Jumaat, September 04, 2009

KONTROVERSI : KERAJAAN KENA CEPAT BERTINDAK!


Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Hisyamuddin Che Ali melahirkan nada kesal dengan tindakan berpuluh-puluh mahasiswa Indonesia yang menyerbu Kedutaan Malaysia di Jakarta semalam dan melemparnya dengan telur busuk serta menaikkan bendera Indonesia di kedutaan terbabit.


Menurut Metro TV, siaran televisyen Indonesia melaporkan bahawa perhimpunan itu adalah tindakan membantah kontroversi terbaru membabitkan penggunaan tarian tradisi Bali dalam promosi pelancongan Malaysia.

Bantahan itu turut dikaitkan dengan dakwaan bahawa lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, ditiru daripada lagu Indonesia, Terang Bulan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (MPP UKM) berkata “tindakan keterlaluan” mahasiswa Indonesia itu boleh menimbulkan rasa kurang senang rakyat negara ini dan perkara ini tidak seharusnya timbul kerana menurutnya, setiap masalah yang wujud boleh diselesaikan melalui rundingan.

“Saya berharap agar pihak Indonesia mengambil jalan tengah menyelesaikan isu ini secara diplomasi dan jika tidak dapat diselesaikan secara elok, segala isu bertindih kedua-dua negara perlu di bawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa” katanya dalam satu kenyataan..


Sebelum ini, sekumpulan mahasiswa turut membakar bendera Malaysia di jalanan dua hari sebelum sambutan kemerdekaan ke-52 sambil melaungkan slogan “Ganyang Malaysia”.

Hisyamuddin berharap insiden yang menghina rakyat negara lain itu tidak berlaku lagi di masa depan.

“Jika tuduhan itu adalah palsu, mahasiswa Malaysia tidak teragak-agak melakukan perkara sama yang dilakukan mahasiswa Indonesia kerana tindakan mereka yang sanggup merampas dan menurunkan bendera di sesuatu kedutaan adalah satu sikap yang biadab dan tidak menghormati negara ini”

“Saya yakin bahawa mahasiswa Indonesia merupakan mahasiswa yang beridealis dan bukannya mengikut khabar angin mahupun emosi semata-mata. ” katanya beliau lagi.

Tambahnya lagi bahawa kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menyelesaikan segera isu ini dan jika benar kerajaan Malaysia bersalah dalam hal ini, kerajaan perlu meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Indonesia.


Hisyamuddin juga katanya, meminta Jabatan Peguam Negara untuk membuat kajian terhadap perundangan antarabangsa bagi menyelesaikan isu berkenaan di mahkamah jika terpaksa kerana bantahan rakyat Indonesia terhadap kedua-dua isu ini jelas memberikan imej yang buruk kepada negara ini yang pada sama turut mengguriskan perasaan rakyat di negara ini.

Terdahulu, sekumpulan mahasiswa Indonesia yang membaling telur busuk ke Kedutaan Malaysia di Indonesia beberapa hari lepas menyemarakkan lagi protes mereka kepada Malaysia sehingga mendesak kerajaan Indonesia memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Isu terbaru ialah tarian Jawa oleh iklan Melawat Malaysia dan isu hangat lagu Negaraku yang mereka dakwa adalah diciplak dari lagu Indonesia – “Terang Bulan”.

Beberapa sumber juga menyatakan bahawa saluran televisyen tersebut iaitu Discovery Channel juga sudah menulis surat memohon maaf dan menjelaskan situasi sebenar bahawa promosi pelancongan Malaysia yang dihasilkan mereka yang memuatkan tarian tradisi Bali berkenaan bukan dilakukan kerajaan Malaysia.

Dalam pada itu, kemarahan kumpulan tersebut juga didakwa berpunca dari beberapa isu yang terjadi sebelum ini seperti perebutan isu Pulau Ambalat, penderaan amah dan elemen kebudayaan yang didakwa “diciplak” dan beberapa panggilan seperti “Mat Indon” yang dilihat sebagai penghinaan kepada warganegara tersebut.-mahasiswakini





Sebagai mahasiswa yang berpendidikan dan terdidik dalam negara yang bertamadun, seseorang tidak sepatutnya bertindak sebagai seorang yang jahil dan dhaif. Mahasiswa indonesia tidak sepatutnya terburu-buru menuduh yang bukan-bukan terhadap isu yang timbul lebih-lebih lagi jika tidak mengetahui hujung pangkal sesuatu perkara itu.


Kami syorkan disini supaya semua pihak kembali kepada sejarah. Pihak Kerajaan pula janganlah pandang perkara ini sebelah mata saja kerana mengikut sejarah pihak indonesia memang telah lama berdendam dengan Malaysia dan telah menyimpan kesumat sekian lama hanya menunggu masa untuk mengungkit semua kesalahan yang didakwa pernah dilakukan oleh pihak Malaysia.

Bak kata pepatah "sarang tebuan jangan dijolok".

Pilihlah jalan yang betul dalam menyelesaikan sesuatu perkara itu jangan ikutkan nafsu amarah lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini.

Dalam masa yang sama, kita juga perlu menghormati mereka yang berasal dari indonesia. Contoh ketara panggilan ‘indon’. panggilan tersebut amat tidak disenangi oleh mereka yang berasal dari indonesia kerana mereka beranggapan itu suatu panggilan yang menghina.

Justeru, memahami budaya orang lain amat penting untuk menghasilkan interaksi yang baik.

0 comments:

Catat Ulasan

Catatan Popular

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Ayuh mahasiswa, bangkit!!!

Dah daftar belum?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites