Selasa, Februari 14, 2012

Perkongsian Antarabangsa: Apa Sebenarnya Berlaku Di Syria

SERDANG – Syeikh Dr Khalid Hassan Al-Hindawi, pembantu khas Dr Yusuf al-Qardhawi, telah diamanahkan Ketua Ikatan Ulama Islam Antarabangsa itu untuk memberitahu berita dan hal sebenar yang berlaku di Syria.
Beliau yang baru sahaja melawat Indonesia diminta oleh Dr Yusuf al-Qardhawi untuk ke Malaysia. Seperti mana revolusi yang sedang berlaku di Yaman dan Syria, beliau juga mengharapkan agar di Malaysia juga berlaku perubahan yang lebih baik khususnya dalam kalangan umat Islam.
Di Indonesia, Syeikh Khalid telah menerangkan berkenaan isu Syria di beberapa tempat, dan kemuncaknya, beliau bertemu dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono ditemani sahabat dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Setelah menerangkan kisah sebenar, akhirnya Presiden Susilo telah bersetuju untuk menyokong revolusi rakyat Syria.
Menurut beliau, revolusi bermula di Hama, kemudian merebak ke bandar-bandar lain seperti di Dar’aa, Hauran, Halab bahkan sehingga ia berlaku di 157 tempat di Syria menentang pemerintahan kejam Basyar Al-Assad.
Tambahnya, golongan zalim tidak berhenti mengaburkan kebenaran, tapi mereka gagal, seperti kata Ali r.a. "Pemerintah yang batil (zalim) itu hanya sementara tetapi pemerintah yang benar kekal selamanya.”
Kata-kata Ali r.a. bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wa Taala di dalam surah al-Israk ayat 81:
“Dan katakanlah: ”Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.”
Dr Khalid melihat kerajaan Syria pimpinan Basyar Al-Assad dan orang yang sepertinya sekarang berpolitik ala Firaun seperti mana yang dilakukan oleh pemerintah Tunisia, Mesir, Yaman, dan Libya. Mereka mencuri harta-harta rakyat dan memakannya dengan cara yang haram, memenjarakan rakyat sendiri, membunuh para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan wanita-wanita, menghalang perempuan beriman daripada memakai hijab serta menindas orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak.
Dan mereka ini tidak akan kekal seperti dalam surah ar-Ra’d ayat 17:
“Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.”
Beliau menceritakan latar belakang sejarah Syria, yang merdeka daripada penjajahan Perancis pada 1945, dan telah diperintah oleh anak bangsa Syria sendiri sehingga zaman Hafez Al-Assad yang telah memerintah selama 32 tahun dan diikuti oleh anaknya, Basyar Al-Assad yang kini memerintah selama 11 tahun.
Syria telah menjadi negara yang diperintah oleh diktator. Syeikh Khalid menceritakan tentang konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 yang berlaku selama 27 hari, mengorbankan hampir 46,000 ribu penduduk Hama yang merupakan penganut Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Komposisi rakyat Syria: 6% darinya adalah Syiah Alawiyah, 10% beragama Kristian dan 84% Muslim ASWJ. Iran mempertahankan tindakan ganas rejim Hafez dan Basyar yang membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga Hizbullah di Lubnan yang menyokong tindakan Hafez yang merupakan Syiah Alawiyah. Beliau seterusnya menyebut sifat-sifat Syiah yang begitu membenci ASWJ, menghina Khulafa Ar-Rasyidin dan isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Sehingga hari ini Iran dan Hizbullah di Lubnan yang berfahaman Syiah masih menyokong rejim Basyar di Syria.
“Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita untuk membela darah pemuda, pemudi dan huffaz. Kita kena sokong revolusi di Syria, kena tunjukkan keberanian kita menentang rejim zalim ini.
“Mereka membenci ASWJ, dan Hizbullah di Lubnan juga menyokong mereka. Jadi kita perlu menyokong saudara kita di Syria. Sekiranya Hizbullah berani menyokong Basyar ini, kenapa kita tidak berani menyokong golongan yang mempelopori revolusi ini?” tegasnya.
Fakta kekejaman rejim Basyar terhadap revolusi di Syria sekarang menunjukkan kematian 8,500 orang penyokong revolusi, 39,000 orang cedera, sementara 19 doktor serta 40 orang pesakit sebuah hospital di Doma dibunuh dan 180,000 tahanan dalam penjara diseksa yang mana 413 orang darinya mati dalam tahanan.
Dalam tempoh lapan bulan, telah berlaku revolusi siang dan malam, rakyat menghadapi senjata berat dan kereta kebal hingga rumah dan masjid dirobohkankan, wanita dibawa ke tempat yang tidak diketahui, malah ada wanita yang diperkosa di hadapan suami mereka sambil diikat.
Menurut Syeikh Khalid lagi, seorang remaja perempuan di Homs, bernama Zainab Al-Husni, 23 tahun, ditangkap dan ingin diperkosa tetapi beliau melawan. Akhirnya beliau dipotong empat dan dihantar kepada keluarganya. Ratusan kanak-kanak turut dibunuh hingga ada yang dipotong-potong.
Beliau menegaskan, ”Apakah kita perlu berdiam diri? Bagaimana kita harus bersabar di atas taghut yang kejam ini!“
Rejim Basyar juga telah memaksa kakitangan kerajaan untuk keluar berdemonstrasi menyokong kerajaan untuk mengaburkan fakta dan memberitahu dunia bahawa rakyat masih menyokong mereka. Kakitangan yang tidak menyokong kerajaan akan hilang pekerjaan mereka.
Perkongsian Antarabangsa SyriaKatanya, pejuang yang terlibat dalam revolusi akan bersiap, berwuduk dan mandi dengan wangian kerana mereka bersedia untuk mati syahid. Beliau menganggarkan 95% rakyat Syria menentang rejim itu walaupun mereka ditakut-takutkan dan diugut sekiranya turun menyertai revolusi.
Jelasnya, ada maklumat yang silap difahami oleh bukan negara Arab yang menyangka kononnya rejim Basyar sedang menyerang Israel sedangkan mereka tidak pernah menyentuh Israel, tetapi mereka membunuh rakyat mereka sendiri. Malah kapal terbang Israel boleh berada di atas istana Presiden tanpa diambil sebarang tindakan.
“Selama 43 tahun Bukit Golan diduduki oleh Israel tetapi regim Hafez Al-Assad dan ayahnya tidak pernah membunuh walau seorang pun Yahudi, tetapi mereka telah membunuh ribuan penduduk Hama yang terletak hanya enam kilometer dari Bukit Golan.”
“Maka di mana buktinya bahawa rejim yang kejam ini menunjukkan permusuhan ke atas Israel?” tanya beliau.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa terdapat perjanjian rahsia antara Syria dan Israel. Basyar merupakan al-Assad (singa) kepada rakyat mereka tetapi penakut dengan Israel.
Kekejaman rejim Basyar terserlah sehingga jika ada tentera rejim yang tidak mahu menembak ASWJ, mereka akan dipenjarakan dan dibunuh. Keadaan ini menyebabkan lebih 30,000 tentera Syria berpaling tadah meninggalkan rejim.
Beliau seterusnya menyatakan fatwa Rabitah Ulama Syria oleh Dr Ali As-Sobuni bahawa sekiranya tentera menyerang rumah penduduk, mereka hendaklah melawan walau dengan sebilah pisau, dan mereka dihukumkan syahid sekiranya terbunuh berdalilkan hadis berikut:
“Barangsiapa terbunuh mempertahankan hartanya, maka dia syahid; barangsiapa terbunuh mempertahankan ahli keluarganya, maka dia syahid; atau mempertahankan agamanya, maka dia syahid ”(HR Abu Daud, An-Nasaie dan Tirmizi, disahihkan oleh Al-Albani dan Ahmad dengan sanad yang Sahih).

Sebanyak 18 negara Liga Arab telah bersetuju untuk mengenakan sekatan politik dan ekonomi ke atas Syria sehingga rejim Syria menghentikan kekejaman ke atas rakyatnya. Begitu juga, negara-negara Persidangan Negara-negara Islam (OIC) turut memulau Syria.
Revolusi di Syria bersangkut-paut dengan tiga sebab utama iaitu penindasan rakyat lebih 40 tahun, kebangkitan rakyat di negara-negara Arab lain dan kemuncaknya adalah insiden 20 remaja menconteng dinding dengan menulis “RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN”. Remaja-remaja itu ditangkap, diseksa, dicabut kuku, tangan dan kaki, hingga seorang daripadanya meninggal dunia.
Apabila ibu bapa kanak kanak itu datang untuk membebaskan anak-anak mereka dari penjara, ketua polis penjara mengatakan kepada mereka:
"Kamu balik sahajalah, lupakan anak anak-anak itu dan anggaplah mereka telah tiada..., jika kamu hendak anak-anak lagi berikan kami isteri-isteri kamu (agar kami rogol), hasil daripada itulah anak-anak kamu.”
Perkongsian Antarabangsa Syria
Dari situlah bermulanya demonstrasi yang semakin hari bertambah momentumnya dari hanya ratusan ribu hingga pada hari ini 3 juta demonstran telah mengadakan tunjuk perasaan di 157 bandar seluruh Syria mendesak Basyar berundur. Syeikh Khalid turut menjelaskan tentang pendirian Dr Sa’id Ramadhan al-Buti dalam politik Syria. Menurutnya, Dr Sa’id adalah antara lima orang ulama yang menyokong rejim berbanding 95% ulama yang menentang. Beliau menyifatkan Dr Sa’id sebagai ulama yang 'berilmu' tetapi kurang tajam dalam perspektif politik.
“Tidak hairanlah para pemuda di sana membakar buku-buku karangan beliau. Ramai lagi ulama lain yang menulis buku sirah yang amilin. Jadikanlah ulama-ulama amilin sebagai rujukan,” katanya.
Akhirnya, beliau menyeru umat Islam membantu rakyat Syria, menyeru peranan mufakkir, duat, asatizah untuk mengetengahkan dan sentiasa prihatin tentang isu di Syria, menceritakan kepada masyarakat tentang kezaliman dan apa yang berlaku di Syria.
Beliau turut menyarankan kepada para wanita yang solehah, untuk menceritakan kekejaman yang berlaku kepada saudara perempuan mereka di Syria dan berdoa untuk mereka.
“Hendaklah kamu berdoa untuk saudara-saudara kamu di Syria dengan ikhlas, siang dan malam supaya Allah membantu mereka dan membebaskan mereka daripada kezaliman pemerintah mereka.”
Sebagai penutup, beliau membaca amanat Dr Yusuf al-Qardhawi agar umat Islam menghulurkan bantuan berbentuk kewangan kepada saudara-saudara se-Islam di Syria dalam bentuk zakat dan sedekah untuk keluarga pejuang yang sedang dipenjarakan dan keseluruhan rakyat Syria, lebih-lebih lagi musim sejuk akan datang dan mereka sedang mengalami kekurangan bahan pemanas dan makanan kerana sekatan pemerintah.
Berdasarkan amanat tersebut, kutipan derma dilancarkan bagi membantu rakyat Syria yang tertindas. Kutipan derma dianggarkan berjumlah RM38,000 termasuk mata wang asing seperti USD, Won, NZD, SGD, Rupiah dan Iraq Dinar. VCD 'Syria Revolution' yang dijual IKRAMedia, dengan semua keuntungannya disalurkan kepada Tabung Syria juga habis dalam masa yang singkat.

Jumaat, Februari 03, 2012

Dia Pernah Mencintaimu


“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.
“Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan.
Persoalan.
Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat?
“Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Aneh.
Mencintai insan yang belum ada.
Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.
Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta.
Cinta luar biasa.
Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kamu yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, biar sesudut Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu, tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi.
SENYUMAN PERPISAHAN
Tiga hari Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.
Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H,
Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.
“Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik, Radhiyallahu ‘anhu.
Wajah itu mengubat rindu mereka.
Tiga hari yang hilang warna dan sepi.
Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.
Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.
Sangka mereka itu senyum kesembuhan.
Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…
Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.
Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.
“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.
Tangan itu rebah terkulai.
Basah dalam bejana air.
Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya.
Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.
Merindui saudara-saudaranya.
Kita.
SEBUAH PERTANYAAN CINTA
Justeru…
Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?
Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?
Hati kecil itu tidak mampu berbohong.
Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….
“Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Rabu, Januari 18, 2012

SELAMAT BERCUTI!!


MANFAATKAN CUTI=MANFAATKAN MASA LAPANG=MANFAATKAN NYAWA YANG MASIH TERSISA!!

Sabtu, Januari 14, 2012

Mengisi Cuti..hakikatnya mengisi nyawa yang masih tersisa~

Apabila disebut cuti pelbagai perkara akan bermain di  minda kita. Seorang yang bergelar guru akan berehat dari memberi pendidikan formal di kelas-kelas, seorang buruh akan berehat dari beban kerja-kerja fizikal yang memenatkan dan bagi mereka yang bergelar jurutera akan berehat dari memikirkan masalah-masalah berkaitan teknikal dan bidang yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Namun bagi seorang pelajar, cuti itu bermakna rehat dari bebanan tugasan yang banyak, rehat dari menghadiri kelas-kelas tutorial dan kuliah yang memenatkan, juga rehat dari stress memikirkan tentang peperiksaan yang menggerunkan. Tidak dinafikan, cuti adalah sesuatu yang sangat bermakna kepada mereka yang bergelar pelajar sama ada yang masih berada di sekolah dan yang telah memasuki dunia kampus dan bergelar mahasiswa dan mahasiswi.
Persoalannya, sudah berapa banyak kali cuti yang kita tempuhi sebagai seorang pelajar memberi makna atau dalam kata lain bermanfaat? Cuba kita hitung masa cuti kita dari zaman prasekolah atau tadika sehingga ke hari ini berapa banyak yang kita benar-benar manfaatkan untuk aktiviti yang berfaedah.
Adakah cuti ini sekadar peluang untuk mengganti semula waktu tidur kita yang tidak cukup akibat lambakan tugasan dan kerja rumah? Atau cuti ini masa yang sangat sesuai untuk menghabiskan permainan-permainan video yang sudah tersimpan lama di dalam komputer kita yang tidak sempat dinikmati akibat komitmen kepada akademik.
Sekadar itu sahajakah?
Cuti di Palestin
Saya berasa amat kagum apabila mendengar pembentangan seorang ustaz dari Indonesia mengenai cara hidup masyarakat Gaza yang serba kekurangan itu. Amat berbeza berbanding kita di Malaysia.
Di Gaza, terdapat sebuah universiti yang amat popular iaitu Islamic University of Gaza. Mahasiswa mereka juga menikmati cuti semester seperti kita. Cuma, apa bezanya?
Mereka mengisi masa cuti mereka dengan hafalan al-Quran. Tamat sahaja cuti, mereka sudah bergelar hafiz dan hafizah. Maka tidak hairanlah Perdana Menteri mereka, Ismail Haniyyah sendiri merupakan seorang hafiz. Di Gaza, amat sukar untuk menemui anak-anak muda terutama mahasiswa yang tidak menghafal sekurang-kurangnya separuh al-Quran. Asatizah serta golongan Ulama juga turun ke rumah-rumah menemui anak-anak muda ini, menyemai benih-benih tarbiyyah agar masa yang terluang ini tidak sia-sia dengan perkara yang akan merugikan diri mereka sendiri.
Ada juga yang mengisi waktu cuti dengan menjalani latihan ketenteraan bersama HAMAS. Bersiap-siaga mempertahankan bumi tanah tumpah darah mereka apabila keadaan memerlukan. Maka tidak hairanlah Allah SWT mentakdirkan mereka ini sebagai barisan hadapan dalam menghadapi musuh umat Islam iaitu Yahudi Zionis. Bayangkan kita yang banyak membuang masa ini di barisan hadapan untuk menghadapi musuh Islam ini? Bayangkan apa yang akan berlaku.
Itu di Gaza.
Apa konklusinya?
Saya ingin menutup artikel ringkas ini dengan sama-sama mengajak kita semua merenung firman Allah SWT dalam surah al-Asr (1-3):
“Demi masa sesungguhnya manusia itu benar -benar berada di dalam kerugian. Melainkan orang – orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh. Dan nasihat – menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menepati kesabaran”.
Dalam surah ini Allah bersumpah demi masa yang diciptakan-Nya bahawa manusia ini dalam kerugian. Ini termasuklah golongan Ghaflah iaitu yang lalai dari mengerjakan segala perintah Allah SWT dan ad-Dahri yang menjadikan dunia sebagai matlamat hidupnya. Alangkah ruginya mereka dan alangkah ruginya kita?
Fahami juga sabda Rasulullah SAW:
“Tidak akan berganjak kaki setiap hamba pada hari kiamat sehinggalah ditanya tentang empat perkara. Iaitu tentang umurnya ke mana dihabiskan. Tentang masa mudanya ke mana digunakannya. Tentang harta dari mana diperolehinya dan ke mana digunakannya dan tentang ilmunya apa yang diperbuat dengannya”
(muttafaqun alaih)
Kita harus sedar bahawa masa-masa yang kita sia-siakan sepanjang cuti ini akan diungkit kembali oleh Allah SWT di akhirat kelak. Sudah bersediakah kita untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan di akhirat kelak dengan?
Kesimpulannya, rancanglah masa terluang kita ini dengan sebaik-baiknya. Masih ramai saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Yaman, Mesir, Somalia, Selatan Fillipina dan Thailand serta Iraq yang menjerit meminta bantuan kita. Statistik gejala sosial dalam masyrakat kita kian meningkat sepanjang tahun. Umat Islam di Malaysia masih ketinggalan dalam segenap aspek kehidupan termasuklah ekonomi, pendidikan serta kefahaman Islam. Bukankah kerja kita masih banyak?
Nukilan:
Sdr Mohd Zul Fahmi bin Md Bahrudin
Aktivis PEMBINA SA
sumber:PEMBINA

Rabu, Januari 04, 2012

All The Best In Final Exam!!


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Rasanya masih belum terlambat untuk pihak GMUKM KL mengucapkan selamat menduduki peperiksaan akhir semester 1 bagi Fakulti Farmasi dan Fakulti Sains Kesihatan. Subhanallah walhamdulillah..kita menyambut tahun baru 2012 dengan kertas-kertas peperiksaan. Pastinya di musim peperiksaan ini, kita semakin menjaga hubungan kita dengan Allah..dalam solat, kita memohon kepadanya agar memudahkan urusan kita menuntut ilmu, kita poho ilham dariNya..kita rayu agar dimudahkan kita untuk menjawab soalan peperiksaan. Semoga permulaan kita yang baik pada tahun ini mendapat perhatian Allah untuk sentiasa mengurniakan hidayahNya kepada kita agar kita istiqamah dalam melakukan kebaikan.

Akhir kata dari pihak GMUKMKL..setelah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh..serahkanlah segalanya kepada Allah kerana hanya Dia Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Kejayaan itu hak milik Dia, maka kepadaNya jua kita memohon. Kemudian, yakinlah dengan pertolonganNya kerana Dia pastio menurunkan ketenangan kepada hati-hati yang yakin akan rahmat kasih sayangNya. 

All the best!! Semoga tahun ini menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya. Amin.
 Fastabiqulkhairat (maka berlumba-lumbalah ke arah kebaikan)

Khamis, Disember 15, 2011

Oley!!


Rakaman Sembang Rakyat mengenai hudud di Kelantan yang dipaparkan di laman video sosial Youtube sejak beberapa hari lalu perlu dihentikan serta-merta kerana jelas ia mempersendakan hukum Allah SWT.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, sekiranya rakaman itu dibiarkan hukum hudud yang terkandung di dalam al-Quran akan menjadi bahan cercaan dan kutukan sedangkan hukuman tersebut adalah ciptaan Allah.

Lebih malang lagi, katanya, pelakon-pelakon dalam rakaman itu adalah di kalangan mereka yang tidak ada ilmu berkaitan hingga menyebabkan isi perbincangan bertentangan dengan syarak.

Beliau menambah lagi, mereka yang sengaja berbuat demikian boleh memberi kesan dari segi akidah.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak menghayati maksud satu hadis Rasulullah riwayat ibnu Majah; ''Akan tiba satu zaman di mana yang benar dikatakan bohong, yang bohong dikatakan benar. Amanah dikatakan khianat, khianat dikatakan amanah. Akan muncul pada zaman itu golongan 'Ruwaibidhoh' iaitu orang yang jahil tentang agama bercakap mengenai urusan manusia.''

GAMIS gesa siasatan segera
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) sebelum itu pada 10 Disember lalu mendesak agar siasatan segera dijalankan terhadap penyebaran video tersebut di laman sosial facebook dan youtube.

Presiden GAMIS, Saudara Akram Ikrami Taib Azamudden berkata, "Apa yang menjadi perhatian GAMIS berhubung isu ini adalah pertikaian soal perlaksanaan hukum hudud. 

"Bagi peringkat mahasiswa, kami tidak peduli soal pertembungan parti politik dalam video ini, tetapi yang kami rasa tercabar ialah penghinaan terhadap hukum Islam tersebut. Lakonan mereka jelas menunjukkan penyelewengan tentang kefahaman hukum hudud dan yang lebih merisaukan ialah ia akan menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

GAMIS mendesak agar pihak polis menyiasat penerbit, pelakon dan penyebar video ini, dan pihak kami juga mendesak Kementerian Penerangan dan Komunikasi mengambil tindakan serius berhubung isu ini. Selain itu, GAMIS memohon agar pihak JAKIM selaku pihak yang berautoriti memberi penjelasan sebenar berkaitan hukum hudud.

SIGMA ajak NGO Islam bersatu
Manakala bagi Serikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) yang merupakan sayap kiri GAMIS, Pengerusinya Saudari Rohayu Rusli berkata, "GAMIS dan SIGMA menggesa NGO-NGO Islam yang serius memperjuangkan isu aqidah untuk turut sama menyatakan pendirian berhubung isu ini.

Isu Hudud tersebut kembali hangat dibincangkan khususnya di media alternatif baru-baru ini apabila video-video berjudul 'Musim Hudud Pas' dan 'Lagi Hudud' telah dipaparkan dan dikhuatiri akan mencetuskan salah faham serta penghinaan terhadap hukum Islam yang juga menjatuhkan kesucian agama Islam.

Dalam rakaman tersebut terdapat beberapa pelakon termasuk bukan Islam yang membincangkan soal pelaksanaan hudud secara salah hingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam.

Oley!! jawab video tentang Hudud

Video tersebut turut menampilkan bekas penyanyi dan penggubah lagu Isabella, Bob Lokman serta penampilan khas Vlogger Mat Luthfi


Peringatan: Daftar Kursus Awal Semester 2


Dimaklumkan Bahagian Pengurusan Akademik telah mengeluarkan Pekeliling No.31/2011 berkenaan Pendaftaran Kursus Awal Semester 2 dan Penilaian Pengajaran Kursus Semester 1, Sesi Akademik 2011-2012.

Pendaftaran Awal Kursus Semester 2 Sesi Akademik 2011-2012 akan diadakan pada12 Disember 2011 - 8 Januari 2012 (4 minggu) melalui laman web http://ukm.my/smpweb.

Sebelum Pendaftaran Awal dibuat, rakan-rakan disyaratkan;
a) membuat penilaian pengajaran kursus yang diambil pada semester semasa melalui laman web http://smp.ukm.my/sppk

b) menjelaskan bayaran semua yuran/hutang tertunggak. Sebarang masalah, sila berjumpa dengan Bahagian Kewangan Pelajar.

Maklumat lanjut, sila rujuk lampiran berikut.


e-Aduan : Medium pusat aduan mahasiswa

Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) melancarkan Borang Aduan dalam-talian (online) atau ringkasnya e-Aduan untuk memberi rakan-rakan mahasiswa peluang menyampaikan sebarang aduan terus kepada PMUKM.
e-Aduan yang ditubuhkan oleh Biro Informasi & Penerangan dengan kerjasama Biro Kebajikan & Aduan PMUKM bertujuan untuk mengumpul segala aduan daripada rakan-rakan mahasiswa yang mengalami sebarang masalah semasa berada di dalam kampus UKM induk Bangi, Cheras mahupun Kuala Lumpur. 

Di samping itu, fungsi lain e-Aduan ini juga bertujuan menyelaraskan beberapa aduan yang didapati bertindih sebelum ini.

Borang e-Aduan ini boleh dilayari di capaian berikut. 
Borang aduan ini biarpun kelihatan ringkas, tetapi dijamin akan diberi perhatian yang serius oleh PMUKM khususnya di peringkat Majlis Tertinggi dan Biro Kebajikan dan Aduan.

Justeru itu, diharapkan rakan-rakan akan memberikan kerjasama, membantu dan terus menyokong kepimpinan Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) yang menerajui PMUKM sesi kali ini.

Catatan Popular

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Ayuh mahasiswa, bangkit!!!

Dah daftar belum?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites