantahan tersebut bermula di Menara Tun Razak di Jalan Raja Laut sebelum berarak ke kompleks membeli belah Sogo kira-kira setengah kilometer dari situ, di mana mereka berhasrat untuk menyebarkan risalah kepada orang ramai untuk menerangkan suasana realiti kampus masa kini.



MISI-10 yang diwakili oleh ahli PRO-Mahasiswa Nasional (PMN) itu turut dianggotai oleh beberapa persatuan mahasiswa lain termasuklah Solidariti Mahasiswa Malaysia, Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia, Malaysian Youth and Student Democratic Movement, Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen, Srikandi Gerakan Muslimat Muda dan Gabungan Mahasiswa bantah e-Voting.

Kumpulan itu turut melihat perlunya ejen dari luar kampus untuk memantau perkembangan sepanjang kempen dan pilihanraya kampus yang bakal berlangsung. Pengerusi PMN, Mohd Shafie Hashim berkata, tuntutan lain ialah memohon agar pihak universiti menjaga dan melindungi keselamatan dan melindungi keselamatan calon dan mahasiswa daripada pihak tertentu yang cuba mengganggu perjalanan pilihan raya kampus kali ini. Mereka menuntut agar pilihan raya kali ini lebih selamat dan bebas daripada segala ancaman seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini.

Selain itu juga, PMN menuntut agar pihak universiti mengembalikan hak kebebasan bersuara mahasiswa iaitu dengan mengembalikan kuasa autonomi dan hak mahasiswa kampus khususnya hak untuk berhimpun, hak bersuara, hak berpersatuan, dan kebebasan berakademik.


PMN juga menuntut agar perlaksanaan sistem pengundian secara elektronik (e-undi) dimansuhkan serta-merta pada pilihan raya kampus kali ini. Mohd Shafie berkata bahawa ketulusan sistem ini tidak dapat dilihat kerana ia jelas diragui integritinya dan mematikan demokrasi kampus selain menyalahi prinsip undi adalah rahsia. Sistem ini memdedahkan identiti pengundi kerana mahasiswa perlu mendaftarkan nama serta nombor pelajar, malah undian juga diketahui pihak ketiga yang berkemungkinan menyalahgunakan sistem ini.

Jumaat, Januari 22, 2010

CADANGAN TERBUKA BUAT PENTADBIR UKM

Berikutan Pilihan Raya Kampus di UMT (Universiti Malaysia Terengganu) yang baru sahaja melabukan tirainya. GMUKM berbesar hati mengucapkan tahniah kepada Pro-Mahasiswa UMT dan pihak pentadbiran UMT. Beberapa pendekatan bagus dan menarik telah dilaksanakan oleh pihak HEPA UMT sepanjang PRK berlangsung, sewajarnya dijadikan contoh oleh IPTA dan IPTS lain khususnya UKM.





Dan di sini, GMUKM secara terbuka mencadangkan kepada pihak pentadbiran UKM supaya mencontohi UMT:


1. Meraikan Pilihan Raya Kampus (PRK) secara adil, telus dan profesional yang tinggi tanpa menyebelahi mana-mana pihak/kelompok mahasiswa.


2. Menggalakkan mahasiswa turun mengundi dengan menaikkan beberapa banner dan banyak bunting bagi meningkatkan kesedaran kepada mahasiswa bahawa kepentingan untuk memilih pemimpin mereka.





3. Cabutan nombor bertuah. Mahasiswa yang membuang undi akan mendapat nombor cabutan bertuah dan cabutan diadakan semasa pengumuman calon yang menang. Hadiah berupa 10 buah basikal dan lebih kurang 50 hamper disediakan untuk siapa yang bertuah.




Ini adalah tindakan yang bijak daripada pihak HEPA UMT bagi menggalakkan mahasiswa UMT melibatkan diri dalam politik kampus UMT yang kian suram dan muram kebelakangan ini. Mahasiswa UMT amat teruja dengan suasana politik yang baru dibina oleh pihak pentadbir.


Syabas diucapkan kepada pihak pentadbiran UMT dan Pro-Mahasiswa yang menang.

Pihak pentadbir UKM pula bagaimana?

ALERT ! 25hb HARI PENAMAAN, 28hb HARI PENGUNDIAN







AMANAT DARI PRESIDEN MAMPU

Saban tahun, pilihanraya kampus (PRK) pasti mewarnai suasana di institusi pengajian tinggi dan juga kolej universiti di seluruh negara. Pada tahun ini juga, pasti kancah Pilihanraya Kampus yang mana telah dibubarkan semalam akan menjadi buah mulut masyarakat dan pemerhati politik tempatan.


Persoalan besar yang selalu bermain di minda ramai pihak ialah mengapa para mahasiswa mengambil berat akan pilihanraya ini? Adakah ingin menunjukkan jaguh atau sekadar suka-suka untuk menempah nama. Atau juga sebagai alat pro kepada kumpulan tertentu yang berkepentingan?



Saya sebagai salah seorang calon dan memenangi pilihanraya pada sesi lepas yang terlibat secara langsung dalam PRK pada tahun lalu berasa terpanggil untuk menyuarakan pendapat berkaitan demokrasi di gerbang ilmu ini.



Sebenarnya, Pilihanraya Kampus (PRK) disertai oleh para mahasiswa disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah untuk menjadi pemimpin kepada pelajar itu sendiri. Sekiranya dahulu, pemilihan pengawas di sekolah hanyalah lantikan dan bukan pemilihan, tetapi ia senario berbeza di Universiti.


Mahasiswa mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana calon yang dirasakan layak untuk memimpun mereka. Yang boleh menjadi pemimpin dalam menyuarakan isu kebajikan mereka, yang boleh mengendalikan pesta konvokesyen, forum dan juga pelbagai program intelektual lain.


Para mahasiswa yang keluar mengundi inginkan satu kepimpinan yang boleh memacu perubahan ke arah penegakkan haknya di universiti. Pemimpin pelajar yang terpilih itu pula perlulah menjadi pemimpin yang mampu merubah persepsi rakan sebayanya mengenai potensi generasi muda dari seorang pelajar biasa kepada pelajar yang miliki idealisme tentang cita-cita hidup merentasi pembinaan moral dan akhlak seseorang individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.Selain itu, pemimpin pelajar yang dipilih juga wajar dilihat sebagai pemimpin pembina budaya (culture builder).



Selanjutnya, PRK merupakan medan demokrasi unggul yang mengajar para mahasiswa erti pilihanraya. Bermula dari pemilihan calon, hari penamaan calon, kempen, risalah-risalah, manifesto, kain rentang dan pengiraan undi,ia merupakan situasi sebenar seperti dalam pilihanraya umum. Mahasiswa yang didedahkan dengan PRK, akan mengetahui cara-cara perjalanan pilihanraya dan juga peraturan semasa piliharaya yang seterusnya dapat diadaptasikan oleh mereka setelah keluar dari menara gading.


Demokrasi ini dilihat boleh menyedarkan para mahasiswa bahawa pangkahan mereka amat bernilai dalam mencorakkan kepimpinan pelajar. Jadi, faktor pemakaian demokrasi dalam diri mahasiswa adalah penting sebelum mahasiswa menemui dunia realiti yang lebih mencabar dan penuh dengan pancaroba dalam ilmu politik.


Selain itu, PRK juga diperkenalkan adalah kerana ingin mencari pemimpin pelajar yang boleh menjadi contoh teladan kepada masyarakat luar terutamanya muda-mudi yang mengalami krisis identiti sekarang.


Perkara ini mampu merungkai dan membawa keluar kerumitan dan kegelisahan masyarakat yang dilingkari dengan masalah sosial dan jenayah dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah. Secara analisisnya, suara mahasiswa sebenarnya amat mahal dan apabila ia bersuara, pasti ada perkara yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat.


Di samping itu, kepimpinan negara memerlukan pelapis yang boleh menjadi pengganti kepada pemimpin sedia ada sekarang. Negara memerlukan tenaga dan daya pemikiran pemimpin yang baru bagi melangkah gagah menghadapi arena globalisasi dan juga hal ehwal dalaman negara kita.


Sekiranya kita selongkar sejarah lama, pemimpin pelajar seperti Shabery Cheek, Mahathir Mohamad, Zahid Hamidi, Saifuddin Abdullah, Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Husam Musa, Abu Bakar Chik dan ramai lagi pemimpin yang pernah memegang tampuk pemerintahan negara, pernah diasuh sebagai pemimpin pelajar.





Oleh yang demikian,jelas PRK bukan sekadar berseronok ketika kempen, tetapi juga mempunyai matlamat jangka panjang yang amat penting dalam pembangunan negara.
PRK turut mengajar erti kebebasan memilih kepada para mahasiswa dalam pemilihan pemimpin pelajar.


Para calon pula boleh menggunakan peruntukan dalam Perkara 10 klausa 1 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa setiap warganegara bebas bercakap dan mengeluarkan idea. Walau bagaimanapun, kebebasan tersebut tidak mutlak tetapi mempunyai beberapa sekatan tertentu yang antara lainnya melarang mahasiswa menyebarkan fitnah, ugutan, menghina calon lain dan juga menyebarkan provokasi.


Dalam Peraturan 64.5 Peraturan-Peraturan Pemilihan (Perjalanan Pemilihan) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia sendiri jelas melarang setiap calon dan wakilnya daripada membuat paksaan, ugutan dan deraan dalam apa jua bentuk terhadap orang perseorangan. Prinsip keadilan asasi (natural justice) boleh diterapkan ke dalam jiwa mahasiswa dan mereka dapat disedarkan dengan hak asasi untuk bebas membuat pemilihan.


Bagi setiap calon pula, sifat pemimpin pelajar yang neutral, tidak mempunyai agenda politik serta bukan jurucakap kepada parti politik perlu ada paa setiap mahasiswa yang ingin bertanding dalam PRK. Hal ini sejajar dengan konsep politik nilai mahasiswa dan juga Seksyen 15 kurungan 3 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang menyatakan bahawa para pelajar dilarang menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja.






Setelah diperhalusi tujuan PRK,maka saya merasakan bahawa PRK amat penting dalam mencorakkan pemikiran mahasiswa dan ia wajar dijadikan suatu nilai yang penting dalam diri mahasiswa. Dihujahkan bahawa pilihanraya peringkat mahasiswa bukan medan merebut kuasa seperti mendapatkan kerusi dewan undangan negeri atau Parlimen.


Pemilihan peringkat kampus juga bukannya medan membalas dendam atau menunjuk siapa yang lebih gagah dan lebih kuat. Tetapi medan pilihanraya kampus wajar dijadikan medan atau sekolah pembelajaran bagi mendidik mahasiswa untuk terlibat aktif dalam demokrasi sama ada di kampus dan di luar kampus setelah tamat pengajian mereka.


Suasana PRK pula perlulah adil dan berdemokrasi yang secara automatik akan melahirkan para mahasiwa menjadi lebih bermoral dan pro-demokrasi dalam menjana satu suasana politik sihat di Malaysia pada hari mendatang.


Oleh yang demikian, jelas bahawa matlamat pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar wajar diterima oleh pelbagai pihak bahawa ia diadakan untuk mendidik erti demokrasi kepada mahasiswa. Sekiranya ia menyimpang jauh daripada matlamat asal, dibimbangi bahawa pemimpin yang dipilih bukan atas faktor kredibiliti atau kemampuan untuk memimpin,tetapi dipilih atas dasar ketakutan dan dipaksa.


Ini akan memberikan ancaman kepada kepimpinan negara boleh meruntuhkan keutuhan negara kita pada masa hadapan. Merujuk kepada kata-kata falsafah barat yang menyatakan bahawa ‘masa depan dibeli oleh masa sekarang’, maka mahasiswa seluruh negara wajar merenung kata-kata ini dan wajar persiapkan diri untuk memandu negara selepas ini.


Janganlah pilihanraya kampus yang bernilai tinggi ini hanya melahirkan pemimpin yang hanya ‘angguk-angguk,tetapi tidak berani ‘geleng-geleng’ dan ini akan merencatkan pertumbuhan penghasilan pemimpin masyarakat yang berkaliber di negara bertuah ini.


:::::BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN::::





MPP GMUKM JUMPA SPR, MAFREL DAN MAJLIS PEGUAM TUNTUT PILIHANRAYA ADIL

Bangi 20 Jan - Wakil Umum MPP UKM iaitu Sdr.Mohd Fikah Bin Sanusi bersama MPP Fakulti Pendidikan Sdr.Affandi Abd Rahman telah menyerahkan satu proposal atau kertas kerja cadangan kepada pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), MAFREL dan juga MAJLIS PEGUAM atas cadangan supaya badan badan ini menjadi pemantau dalam perjalanan proses Pilihan Raya Kampus yang akan dijalankan pada minggu hadapan.






Pihak MPP Mahasiswa yang menyerahkan proposal tersebut menerima maklum balas yang sangat positif daripada semua pihak bermula dengan penyerahan kepada Pengerusi SPR iaitu Tan Sri Abd.Aziz Bin Mohd Yusof di pejabatnya di Putrajaya melalui pegawai peribadinya.




Turut bersama dalam rombongan itu adalah Sdr.Mohd Syafiq Bin Ab. Aziz merangkap DUTA GMUKM. Bercakap melalui pembantunya.,idea ini sangat baik dan cadangan itu akan dipanjangkan kepada Pengerusi SPR dengan kadar segera selaras dengan tugas SPR.


Semasa penyerahan proposal ini kepada pihak MAFREL melalui Setiausahanya iaitu Tuan Arphan Bin Ahmad, beliau memuji inisiatif yang dilakukan oleh pihak MPP Mahasiswa dan berjanji akan berusaha untuk memberikan kerjasama yang terbaik sekiranya diberikan lampu hijau oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia.


Tambah beliau lagi, pihak MAFREL telah dijemput untuk menjadi panel bebas dan pemantau bagi perjalanan Pilihanraya Kampus Universiti Malaya pada sesi kali ini yang dijangkakan berlaku serentak dengan UKM. Pihaknya juga bersedia untuk menghantar pegawai pegawai mereka ke UKM sebagai Panel Bebas yang memantau PRK pada kali ini.


Pihaknya juga akan memanjangkan perkara ini kepada pihak pentadbiran UKM dengan kadar segera dan akan memaklumkan respon yang mereka terima kelak kepada wakil MPP Mahasiswa.





Akhir sekali rombongan MPP Mahasiswa UKM telah pergi ke pejabat Majlis Peguam atau Bar Council di Lebuh Pasar Kuala Lumpur bagi menyerahkan proposal ini. Ianya telah selamat diserahkan kepada Presiden Majlis Peguam iaitu Mr.Ragunath Kesavan melalui pembantunya iaitu Miss Anne.



Respon yang diterima daripada pihak Majlis Peguam juga amat positif. Perkara ini juga akan dipanjangkan dan dipihak Majlis Peguam juga bersedia untuk menjadi pemerhati atau ‘watch dog’ dalam pemilihan MPP UKM pada sesi kali ini.


“Wakil Bar Council ,Mr.Chiam telah menghubungi saya petang tadi dan menyatakan kesudian mereka untuk menjadi panel bebas dalam PRK pada kali ini. Presiden Bar Council telah bersetuju dan menyerahkan perkara ini kepada panel lawyer yang diberikan tugasan ini pada mesyuarat petang ini. Tetapi menurut beliau ianya bergantung kepada persetujuan kedua dua pihak” menurut Mohd Fikah yang dihubungi.






Pada hari ini Rabu, 20 Januari 2010, Pihak MPP Mahasiswa telah menyerahkan cadangan ini kepada pihak TNC HEPA UKM iaitu Prof.Dato Dr.Mohamad Abdul Razak yang juga bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MPP pada sesi kali ini untuk respon lanjut. Menurut beliau ini merupakan cadangan yang amat baik daripada mahasiswa dan akan dibawa ke mesyuarat Majlis Pengurusan Universiti untuk tindakan lanjut.









KERTAS KERJA CADANGAN

SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR) , MALAYSIAN for FAIR AND FREE

ELECTION (MAFREL) DAN MAJLIS PEGUAM (BAR COUNCIL)

ATAU MANA MANA DARIPADANYA SEBAGAI PEMANTAU

BAGI PROSES PEMILIHAN MAJLIS PERWALIKAN PELAJAR

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA SESI 2009/2010





Menyedari bahawa Universiti merupakan medan latihan terbaik bagi seluruh mahasiswa/i memperolehi pengalaman dan pendedahan yang menyeluruh, maka amat bersesuaian sekali diadakan Pilihan Raya Kampus. Menelusuri kembali tujuan diadakan pilihanraya kampus ialah bagi memilih pemimpin pelajar yang benar-benar berkualiti bagi menerajui kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).


MPP berfungsi sebagai mata dan telinga pelajar dalam menjaga kebajikan mereka sepanjang pengajian di kampus. Ini bermakna pemimpin yang dipilih mempunyai tanggungjawab yang berat dan mereka benar-benar ‘viable’ dan berkarisma dalam memberikan perkhidmatan terbaik terhadap masyarakat kampus.


Berkarisma ialah kata kunci yang paling tepat kepada kriteria yang diperlukan bagi seorang pemimpin pelajar. Tambahan pula, Falsafah pendidikan negara dan mana-mana pusat pengajian tinggi di dunia ini mengharapkan untuk menghasilkan pelajar yang versatile dan serba boleh


Justeru, kami yakin bahawa proses pemilihan MPP ini perlu dijalankan atas kesedaran profesionalisme dari semua peringkat sama ada masyarakat, pihak pentadbiran atau mahasiswa itu sendiri. Proses pilihanraya kampus merupakan wadah demokrasi terbaik untuk masyarakat kampus memilih pemimpin mereka. Oleh itu, kebebasan diperlukan untuk mereka membuat pilihan. Pembinaan kepimpinan yang unggul dan berkarisma lebih penting daripada agenda remeh yang lain.


Jika kita lihat kejayaan pihak pentadbiran Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 (SKTTDI 1) apabila buat pertama kalinya pilihan raya pemilihan ketua murid sesi 2010 diadakan dengan dikendalikan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ini memberikan kita signal bahawa khidmat SPR bukan sahaja diperlukan dalam Pilihan Raya Umum negara, bahkan lebih luas daripada itu.


Begitu juga dengan fungsi yang dimainkan oleh MAFREL dan juga MAJLIS PEGUAM iaitu sebagai medium semak dan imbang atau ”Check and Ballance” dalam proses pilihanraya. Oleh yang demikian, cadangan ini dilontarkan kepada pihak SPR , MAFREL dan MAJLIS PEGUAM agar menjadi pemerhati bebas atau pemantau terhadap perjalanan pemilhan MPP di Universiti Kebangsaan Malaysia ini selaras dengan beberapa objektif berikut.


2.0 OBJEKTIF CADANGAN


2.1 Meningkatkan kredibiliti Universiti ini di peringkat nasional dan antarabangsa selaras dengan matlamat Yg.Bhg. Prof. Tan Sri Naib Canselor yang ingin menjadikan UKM sebagai Universiti APEX di Malaysia.


2.2 Menggembleng tenaga antara Jawatankuasa Pemilihan MPP di peringkat Universiti dengan pihak SPR, MAFREL dan MAJLIS PEGUAM atau salah satu daripadanya agar perjalanan proses pilihan raya kampus ini berjalan dengan telus dan atas dasar profesionalisme yang tinggi.

2.3 Melihatkan kepada objektif pilihanraya kampus itu sendiri iaitu sebagai medan dan peluang utama kepada mahasiswa untuk membentuk kerajaan sendiri, namun hakikatnya ianya masih tidak memberi kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa. Hal ini bagi tujuan mengurangkan daripada berlakunya ketidakadilan, kecuaian dan kesilapan di pihak Jawatankuasa Pemilihan Universiti.

2.4 Mewujudkan budaya berpolitik secara bertanggungjawab di kalangan mahasiswa agar mahasiswa boleh meneraju perubahan dalam pola kepimpinan negara dimasa hadapan.

2.5 Menjadikan SPR, MAFREL dan MAJLIS PEGUAM atau salah satu daripadanya sebagai agen semak dan imbang atau ”check and ballance” bagi keseimbangan perjalanan pemilihan Majils Perwakilan Pelajar.

2.6 Meningkatkan kematangan dalam penglibatan proses demokrasi untuk mewujudkan masyarakat madani (”Civil society”)

2.7 Memberikan peluang kepada seluruh Mahasiswa UKM untuk memahami fungsi dan peranan SPR, MAFREL dan MAJLIS PEGUAM atau salah satu daripadanya dalam menguruskan pilihan raya secara lebih terbuka.


3.0 PENUTUP

Mahasiswa perlu diiktiraf sebagai generasi pelapis kepimpinan negara yang bakal menerajui kemajuan dan ketamadunan Malaysia pada masa akan datang. Hak dan kebebasan mahasiswa seharusnya tidak wajar disekat dan dinafikan. Justeru, tidak seharusnya dibiarkan berterusan kelemahan demi kelemahan dalam proses pemilihan MPP ini tanpa ada penambahbaikan.


Hal ini juga bagi memberikan gambaran yang melambangkan pentadbiran yang mempunyai profesionalisme yang tinggi dan lebih efisien. Usaha yang gigih tanpa disulami kepentingan politik perlu digarap oleh setiap segmen masyarakat demi melahirkan mahasiswa yang berjiwa pemimpin yang bakal mencorakkan kegemilangan negara.


Jadi diharapkan agar kertas kerja ini diterima baik dipihak SPR, MAFREL dan MAJLIS PEGUAM atau salah satu daripadanya seterusnya dipertimbangkan dan dilaksanakan didalam proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UKM bagi sesi kali ini.


Berikut adalah butir butir bagi proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UKM yang akan dijalankan,


Hari Penamaan Calon : 25 Januari 2010 ( Isnin )

Tempoh berkempen : 25/1/2010 – 27/1/2010 (3 Hari )

Hari Pengundian : 28 Januari 2010 ( Khamis )





Disediakan oleh.

MOHD FIKAH BIN SANUSI

Fakulti Undang Undang / Tahun 4 Wakil Umum, Majlis Perwakilan Pelajar 2008/2009, Universiti Kebangsaan Malaysia.




Dengan sokongan,
Ahli Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2008/2009 Universiti Kebangsan Malaysia.

1. HISYAMUDDIN BIN CHE ALI
Fakulti Undang Undang/ Tahun 4 Wakil Umum Majlis Perwakilan Pelajar UKM

2. MOHD FAEZ BIN MAT ZIN
Fakulti Pendidikan / Tahun 4 Wakil Umum Majlis Perwakilan Pelajar UKM

3. PHOON KAR LIANG
Wakil Fakulti Undang Undang / Tahun 3 Majlis Perwakilan Pelajar UKM

4. MUHAMMAD HAFIZUL AMIN BIN KHALID
Wakil Fakulti Farmasi / Tahun 3 Majlis Perwakilan Pelajar UKM

5. SARZLIANA BINTI SOAIDIN @ DJUHARI
Wakil Fakulti Kejuruteraan Dan Alam Bina / Tahun 2 Majlis Perwakilan Pelajar UKM

6. MUHAMAD FAIZ BIN ISMAIL
Wakil Fakulti Pendidikan/ Tahun 2 Majlis Perwakilan Pelajar UKM

7. AFFANDI BIN ABDUL RAHMAN
Wakil Fakulti Pendidikan/ Tahun 3 Majlis Perwakilan Pelajar UKM

8. MOHD IDRIS BIN MOHD YUSSOFF
Wakil Fakulti Pengajian Islam / Tahun 2 Majlis Perwakilan Pelajar UKM

9. MAHFUZAN GADDAFI BIN MAHMUD
Wakil Fakulti Pengajian Islam / Tahun 3 Majlis Perwakilan Pelajar UKM

10. WAN NURUDDIN SHAH BIN WAN JOHAN
Wakil Fakulti Perubatan / Tahun 4 Majlis Perwakilan Pelajar UKM

11. MOHD ARIF BIN MISROL
Wakil Fakulti Sains Dan Teknologi / Tahun 3 Majlis Perwakilan Pelajar UKM

Selasa, Januari 19, 2010

SPEAKER CORNER BUKAN CERAMAH HARAM : JANGAN BERALASAN

Sudah terang lagi bersuluh rentetan kenyataan dan peringatan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah bahawa pentadbiran universiti tidak boleh menghalang kebebasan bersuara mahasiswa yang disuarakan melalui sudut pidato dengan menetapkan pelbagai syarat ataupun sekatan bagi mahasiswa yang ingin bersuara. (baca sini)


Kebebasan Bersuara


1. Pihak GMUKM amat kesal dengan sesetengah pihak seperti lagaknya melebihi pihak pentadbiran UKM melabel 'haram' usaha gigih GMUKM demi menyahut seruan KPT untuk mewujudkan suasana intelek melalui sudut pidato atau forum.


Terbaru sudut pidato GMUKM, "SPKG : apa kata mahasiswa?" di bangunan pusanika pada 12 Januari yang lepas, dilabel sebagai ceramah haram dan dipandang negatif akan tujuan penganjuran. Menjelaskan, GMUKM telah berusaha menampilkan ahli-ahli panel untuk memberi pandangan dari sisi pendapat individu masing-masing supaya mahasiswa yang mendengar dapat menimbang tara baik buruk, setuju ataupun tidak akan hujah mereka mengenai SPKG. Terpulang pada mahasiswa membuat penilaian dan tiada paksaan dikenakan.

Di sinilah suasana intelek disuburkan!


Jika yang hadir tidak membuat bising dan meneliti setiap hujah, sepatutnya lebih celik mata akan setiap kritikan berfakta, hujah berisi sekaligus cadangan membina dari GMUKM agar SPKG ini dinilai semula oleh pihak pentadbiran UKM.


2. GMUKM, senada dengan pihak KPT menegaskan bahawa sudut pidato, forum ilmiah dan diskusi intelek akan dihidupkan kembali dan disuburkan di bumi UKM walaupun masih ada pihak berhasad buruk mentohmah kata-kata nista ke atas tubuh GMUKM.


Alasannya cukup mudah sama ada 'takut', malu, tiada yang berkobolehan dan sentiasa berprasangka buruk dengan setiap tindak tanduk atau pendekatan intelek dari GMUKM. Namun bagi pihak GMUKM, kami sedaya upaya memberikan yang terbaik dan berpositif bahawa tidak ada salahnya jika pandangan mahasiswa berbeza kerana universiti adalah tempat mengeluarkan idea bernas dengan syarat secara berhemah.


3. Nampaknya pada kali ini, GMUKM melihat dan bersyukur kerana KPT lebih bertoleransi dan terbuka dalam menguruskan 'tsunami' kebangkitan mahasiswa yang semakin menunjukkan taringnya rata-rata di setiap IPTA dan IPTS. Maka, pihak pentadbiran universiti (UKM) terutamanya pengetua kolej, kakitangan universiti dan HEP yang paling dikecam hebat oleh mahasiswa kerana seringkali masuk campur urusan mahasiswa dan tidak bersikap adil, sewajarnya akur dengan arahan tertinggi dan melayan mahasiswa secara profesional. Ini adalah pendapat kami seperti yang dicadangkan sebelum ini.

Mahasiswa mahukan PERUBAHAN!



4. GMUKM menyeru kepada pihak lawan dan kawan agar kita bersaing secara sihat dalam segenap penjuru. Agenda utama pihak KPT kali ini amat menguntungkan jika mahasiswa UKM melaksanakannya di segenap peringkat sama ada di kolej dan fakulti. Tidak perlu 'lesen', kertas kerja atau permohonan jika peringkat paling tertinggi sudah beri 'green light'. Cukup mudah! Tidak perlu bersifat 'pondan' dengan menggunakan alasan kebudak-budakkan jika tiada berkemampuan.


Apa perlu ditunggu sahabat mahasiswa? Mari kita berpencak secara kemahasiswaan berintelek menjunjung Falsafah Universiti mengharumkan varsiti tercinta!

Nantikan gelombang arus perubahan dan intelektualisme GMUKM dari Bangi ke KTSN dan KTDI! Moga semua pihak bertindak secara baik dan profesional.


"BERSAMA MAHASISWA, MEMIMPIN PERUBAHAN"


Catatan Popular

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Ayuh mahasiswa, bangkit!!!

Dah daftar belum?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites