Selasa, Januari 19, 2010

Pro-MAHASISWA TERUS MENGGILA!

KUALA LUMPUR, Jan 19 — Kumpulan Pro-Mahasiswa menambah satu lagi penguasaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) hari ini dengan memperoleh majoriti mudah — tanpa saingan — dalam pilihan raya kampus Kolej Universiti Islam Antarabangsa (Kuis) Selangor.



Logo GMS

Pro-Mahasiswa KUIS


Pada hari penamaan calon hari ini barisan calon Pro-Mahasiswa memenangi 12 daripada 21 kerusi MPP yang dipertandingkan tanpa cabaran.

Ia yakin akan memperoleh empat lagi kerusi pada hari pengundian 27 Jan ini.



“Pada hari ini kumpulan Pro-Mahasiswa dapat enam kerusi umum dan enam kerusi peringkat fakulti tanpa pertandingan. Daripada baki sembilan kerusi lagi, kami jangka boleh peroleh lagi empat kerusi,” kata pengerusi kumpulan Pro-Mahasiswa Kuis Syukri Abdul Razak kepada The Malaysian Insider.



Syukri berkata ini kali pertama pihaknya meletakkan calon berdasarkan kumpulan Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi.

Bagaimanapun pengurusan universiti tidak mengiktiraf kewujudan kumpulan seperti ini dalam pilihan raya.



“Kali ini, julung kali, kami meletakkan calon dan bertanding atas nama kumpulan Pro-Mahasiswa, dan ia mendatangkan kejayaan,” kata beliau mereka berbuat demikian untuk membawa kesedaran politik di kalangan generasi muda.



Minggu lalu kumpulan Pro-Mahasiswa melibatkan 14 institusi pengajian tinggi awam melancarkan Misi-10 untuk menguasai MPP.

Kumpulan Pro-Mahasiswa juga telah menguasai MPP Universiti Malaysia Terengganu Ahad lalu.

Khamis depan sebanyak enam universiti akan mengadakan pilihan raya. (sumber)

Pro-MAHASISWA CIPTA REKOD

18 Jan- Kumpulan Pro-Mahasiswa memecahkan tradisi penguasaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan memenangi pilihan raya kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berlangsung semalam. (baca sini)


Dalam pemilihan yang keputusannya diumumkan lewat petang semalam, kumpulan Pro-Mahasiswa menguasai 11 daripada 12 kerusi MPP yang dipertandingkan.

Ini kali pertama kumpulan itu menguasai majoriti MPP yang menawarkan 12 kerusi melibatkan empat fakulti.


Setiap fakulti masing-masing menyediakan dua kerusi dan empat kerusi lain adalah kerusi kategori umum.


MPP UMT sepanjang empat sesi pengajian lalu dikuasai kumpulan Pro-Aspirasi.

Tahniah Pro-M UMT! Semoga Kemenangan Pro-M di Kampus UMT menjadi titik kemenangan Pro-M di kampus lain... Selamat berjuang sahabat-sahabat Pro-M di semua Kampus....




Pengumuman calon yang menang disempurnakan oleh TNC HEPA, Prof Dr Yahya di Dewan Sultan Mizan (DSM) pada pukul 7.30 malam. Ini adalah kemenangan yang besar bagi mahasiswa kerana kali pertama PRK diadakan secara besar-besaran dan yang paling telus setakat ini.

Bagi menggalakkan mahasiswa turun mengundi pihak HEPA menaikkan beberapa banner dan banyak bunting bagi meningkatkan kesedaran kepada mahasiswa bahawa kepentingan untuk memilih pemimpin mereka. Ditambah lagi dengan cabutan nombor bertuah. Mahasiswa yang membuang undi akan mendapat nombor cabutan bertuah dan cabutan diadakan semasa pengumuman calon yang menang. Hadiah berupa 10 buah basikal dan lebih kurang 50 hamper disediakan untuk siapa yang bertuah.

Ini adalah tindakan yang baik daripada pihak Hepa bagi menggalakkan mahasiswa UMT melibatkan diri dalam politik kampus UMT yang kian suram dan muram kebelakangan ini. Pro-M menerima respon yang positif daripada mahasiswa UMT tentang suasana politik yang baru dibina oleh pihak pentadbir.

Pengumuman calon yang menang juga disaksikan oleh NC, Yg Bhg. Prof Dr Aziz Deraman.



(sumber : TheMalaysianInsider)

Isnin, Januari 11, 2010

PERUTUSAN TERAKHIR MPP FFAR













Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi kerana dengan rahmat dan inayahNya , kita masih lagi diberikan peluang dan ruang untuk meneruskan kehidupan di dunia ini bagi mengutip butiran-butiran pahala untuk dijadikan bekalan untuk hari yang mendatang. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabat serta keluarga baginda yang berjuang untuk membawa sinar kebahagian kepada umat sejagat.






Saya mengucapkan selamat tahun baru 2010 dan salam maal hijrah kepada sahabat-sahabat yang sedang rancak memulakan gerak dan langkah untuk meniti pencarian ilmu di bumi UKM . Selamat kembali berjuang menuntut ilmu dan mengilham harapan serta azam yang baru untuk mencapai pembangunan diri secara holistik dan menjadi mahasiswa yang cemerlang di dunia dan akhirat.

“ jadikan hari ini lebih baik dari hari semalam, jadikan tahun ini lebih cemerlang dari tahun sebelumnya”

Mahasiswa/i yang dihormati,

Genap hampir setahun , saya memegang tampuk kepimpinan PMUKM fakulti farmasi bersama-sama barisan MT dan exco yang lain . Pelbagai kejayaan , dugaan dan masalah yang dihadapi untuk kami tempuh bersama-sama dalam menjalankan tugas sebagai wakil mahasiswa untuk menyuarakan hasrat dan harapan mahasiswa.






Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua barisan MT dan exco PMUKM fakulti farmasi yang bertungkus-lumus menjalankan tugas sebaik mungkin serta sahabat-sahabat fakulti farmasi yang sentiasa memberi semangat dan kerjasama untuk memberikan cadangan yang kritis dan pandangan yang bernas bagi meningkatkan lagi kredibiliti fakulti farmasi untuk menjadi fakulti yang terbaik kelak. Diharapkan semua yang terlibat mendapat manfaat serta memperoleh coretan kenangan untuk diukir pada masa depan dalam menjalani latihan kehidupan sebagai ahli farmasi professional .

Alhamdulillah, jutaan terima kasih kepada pihak pentadbiran fakulti farmasi serta pensyarah yang sentiasa memberi idea dan kerjasama untuk bersama-sama bergerak ke hadapan menuju kejayaan menjadi fakulti terkehadapan . Tidak lupa juga , ribuan terima kasih kepada pihak pentadbiran kolej tun syed nasir, pihak unit pengangkutan UKM , pihak bendahari UKM , JAKSA kolej tun syed nasir serta pihak-pihak yang banyak memberi kerjasama demi menjaga kebajikan kami semua sebagai mahasiswa UKM.


“ bergerak seiringan , memimpin perubahan”


Bersyukur kehadrat ilahi kerana dengan izinnya, kita telah melihat pelbagai perubahan yang berlaku dalam diri kita sebagai mahasiswa dan juga keadaan di sekeliling kita samada ia perubahan yang positif mahupun negatif. Kehidupan di muka bumi Allah ini menuntut diri kita agar berubah kearah yang lebih baik dan cemerlang.






Tahun 2010 ini , kita telah melihat perubahan yang berlaku di bilik-bilik kuliah dengan kemudahan-kemudahan yang telah dipertingkatkan untuk keselesaan kita semua selepas kita melalui era perubahan jabatan farmasi menjadi sebuah fakulti . Diharapkan sahabat semua akan bergerak seiringin memajukan diri dan melakukan perubahan kearah pembentukan mahasiswa yang unggul dan professional . selain itu, ucapan terima kasih kepada pihak unit pengangkutan yang sentiasa mengambil berat kebajikan kami dengan melakukan perubahan seperti menyediakan kemudahan bas selepas pukul 9 serta pelbagai perubahan lain yang memudahkan perjalanan kami semua.






Tidak lupa juga, masalah yuran yang berlaku dalam bentuk pakej juga telah diajukan dan telah berlaku perubahan untuk manfaat semua . Alhamdulillah, semua yang berlaku adalah kehendak ilahi atas usaha bersama yang kita lakukan . terima kasih kepada sahabat semua yang memberi kerjasama sepenuhnya dalam menyampaikan aduan dan cadangan untuk saya bersama-sama barisan exco yang lain berusaha untuk menjaga kebajikan kita semua.


Mahasiswa yang dirahmati,

Dipenghujung meniti kehidupan untuk menutup tirai tugasan MPP mahasiswa fakulti farmasi , saya berharap sahabat-sahabat mendapat manfaat daripada program-program yang telah diadakan seperti dialog bersama mahasiswa, program “ one week, one article ”, quiz pengetahuan am , pharm quiz di UIA serta sistem kebajikan bersepadu dan pelbagai program lain untuk meningkatkan ilmu dan pengalaman serta mengeratkan lagi hubungan sesama kita dan mahasiswa di universiti yang lain. Selain itu , saya mengucapkan ribuan kemaafan sekiranya saya bersama-sama barisan MT dan exco yang lain telah melakukan kesilapan dan kesalahan dalam menutur kata-kata dan menjalankan tugas ini .


Sebagai penutup perutusan terakhir ini , saya berharap agar mahasiswa/i fakulti farmasi khususnya UKM umumnya dapat bersama-sama meningkatkan kemahiran dalam diri bukan sahaja di bidang akademik malah di bidang kemahiran yang lain terutamanya sahsiah diri serta dapat menambah ‘nilai-nilai profesionalisme ’ dan kemahiran dalam diri mahasiswa sebagai persediaan untuk menghadapi kehidupan pada masa akan datang yang semakin mencabar. Selamat memilih barisan kepimpinan yang baru, pilihlah yang terbaik kerana ia adalah tanggungjawab kita bersama. Mahasiswa idealisma , Mahasiswa pendokong Negara tercinta.





“BERGERAK SEIRINGAN, MEMIMPIN PERUBAHAN”




Salam ukhwah,




MUHAMMAD HAFIZUL AMIN BIN KHALID

MPP FAKULTI FARMASI

PMUKM SESI 2008/2009

Aminmppfarmasi.blogspot.com

Email: org_tangkak88@yahoo.com.my

013-2169769

PROVOKASI JAHAT OLEH ASPIRASI?

sumber : Malaysiakini


Bangi, 11Jan – Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini digemparkan dengan kain rentang di Kolej Kediaman Ungku Omar yang tertulis perkataan ‘GMUKM= Pro M = Pro Israel’ dan tertera dibawa tulis tersebut juga Pemfitnah=Penipu=Pengganas dan digantung di hadapan kolej tersebut.

Kain rentang berwarna putih digantung di hadapan pintu masuk kolej berkenaan disamping terdapat tulisan kecil “AL-BAYAN” dibawahnya’.


Menjelang pilihan raya kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak lama lagi, muncul kain rentang yang menyifatkan kumpulan Pro-Mahasiswa universiti tersebut sebagai penyokong Israel.

Kain rentang bertulis 'GMUKM = Pro-M = Pro-Israel, Pemfitnah, Penipu dan Pengganas' itu digantung di sebuah kolej kediaman Ungku Omar di kampus Bangi.

"Kami mengesyaki ia dinaikkan oleh kumpulan pro-Aspirasi kerana label-label seperti pemfitnah dan penipu itu pernah dilemparkan kepada kami sebelum ini terutamanya di dalam blog rasmi GMUKM," kata jurucakap Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) Ammar Ismail.


Pelajar tahun akhir di fakulti pendidikan itu berkata, pihaknya akan mengadukan insiden tersebut kepada pihak keselamatan dan pentadbiran UKM berhubung perkara itu petang ini.

Pada 4 Januari lalu, GMUKM menyuarakan kecurigaannya kepada pentadbiran universiti yang didakwanya "berkomplot" dengan kumpulan pelajar pro-Aspirasi - musuh tradisi yang dilihat cenderung kepada kerajaan.

Menurut sumber, GMUKM tidak dipanggil menghadiri kursus calon pilihan raya kampus bagi mendapatkan sijil layak bertanding di Melaka pada 1 Januari lalu.


Program tersebut didakwa dibatalkan selepas menerima bantahan pelajar.

Universiti tersebut dijangka mengadakan pilihan raya kampusnya antara 20 hingga 28 Januari ini. Sebanyak 33 kerusi umum dan fakulti akan dipertandingkan.

Tahun lalu, GMUKM tewas di tangan kumpulan pro-Aspirasi apabila berjaya mendapat 12 kerusi sahaja.



Berita gempar ini turut dilaporkan di dalam blog kebajikan UKM, NADI UKM

Ahad, Januari 10, 2010

PENGETUA KOLEJ UKM PERLU MATANG

"Barisan pimpinan GMUKM Kuala Lumpur amat berbangga kepada bonda tercinta, Pengetua Kolej Tun Syed Nasir, Prof Madya Dr. Ruzita Abd. Talib di atas toleransi dan sifat keterbukaan bonda dalam menganjurkan 'speaker's
corner' dan malam manifesto pada pilihan raya kampus
(PRK) sesi lepas 09."


Merujuk kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam untuk membawa semula sudut pidato atau ‘speaker’s corner’ di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan akan dilaksanakan pada tahun ini dan berikutnya, selepas pindaan AUKU pada Februari tahun lalu.



Saudara Hisyamuddin, MPP Umum merangkap pengerusi GMUKM sedang berucap
dengan penuh bersemangat dalam speaker corner yang diluluskan oleh pengetua
buat julung-julung kalinya.




GMUKM berbesar hati menyambut saranan KPT setelah sudut pidato ini dipandang hambar hampir 30 tahun lamanya demi membangkitkan semula semangat mahasiswa yang kian layu dek serangan hedonisme (hiburan) dan budaya 'couple' tanpa ambil peduli dunia luar. Mahasiswa seharusnya cakna dengan isu semasa serta turun ke lapangan masyarakat bukan turut serta menyumbang kepada barah gejala sosial dan jenayah.



Sebagai golongan terpelajar tugas mendidik dan menjadi contoh kepada rakyat khususnya golongan remaja perlu dipikul di bahu mahasiswa sekalipun berucap di tengah khalayak umum. Inilah yang mencerminkan keperibadian dan kredibiliti mahasiswa bukan pelajar yang sinonim dengan 'cikgu suap ilmu' dan 'aku tidak pedulisme' di bangku sekolah.



Sejajar dengan matlamat kami, GMUKM menyarankan agar kesemua pengetua kolej dan felo di UKM mahupun universiti lain supaya lebih matang mentaati saranan KPT dan mencontohi pengetua KTSN supaya budaya ilmu ini tidak lagi mendapat tempat paling tercorot dalam sistem ko-kurikulum mahasiswa.


Lantaran itu, GMUKM mengajak agar kita sama-sama mewujudkan budaya profesionalisme dan bertolak ansur tanpa pilih kasih oleh pihak atasan. UKM Bangi sebagai contoh utama, mahasiswa teramat sesak dan tertekan apabila tidak dibenarkan berkempen secara aman di kolej-kolej khususnya di KIY dan KBH walaupun akta kempen secara rasmi dibenarkan pada waktu tersebut.


Kita tidak mahu ada unsur penipuan dan ketidakadilan sepanjang musim pilihan raya kampus dengan menggunakan kuasa pengetua atau pihak tertentu. Tiada lagi "kempen haram" dan sekatan yang tidak rasional ke atas mahasiswa menampakkan kebudak-budakkan dan seolah-olah takut dengan team GMUKM.


Ayuh! Bersatu berubah demi meningkatkan rangking UKM ke peringkat teratas.


GMUKM bukanlah pembangkang. Kami adalah mahasiswa yang sanggup berkorban untuk menjadi kuli kepada mahasiswa demi perjuangan yang telah kami sepakati bersama (Intelektual, Kebajikan dan Falsafah Universiti). Sebagai agen check and balance, kami ingin bersuara secara profesional juga mengkritik secara positif dan membina, dan sedaya upaya membentuk gerakan mahasiswa berintelektual jurubicara kepada masyarakat sekeliling, seterusnya menerajui tampuk pemerintahan ke arah Malaysia berwawasan. Bakat sebenar mahasiswa perlu diserlahkan!


Jika suara kami disekat, lontaran idea bernas dan hujah sarat berfakta tidak akan kesampaian. Ruang perbincangan antara mahasiswa dan pihak atasan akan menemui titik noktah. Usaha memajukan universiti dan budaya ilmiah ini akan diperap bagai "jeruk".


Pihak HEP, kakitangan UKM, pengetua, felo-felo kolej, pengawal keselamatan, JAKSA kolej dan pihak Aspirasi perlu mengingati kes hitam mencoret arang ke "muka" UKM tersebar ke pengetahuan masyarakat akibat tindakan melulu tanpa pertimbangan rasional dan profesional oleh pihak pentadbiran kolej dengan mendenda RM1400 terhadap beberapa siswi akibat berusrah pada 14 Ogos lalu di sebuah kolej UKM.


Kami tidak mahu lagi wujudnya campur tangan dalam urusan mahasiswa. Fahamilah, ini adalah masa depan generasi kami! Janganlah didik generasi kami seperti "lembu dicucuk hidung", dipaksa, disuruh, dipujuk dan diugut supaya menjadi calon bertanding kerusi PMUKM. Izinkanlah mahasiswa bertanding secara adil dan berdikari.


Kita ingin harumkan nama UKM, maka persaingan sihat antara mahasiswa untuk mencorak sejauh mana keupayaan mereka dalam membawa UKM ke persada antarabangsa perlu diberikan ruang dan peluang seluasnya oleh pihak atasan. Persaingan ini adalah antara mahasiswa-mahasiswa dan bukannya antara mahasiswa-"tangan ghaib".










Berikut adalah secebis memori sepanjang speaker's corner dijalankan pada tahun lepas.








Jumaat, Januari 08, 2010

MANIFESTO MPP FPER TERTUNAI SUDAH



8 Jan, Jumaat - Dengan bertemakan "Ke Arah Fakulti Berintegriti" , saudara Wan Nuruddin Syah Wan Johan menamatkan perkhidmatannya dengan misi jelajah ke setiap Fakulti Perubatan termasuklah Jurusan Kejururawatan. Objektif dalam jelajah kali ini adalah :

1. menjelaskan segala aktiviti dan program sepanjang perkhidmatan
2. postmortem setiap aktiviti, program dan manifesto
3.resolusi gerak kerja pada masa hadapan
4. amanat dari MPP FPER




"Kepimpinan adalah suatu amanah dan tangung jawab, dan umum menyetujui, sebarang penyelewengan hendaklah ditegur secara membina dan positif oleh mahasiswa dan masyarakat kampus", jelas saudara Wan Nuruddin.


Samada DIPIMPIN atau MEMIMPIN semuanya harus kembali kepada ALLAH S.W.T, yang lebih MAHA BERKUASA kepada hambaNYA.


"Memimpin dan terpimpin bukanlah satu kerja mudah. Tidak ada fakulti atau buku khusus di dalam dunia ini yang mengajar bagaimana menjadi seorang MPP sama ada MPP Fakulti atau MPP Umum yang bersifat lantikan politik. Sudah tentu ia menuntut 1001 pengorbanan untuk merealisasikan apa yang telah dijanjikan."


"Namun mahasiswa mahu melihat keberkesanan dan keprihatinan pimpinan ini dalam menjalankan tugas. Baik perkhidmatan yang diberi maka baiklah pimpinan/gerakan yang memerintah. Justeru itu, pemimpin yang terlibat perlu lebih banyak bermuhasabah dengan amanah yang dipikul."





Muhasabah atau refleksi ke atas diri, tugas, amanah, organisasi dan apa sahaja yang berkaitan dengan diri mesti selalu dilakukan. Bahkan amat terpuji seseorang yang mampu berlapang dada menerima nasihat, pandangan dan kritikan terhadap dirinya semata-mata untuk mengesan di mana kelemahan yang perlu diperbaiki.


Selayaknya seorang pemimpin membuka ruang kepada sahabat-sahabat mahasiswa untuk memuhasabah terhadap diri dan tugas yang dipikulkan. Medan perbincangan adalah medan yang terbaik untuk sama-sama kita lakukan muhasabah dari berbagai sudut terutama prestasi sepanjang sesi perkhidmatan.




Amanat yang perlu diingat dalam kotak minda setiap mahasiswa bahawa, kita haruslah berani melaksanakan perubahan di dalam setiap lapangan yang diceburi. Mengikut arahan dan pujukan dari sang pemerintah atas dasar “tradisi”, "dipaksa" atau "takut diugut dan dibuang kolej" membuatkan pemikiran jumud dan bakat kepimpinan menjadi sempit dan berada di tampuk yang lama. Statik dan susah berubah.


Berubah merupakan kunci yang cukup-cukup penting dalam sesebuah kepimpinan, ia juga merupakan salah satu perkara yang harus diambil kira oleh mereka yang dipimpin untuk merubah pimpinan yang benar-benar berjaya. Memilih pemimpin adalah kerana prinsip, falsafah dan nilai yang mereka perjuangkan untuk masyarakat. Kuasa adalah amanah dan kuasa adalah tanggungjawab.


Cenderamata dari team GMUKM, hadiah daripada MAHASISWA kepada MAHASISWA. "Bersatu Berubah!"


Syukur sambutan daripada mahasiswa amat menggalakkan dengan usaha gigih team GMUKM. Percayalah, kami sanggup berkorban untuk mahasiswa demi perjuangan kebajikan, keintelektualan dan Falsafah Universiti UKM itu sendiri.


Seronok mendapat cenderamata tali "handphone" GMUKM. Turut serta jualan produk GMUKM seperti button batch GMUKM, kalendar dan t-shirt GMUKM.


Ingatlah wahai mahasiswa, pilihlah pemimpin yang benar-benar berkualiti dan buat kerja, bukan pemimpin cakap kosong dengan janji-janji manifesto yang manis sahaja. Jentera GMUKM sudah bersiap siaga sebagai "government in waiting" bagi memegang tampuk pemerintahan MPP UKM pada sesi pilihanraya kampus kali ini. Undilah calon-calon GMUKM atas dasar inginkan perubahan bukan ketidakmatangan. Fikirlah serasionalnya siapa yang buat kerja dan siapa yang lebih layak. (see)


" BERSAMA MAHASISWA, MEMIMPIN PERUBAHAN!"



GMUKM MENGUTUK KERAS SERANGAN KE ATAS GEREJA!

Jumaat, 8 Jan - Barisan pimpinan GMUKM sekerasnya mengutuk tindakan "pihak tertentu" yang menyerang dan mengebom 3 buah gereja di sekitar Lembah Klang seolah-olah dirancang serentak dengan demonstrasi membantah penggunaan Kalimah Allah.


Perbuatan provokatif tersebut sudah terang-terangan sengaja dirancang oleh "pihak tertentu" untuk mewujudkan kekecohan di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kamu dan agama. GMUKM memberi amaran tegas, jangan semburkan api perkauman sekali lagi setelah kes paling memalukan yang dilakukan oleh agen-agen UMNO pada 28 Ogos 2009 dengan berarak kepala lembu ke bangunan sekretariat kerajan negeri (SUK) Selangor


Arak kepala lembu bantah pindah kuil. Jangan ambil kesempatan dengan propaganda-propaganda murahan disebabkan isu sensitif ini!




Sikap ekstrim ini amat bertentangan dengan prinsip Islam dan bercanggah dengan perlembagaan Negara, iaitu mengamalkan kebebasan beragama dan Islam sebagai agama rasmi. Islam itu sendiri sungguh indah dengan menjamin kesejahteraan ummah dan menghormati penganut agama lain.


Perlu difahami dengan jelas bahawa, agama Islam mengajak umatnya berdakwah dan melebarkan kebaikan. Islam amat melarang sebarang kejahatan dan kemungkaran apatah lagi menceroboh dan merosakkan hak awam.





GMUKM berharap masyarakat sekeliling agar bertenang dan tidak melemparkan tuduhan ini kepada mana-mana kumpulan agama. Kami yakin kejadian ini dirancang oleh "pihak tertentu"yang terdesak dan mahu dilihat kononnya sebagai "hero" mempertahankan Islam ekoran isu penggunaan nama Allah. Semuanya berpunca dari politik amarah yang sempit, ditambah unsur provokasi jahat yang semakin menular dan runtuhnya rasa saling hormat-menghormati terhadap kepercayaan dan rumah ibadat agama lain.


GMUKM yakin sebarang perselisihan dapat diselesaikan dengan menumpukan usaha membawa semua pihak ke meja rundingan seperti yang dianjurkan oleh Islam. Seperti yang telah kami cadangkan pada entry sebelum ini, pihak berwajib dan kerajaan perlu mengambil langkah segera untuk menyelesaikan masalah bukan hanya melepaskan batuk di tangga.


Perlu diingat, rakyat Malaysia sudah celik dan mampu berfikir dengan bijak jika kerajaan mengambil langkah sambil lewa dan pihak mahkamah sengaja melambatkan prosedur perbicaraan kes. Fahamilah bahawa, mahkamah bukanlah satu-catunya jalan keluar terhadap isu permohonan Gereja Katholik menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam akhbar mingguan (The Herald) malah pendekatan lebih murni seperti dialog dan wacana lebih berkesan.


Hal ini kerana (Badan) Perundangan bukanlah satu-satunya cara untuk menyelesaikan permasalahan yang ada, malah keputusan-keputusan mahkamah tersebut boleh dimanipulasi oleh sesiapa sahaja seperti yang telah masyarakat tonton sandiwara-sandiwara permainan politik kotor yang semakin menjelekkan.


Badan bukan kerajaan (NGO) yang berlatarbelakangkan agama sama ada Islam atau bukan Islam diseru agar menggiatkan lagi usaha pendidikan ke atas penganut masing-masing. GMUKM memberikan contoh terbaik dari Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dalam mendidik dan menjernihkan pemikiran mahasiswa di sana. (baca sini)

Mahasiswa/i UKM dijemput hadir sama ke forum tersebut.


Selasa, Januari 05, 2010

PANDANGAN GMUKM : ISU KALIMAH ALLAH


5 Jan, selasa - Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan terbitan gereja Katholik, Herald, menggunakan perkataan Allah sebagai ganti 'God' dalam bahasa Inggeris, Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) terpanggil untuk memberikan pandangan dan cadangan :








1. GMUKM amat menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama, melainkan ia merupakan pilihan sendiri. Prinsip kebebasan beragama ini juga telah dimaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.


2. Walaupun demikian, dalam kontak masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama. Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.


3. GMUKM ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.


4. Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini. Peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.


Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Imran ayat 64 yang bermaksud:

Katakanlah hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia, dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya, sebagai tuhan selain Alllah.



5. GMUKM dengan tegasnya menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.


6 . GMUKM mencadangkan agar pihak-pihak berwajib (JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan, Persatuan Mahasiswa Islam, GAMIS, badan-badan NGO, etc) :

  • Meneruskan dialog bersifat intelektual bersama golongan bukan Islam supaya penggunaan kalimah Allah ini dapat diperjelaskan.
  • Perjelaskan mengenai kemurnian dan keindahan agama Islam mengikut perundangan dan sejarah Islam itu sediri.
  • Untuk umat Islam pula, penjelasan yang lebih dalam akan disampaikan menerusi medium sedia ada seperti khutbah Jumaat dan forum Islam untuk menjaga keharmonian yang sedia terbentuk selama ini
  • Perluaskan ruang lingkup dakwah dan jangan persempitkan. Mantapkan gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.

GMUKM dengan prihatin menyokong segala bentuk aktiviti atau program dakwah bagi menjelaskan Isu Kalimah Allah ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.



"Allah For All * Islam For All"




>>>>>> cadangan rujukan lain (klik)

Catatan Popular

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Ayuh mahasiswa, bangkit!!!

Dah daftar belum?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites