Isnin, Julai 05, 2010

Sambutan 40 tahun UKM



Sambutan 40 tahun UKM- Menjelang 18 Mei 2010, UKM menyambut ulangtahun penubuhannya yang ke-40. Bersempena dengan hari bersejarah ini, sambutan Ulang Tahun ke-40 UKM mencapai kemuncak dengan majlis Titah Perdana DYMM Tuanku Canselor ,Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir,DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus yang disertai Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud,DYMM Tunku Ampuan Besar negeri Sembilan Darul Khusus.
Majlis bermula sekitar 3 petang dengan keberangkatan tiba DYMM Yang di- Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan diteruskan dengan bacaan doa dan seterusnya ucapan Naib Canselor, Y. Bhg Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.
Majlis mencapai kemuncaknya dengan Titah Perdana DYMM Tuanku Canselor dan Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-40 UKM. Titah Perdana DYMM Tuanku Canselor menekankan sejarah penubuhan UKM sehinggalah ke Era Pengiktirafan UKM (2006-Kini) yang telah mencapai pelbagai pencapaian cemerlang di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.
Persembahan multimedia, persembahan Koleksi Buku Syarahan Perdana dan Acara di Foyer Canselori Aras 2 menyusul setelah berakhirnya Titah Perdana DYMM Tuanku Canselor. Antara acara di Foyer Canselori Aras 2 adalah acara menandatangani Plak sambutan 40 Tahun UKM, pelancaran Setem dan & Sampul Surat Hari Pertama UKM, Laman Web Baru UKM dan Buku-buku Terbitan UKM.
Pameran di Foyer Canselori
Majlis berakhir setelah berlangsungnya lawatan ke pameran dan keberangkatan balik DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus yang disertai Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud,DYMM Tunku Ampuan Besar negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM dan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud. Jutaan penghargaan kepada DYMM Tuanku Canselor dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan di atas perkenan mencemar duli di bumi UKM ini bagi menyempurnakan Sambutan Ulang Tahun ke-40 UKM ini.
Menelusuri sejarah:Seusia 40 tahun penubuhannya, UKM telah berjaya melahirkan seramai 131,259 graduan; 113,975 Graduan Sarjana Muda; 15,895 Sarjana dan 1,389 PhD. Dengan pencapaian membanggakan ini, semoga lebih ramai ahli-ahli intelektual akan dilahirkan di bumi UKM untuk menyumbang kepada negara seterusnya menaikkan nama UKM di mata dunia, seperti wadah Dato’ Sri Canselor dalam ucapannya semasa majlis Titah Perdana: Universiti Kebangsaan Malaysia Universiti Untuk Negara.
 
MENGILHAM HARAPAN,MENCIPTA MASA DEPAN

 Sumber: MPP FSKB, Nur Ili Mohamad Tarmizi

Pertemuan bersama TNC HEPA

18 Mei 2010 : Satu pertemuan ringkas telah diadakan antara MPP mahasiswa bersama Dato TNC Hal Ehwal pelajar dan Alumni(HEPA), YBhg Prof Dato’ Dr Mohamad Razak yang bertempat di pejabat TNC HEPA,aras 5,bangunan canselori.

Pertemuan ini bertujuan membincangkan isu-isu kebajikan pelajar yang memerlukan perhatian segera. MPP yang terlibat adalah MPP Umum,saudari Nabilah bt Mohamad Maiyidin, MPP Fakulti Pendidikan,saudara Wan Ahmad Fahmi B Wan Abdul Hamed dan MPP FSKB sendiri.



Isu-isu yang dibawa oleh MPP FSKB adalah berkenaan mengadakan ATM Bank Islam di Kampus KL, isu bayaran tinggi di Plaza Rah dan penaiktarafan dewan kuliah di kampus KL.

Menyentuh mengenai isu ATM Bank Islam di kampus KL yang telah pun berlarutan dalam masa setahun, Dato’ TNC telahpun mengambil maklum akan hal ini. Beliau memahami masalah kesulitan pelajar untuk ke Bank Islam yang terletak jauh dari kampus. Malah beliau memberi jaminan bahawa pihak universiti sedang berusaha menyelesaikan masalah tersebut dalam jangkamasa setahun.

Berhubung isu bayaran yang tinggi di Plaza Rah pula, Dato’ Mohamad telah berunding dengan pemilik Plaza Rah bagi menurunkan bayaran bagi pelajar UKM, namun penurunan bayaran tidak dapat dilakukan atas sebab-sebab tertentu. Subsidi juga tidak dapat diberikan kerana pihak universiti mengalami masalah kurang peruntukan kewangan.

Setelah sekian lama, dewan kuliah di kampus KL memerlukan proses penaiktarafan seiring dengan peningkatan prestasi UKM terutamanya bagi para pensyarah dan Pelajar Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Fakulti Perubatan,Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi yang menggunakan dewan kuliah tersebut. Penaiktarafan dewan-dewan kuliah ini adalah perlu kerana kampus KL sering menerima kunjungan daripada pelawat-pelawat luar dan pensyarah dari luar negara dan bagi memberikan keselesaan dan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar kampus KL. MPP Mahasiswa kampus KL akan menyiapkan kertas kerja bagi permohonan penaiktarafan dewan kuliah ini dan menyampaikannya terus kepada pihak TNC HEPA bagi tindakan selanjutnya.

Selain daripada isu-isu kebajikan, perbincangan turut berfokus kepada isu-isu semasa berhubung universiti seperti kejatuhan UKM dalam dalam 2010 QS Asian University Ranking (AUR) dan peranan pelajar UKM dalam menyumbang kepada UKM dalam terma universiti penyelidikan.

Setinggi penghargaan kepada Prof Dato' kerana dapat meluangkan masa bagi membincangkan isu-isu kebajikan kritikal pelajar dan amatlah diharapkan semoga jalan penyelesaian dapat diambil segera bagi mengatasi masalah-masalah yang telah diutarakan.Sekian.

Suara Anda Keutamaan kami

Sumber: MPP FSKB  Nur Ili bt Mohamad Tarmizi

Sabtu, Jun 05, 2010

KRISIS KEGANASAN MISI KEMANUSIAAN GAZA

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt.

Beberapa hari yang lalu, dunia telah digemparkan dengan serangan Israel laknatullah ke atas flotilla misi kemanusiaan ke Gaza. Seperti yang semua maklum, sebanyak 7 buah kapal telah menyertai konvoi ini ke perairan Gaza melalui Laut Mediterranean dan kapal induk Mavi Marmara telah sewenang-wenangnya dikepung dan diserang oleh tentera rejim zionis. Akibat tindakan biadab mereka ini, seramai 9 orang telah terkorban dan berpuluh-puluh lagi cedera.

Seramai 12 orang aktivis dari Malaysia termasuk 2 orang krew Astro Awani yang turut sama menyertai misi kemanusiaan ini dilaporkan selamat dan akan tiba di Malaysia pada hari Ahad ini. Atas dasar kemanusiaan, konvoi ini telah membawa sebanyak 10,000 tan barangan bantuan dan membawa seramai lebih 540 aktivis dari lebih 50 buah negara dan mereka turut menegaskan tidak membawa sebarang bentuk senjata walaupun utk tujuan mempertahankan diri. Ini jelas menunjukkan niat para aktivis adalah semata-mata untuk melaksanakan misi kemanusiaan terhadap masyarakat Palestin.

Walaupun konvoi yang menaiki kapal Mavi Marmara tidak dapat meneruskan misi mereka ke Gaza, sebuah lagi kapal iaitu Rachel Corrie yang membawa aktivis dari Malaysia dan Ireland yang bertolak sedikit lambat ke Gaza bertekad mahu meneruskan misi mereka ke Gaza. Namun , berita terkini yang diperoleh mengesahkan kapal ini juga dikepung dan tidak dibenarkan ke perairan Gaza. Semua hubungan dengan kapal Rachel Corrie juga terputus yang dipercayai disabotaj oleh oleh tentera Israel. Namun begitu, semua aktivis dilaporkan selamat dan tiada pertumpahan darah berlaku.


Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kita sewajarnya berbangga dan berterima kasih kepada semua aktivis yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza kerana mereka telah menyedarkan kita yang terlena terhadap kezaliman yang telah dilakukan oleh Israel laknatullah kepada saudara-saudara kita di Palestin. Dunia kini bangkit dengan semangat yuang berkobar-kobar demi melenyapkan kekejaman di muka bumi ini khususnya di bumi Palestin dan GMUKM menyeru seluruh mahasiswa di Malaysia supaya sentiasa cakna dengan apa yang berlaku di sekeliling kita dan menjadi mahasiswa/i yang sentisa berada di barisan hadapan dalam mengutuk dan mengecam perbuatan keji rejim zionis ini..Allahuakbar!!!

Selasa, Mei 25, 2010

4 MAHASISWA UKM DITAHAN

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) kesal dengan peristiwa penahanan empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia oleh pihak polis di Hulu Selangor dan menyifatkan tindakan tersebut seolah-olah berundur ke belakang ketika masyarakat dunia khususnya  para belia dituntut mempunyai rasa tanggungjawab dan prihatin terhadap pentadbiran dan pembangunan negara hari ini. 
Menyoroti hari kejadian tersebut, mereka ditahan dalam sebuah sekatan jalan raya di Hulu Selangor bersama tiga orang awam yang lain. Kemudiannya, Pihak pentadbiran UKM telah mengeluarkan surat pertuduhan terhadap empat orang mahasiswa tersebut pada 13 Mei lalu. 
Empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik tersebut ialah Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai. Mereka akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM pada 2 dan 3 Jun ini atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang di bawah seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang bermaksud; 
"Tiada seorang pun pelajar universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut perlembagaan boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan bangkangan terhadap - (a) mana-mana parti politik sama di dalam atau di luar Malaysia".
Ironinya semua pertuduhan tersebut ditujukan kepada empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik.  Sudah menjadi kebiasaan kepada setiap mahasiswa untuk turun ke lapangan masing-masing bagi menimbau sebanyak mungkin pengalaman dan mengukuhkan pemahaman. Di mana lagi lapangan bagi mahasiswa jurusan Sains Politik sekiranya bukan dalam  pilihan raya. Ini ternyata bercanggah dan tidak logik bagi akal apabila seorang yang sedang menduduki jurusan di dalam kuliah universiti secara teori tetapi disekat hak akademik mereka untuk mengorientasikan pembelajaran mereka ke lapangan sebenar.  
Dalam sidang media baru-baru ini, Muhammad Hilman selaku Presiden Kelab Sains Politik telah menegaskan bahawa penahan beliau bersama tiga orang yang lain adalah sangat tidak munasabah bagi mereka yang mendalami jurusan Sains Politik.


“Menjadi adat sebagai mahasiswa jurusan sains politik untuk turun ke lapangan pilihan raya. Kalau mahasiswa perubatan turun ke hospital. Bagi jurusan sains politik, kami turun ke lapangan pilihan raya untuk lihat bagaimana politik (yang) sebenar berlaku," kata Muhammad Hilman Idham
Dakwaan ‘ menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan bangkangan terhadap - (a) mana-mana parti politik sama di dalam atau di luar Malaysia ‘ pula nyata gagal dibuktikan dengan jelas apabila salah seorang mahasiswa yang ditahan menegaskan bahawa mereka kebetulan ‘hanya menumpang kereta seorang  aktivis’ dan ‘bukan berkempen’. Justeru tindakan pegawai Hal Ehwal Pelajar yang terus menuduh mahasiswa tersebut menyokong Pakatan Rakyat nyata dikesali dan memalukan seluruh warga Universiti Kebangsaan Malaysia kerana bertindak kurang rasional dan kebudak-budakkan.

AUKU yang sangat diagung-agungkan oleh pihak pentadbiran UKM ternyata sudah tidak releven lagi. Ini ternyata telah membantutkan pertumbuhan idealisme mahasiswa sejurus mengurangkan kredibiliti mahasiswa sebagai pemimpin pada masa akan datang.
“ Kenapa kerajaan perlu sekat kebebasan bersuara mahasiswa melalui AUKU sekiranya kerajaan berada di pihak yang benar. Kami sebagai mahasiswa hanya ingin menyuarakan pandangan serta pendapat terhadap sesuatu isu. Kerajaan sepatutnya menjadikan lontaran idea dari kalangan mahasiswa sebagai batu lonjakan bagi memperbaiki sistem pentadbiran Negara ke arah yang lebih baik.Sepertimana yang kita sedia maklum, kebanyakan IPTA di Malaysia mencatatkan penurunan rangking Asia.Jika kerajaan terus menerus menyekat idealisme mahasisa, saya khuatir kualiti mahasiswa-mahasiswa yang dilahirkan akan terus jatuh dan akhirnya akan menyebabkan Malaysia semakin terkebelakang akibat tidak mampu melahirkan mahasiswa yang berfikiran kritikal dan kritis.” Tegas Mohd Hafiz B Abdul Razak selaku Pengerusi GMUKM

Sabtu, Mei 22, 2010

Hari Melukis Nabi Muhammad cetus perang di Facebook

Idea kartunis Amerika Syarikat, Molly Norris, mengisytiharkan 20 Mei sebagai ‘Everybody Draw Mohammed Day!’ (Hari Melukis Muhammad) menyebabkan beribu-ribu orang mengambil bahagian selain mencetuskan bantahan lebih ramai lagi menyebabkan Pakistan menyekat laman web Facebook.
Norris asalnya mengemukakan cadangan itu sebagai membantah keputusan rancangan Comedy Central menapis episod South Park memaparkan Nabi Muhammad dalam kostum beruang. Cadangannya bulan lalu kemudian menyebabkan ramai pengguna Facebook mengambil bahagian dengan melukis wajah nabi di laman web itu. Sehingga kelmarin, lebih 41,000 pengguna Facebook menyokong karikatur nabi di laman mereka, manakala 56,000 lagi membantah.
Sementara itu, Pakistan mengarahkan pembekal perkhidmatan internet menyekat Facebook kerana menggalakkan pengguna menyiarkan imej Nabi Muhammad

Kemarahan disuarakan di Pakistan dan negara lain kerana Islam melarang penyiaran imej Nabi. Kerajaan Pakistan bertindak selepas sekumpulan peguam Muslim memperoleh arahan mahkamah supaya menyekat Facebook sehingga 31 Mei.
Petang kelmarin, akses kepada laman berkenaan tidak menentu kerana pembekal perkhidmatan internet mula melaksanakan arahan itu.

Di Karachi, kira-kira 2,000 pelajar mengadakan perhimpunan dan mendesak Facebook diharamkan kerana membenarkan karikatur nabi disiarkan.
Berpuluh-puluh pelajar berhimpun di kawasan berhampiran sambil memegang papan tanda menggesa jihad terhadap penghina nabi.
Beberapa negara lain seperti China sudah mengharamkan Facebook buat selama-lamanya
Diharapkan pengguna facebook sedar akan tujuan mereka menyertai laman sosial ini. Mungkin ada kebaikan dan terdapat juga keburukan. Jangan sampai dalam tidak disedari, kita sendiri bersubahat dalam menjatuhkan Islam. Tepuk dada tanya iman!











Selasa, April 06, 2010

Solat Hajat dan Tazkirah daripada MPP Mahasiswa

3 APRIL-Solat Hajat dan Tazkirah MPP Mahasiswa di surau D,Kolej Tun Syed Nasir, semalam merupakan rentetan Roudtour MPP Mahasiswa dari wakil umum MPP Mahsiswa dan MPP Fakulti Kampus KL. Solat Hajat diadakan bagi mendoakan rakyat Palestin dan juga sempena peperiksaan akhir semester yang bakal ditempuhi tidak lama lagi. MPP Mahasiswa mengimamkan solat dan memberi tazkirah atau peringatan kepada mahasiswa/i yang hadir antara maghrib isya’.

Antara MPP umum Mahasiswa yang turut memeriahkan lagi majlis ialah Muhammad Syafiq b Abdul Aziz dan Muhamad Faiz b Ismail. Turut hadir adalah MPP yang mewakili Fakulti FSKB 3&4, Nur Ili Mohamad Tarmizi, Nasiha Omar,MPP Fper dan Khairul Anuar bin Mat Lazim , MPP FPI.

"Pada saat ini, kita tak mampu mengangkat senjata membantu umat Palestin yang ditindas golongan yang tidak berperikemanusiaan. Untuk peperiksaan akhir semester, sememangnya kita mampu berusaha untuk melakukan yang terbaik, namun Allah masih menjadi penentu segalanya. Jadi, mudah-mudahan solat hajat dan doa kita dimakbulkan seterusnya menjadi senjata yang cukup ampuh bagi individu mukmin."kata Khairul Anuar, MPP FPI.

SAYA MAHASISWA PRIHATIN



MPP Mahasiswa mengambil inisiatif untuk turun ke akar umbi bagi membudayakan nilai murni dalam kalangan mahasiswa, bermula di UKM Kampus KL. "SAYA MAHASISWA PRIHATIN" merupakan suatu bentuk seruan bagi memupuk nilai keprihatinan dalam kalangan mahasiswa.


Seperti biasa, MPP Mahasiswa menggunakan pendekatan 'turun padang' untuk mendekati mahasiswa/i UKM. Booklet yang mengandungi maklumat tentang Tabung Kebajikan Pelajar dan Audit MQA diedarkan untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa. Borang permohonan Tabung Kebajikan Pelajar turut diedarkan dan reaksi yang diterima menunjukkan bahawa masih ramai mahasiswa yang tidak mengetahui kewujudan Tabung tersebut yang berperanan untuk meringankan beban mahasiswa yang kematian waris, kemasukan wad dan mengalami kes-kes tertentu (bencana, kecurian dan sakit kronik).


MPP Umum, Muhamad Faiz Ismail yang ditemui di UKM Kampus KL berkata, mahasiswa perlu menanamkan sikap prihatin kerana ianya semakin pudar dalam kalangan generasi muda."Mahasiswa yang tidak prihatin cenderung untuk mementingkan diri sendiri. Kesibukan dengan hal masing-masing membuatkan mahasiswa tidak peka dengan keadaan sekeliling. Kalau boleh kita nak mahasiswa jadi contoh yang baik kepada masyarakat. Suka bantu orang lain, ambil berat dengan isu semasa di kampus dan terlibat sama dalam usaha untuk mencapai halatuju universiti."katanya.

Ahad, April 04, 2010

Kebajikan Mahasiswa/i Keutamaan Kami


25/3/2010 - Kelihatan kelibat 2 orang MMP mahasiswa menuju ke pejabat Kolej Tun Syed Nasir sekitar jam 2.30 petang. Wartawan kami dimaklumkan bakal ada pertemuan bersama bonda pengetua, Dr Ruzita Abd. Talib. Apakah perkara yang bakal di ketengahkan oleh kedua-dua MPP mahasiswa ini?? Adakah isu ini bakal menjadi perbualan hangat dalam kalangan mahasiswa/i Kolej Tun Syed Nasir??

Ikuti laporan penuh hasil pertemuan mereka di http://nasihamppfper.blogspot.com/ atau http://mariahzakaria.blogspot.com/

Wartawan kami mendapatkan pandangan daripada kedua-dua MPP mahasiswa ini berkaitan hasil pertemuan tersebut.

“Saya berharap semua mahasiswa/i mendapat lebih input dan penjelasan tentang segala permasalahan yang berlaku di kolej serta saya juga mengharapkan pihak pentadbiran kolej dapat menyelesaikan permasalahan kita dengan segera,” Nasiha Omar, MPP mahasiswa Fakulti Perubatan Tahun 1&2.

“Bonda pengetua sangat memberikan kerjasama dan sudi mendengar permasalahan mahasiswa/i. Hal ini menunjukkan beliau sangat prihatin terhadap kebajikan penghuni Kolej Tun Syed Nasir. Moga pertemuan ini meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua belah pihak iaitu antara pihak pentadbiran kolej dan juga wakil mahasiswa/i,” Mariah Zakaria, MPP mahasiswa Fakulti Farmasi.

Catatan Popular

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Ayuh mahasiswa, bangkit!!!

Dah daftar belum?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites