Sabtu, Februari 27, 2010

PERUTUSAN AWAL PMUKM FAKULTI PERUBATAN TAHUN 1&2





PERUTUSAN AWAL PMUKM FAKULTI PERUBATAN TAHUN 1&2




Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia.

Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia-Nya, saya dipilih menjadi suara sahabat-sahabat dalam Majlis Perwakilan Pelajar bagi Fakulti Perubatan Tahun 1 dan 2 untuk sesi kali ini. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat sahabat-sahabat yang tidak jemu memberi sokongan dan kepercayaan buat saya untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang besar ini.


Sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian,

Pemimpin itu bukan lahir bersahaja,bukan lahir dalam keadaan suka tetapi lahirnya pemimpin dengan rintangan dan tribulasi yang telah sedia menyambut kedatangannya. Bukan mudah menjadi pemimpin lebih-lebih lagi saya baru setahun jagung di dalam sistem Universiti Kebangsaan Malaysia. Namun atas kepercayaan dan amanah yang telah diberikan, saya akan berusaha dalam mempertingkatkan mutu khidmat Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Perubatan pada kali ini. Di sini saya meletakkan harapan saya agar sahabat sekalian dapat bersama-sama saya susah mahupun senang untuk merealisasikan impian kita semua.


Suara anda adalah suara saya, saya dipilih oleh anda bukan hanya menjadi wakil atau pemimpin semata-mata, malah saya menjadi medium pengantara antara anda dan pihak atasan.Saya berusaha sedaya upaya untuk menjaga kebajikan kita bersama dan mempertingkatkan hubungan dua hala antara pihak pentadbiran dan kita supaya maklumat terkini dapat di sampaikan secara tepat dan cepat.



Mahasiswa/i yang dihormati sekalian,

Profesionalisme Membentuk Mahasiswa Global. Seperti yang sedia maklum professionalisme adalah satu komponen penting dalam kerjaya yang bakal kita ceburi kelak seterusnya melahirkan 5’ STARS Doctor. Jesteru itu, saya yakin dan percaya tunjang utama dalam pebentukan mahasiswa professional adalah sikap mahasiswa itu sendiri. Sikap yang berteraskan ahklak yang baik dan mantap akan mencerminkan peribadi mahasiswa global yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Nilai professionalisme ini perlu dipupuk dan dibina dalam setiap individu kita. Saya kira nilai ini tidak asing bagi kita namun apakah sebenarnya definisi profesionalisme itu sendiri. Profesionalisme adalah satu perkara yang subjektif dan mempunyai pelbagai maksud dan makna. Bukanlah saya untuk mendifiniskan frasa ini namun saya ingin memulakan penekanan konsep profesionalisme ini dalam diri kita semua supaya kelak kita menjadi seorang doktor yang lebih berketerampilan dan keterhadapan.


Mahasiswa pendukung inspirasi negara sekalian,
Inilah kunci yakni nilai profesionalisme bagi membawa kita di mata dunia. Mengglobalkan mahasiswa di mata dunia bukanlah satu perkara enteng dan mudah namun ini bukannya satu perkara mustahil yang akan berlaku. Saya yakin dan percaya bahawa dengan nilai tambah yang kita ada ini mampu membuka mata dunia tentang produk keluaran UKM. Nilai tambah ini menjadi satu kelainan dan keunikan mahasiswa UKM. Atas dasar itu, marilah bersama saya untuk merealisasikan “Profesionalisme Membentuk Mahasiswa Global”.

Akhir kalam daripada saya, suka untuk saya memetik satu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Anas bin Malik,

"Umat ini masih akan tetap terjaga kebaikannya jika selalu jujur dalam ucapannya, adil dalam keputusan hukumnya dan saling berkasih sayang di antara mereka”


Sekian.

Wassalamualaikum WBT.

"PROFESSIONALISME MEMBENTUK MAHASISWA GLOBAL”

NASIHA BINTI OMAR
MPP FAKULTI PERUBATAN TAHUN 1 DAN 2
PMUKM 2010/2011

PERUTUSAN SULUNG DARI PMUKM FAKULTI FARMASI





PERUTUSAN SULUNG DARI PMUKM FAKULTI FARMASI





Assalamualaikum w.b.t. dan salam mahasiswa

Alhamdulillah, segala puji bagi Tuhan sekalian alam kerana kita masih diberi nikmat usia dan masa untuk terus hidup di dalam dunia yang fana ini untuk mencari keredhaanNya. Kesyukuran yang tidak terhingga juga saya panjatkan kepada Ilahi, kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, saya terpilih untuk menerajui tampuk pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar bagi Fakulti Farmasi sesi 2009/10. Tidak lupa juga buat sahabat-sahabat yang tidak putus-putus memberi kata-kata semangat, dorongan dan panduan agar saya terus tabah dan sabar menempuh minggu yang paling mencabar buat saya.

Mahasiswa/i yang dihormati sekalian,

Menitisnya air mata seorang pemimpin itu apabila diberi kepercayaan dan amanah bukan kerana dirinya lemah, tetapi kerana besarnya kepercayaan dan tangungjawab yang diberikan untuk dipenuhi dan dilaksanakan penuh amanah dan taqwa.
Sahabat-sahabat yang saya kasihi,

Meniti kehidupan sebagai seorang pemimpin adalah amanah yang berat untuk ditanggung. Namun, saya percaya setiap teguran dan tunjuk ajar dari sahabat-sahabat sekalian dapat saya jadikan panduan untuk saya menjadi pemimpin yang lebih adil dan berfikiran jauh dalam memimpin. Oleh itu, saya mohon sahabat-sahabat untuk berterus-terang dan menegur saya andai saya ada tersilap kata ataupun cara .

Ke arah mahasiswa profesionalisme unggul menjadi misi utama saya. Sebagai bakal ahli farmasi, kita memang tidak dinafikan amat memerlukan etika-etika sebagai seorang profesional. Hal ini kerana di dunia luar dari kampus nanti, cara berpakaian, etika berkomunikasi dan gerak langkah kita akan diperhatikan oleh masyarakat dan akan dijadikan buah bicara untuk dianalisa sejauh mana kredibiliti kita sebagai seorang ahli farmasi yang unggul. Ini adalah penting untuk menambah kepercayaan masyarakat terhadap ahli farmasi. Dengan kata lain, kemahiran insaniah adalah amat penting untuk dipupuk dalam diri setiap mahasiswa agar apabila segulung ijazah di tangan, pengalaman berguna juga tersemat di fikiran.

Akademik juga tidak dinafikan penting buat mahasiswa/i. Akademik akan menjadi kayu ukur utama dalam menentukan tahap seorang mahasiswa itu walaupun kebergantungan sepenuhnya pada kayu ukur ini sering dipertikaikan. Namun begitu, azam dan cita-cita saya untuk menjadikan Fakulti Farmasi sebagai fakulti yang terkehadapan dalam bidang akademik tidak akan terlaksana tanpa bantuan rakan-rakan sekalian. Dengan ini, saya ingin menyeru rakan-rakan sekalian, untuk berusaha bersama-sama dengan saya dengan lebih bersungguh-sungguh dalam usaha menjadikan Fakulti Farmasi sebuah fakulti yang dapat berdiri sama tegak dan duduk sama rendah dengan fakulti lain walau usianya masih muda.

Mahasiswa/I yang dihormati,

Memahami keperluan mahasiswa/i yang menginginkan seseorang untuk menjaga kebajikan dan segala keperluan kalian, dengan itu saya akan bertindak sebagai orang tengah yang akan menyalurkan suara-suara mahasiswa untuk dibawa ke pihak atasan agar masalah-masalah dapat diselesaikan.

Selain itu, saya juga akan berusaha untuk meningkatkan hubungan antara 3 pihak, iaitu pihak pentadbiran Fakulti Farmasi UKM, Persatuan Mahasiswa Fakulti Farmasi UKM, dan persatuan-persatuan farmasi di luar UKM, misalannya MPS, MyPSA, persatuan-persatuan farmasi universiti lain dan sebagainya. Dengan hubungan kerjasama ini, saya yakin Fakulti Farmasi UKM akan dapat maju dengan lebih jauh. InsyaAllah.

Akhir kalam dari saya, suka untuk saya memetik hadith Nabi S.A.W. yang berbunyi,
“Tidak akan bergeser kedua kaki anak Adam pada Hari Kiamat hingga dia ditanya usianya untuk apa di habiskan, tentang ilmunya apa yang telah ia amalkan, tentang hartanya kemana ia belanjakan tentang tubuhnya untuk apa ia gunakan..” (Hadith Riwayat At-Tirmidzi).

Sekian,

Wassalamualaikum w.b.t.

“ KEARAH MAHASISWA PROFESIONALISME UNGGUL “

MARIAH BINTI ZAKARIA
MPP FAKULTI FARMASI
PMUKM 2009/10
0132649589

Rabu, Februari 24, 2010

PERUTUSAN SULUNG PMUKM FAKULTI SAINS KESIHATAN BERSEKUTU TAHUN 3&4 SESI 09/10




PERUTUSAN SULUNG
PMUKM FAKULTI SAINS KESIHATAN BERSEKUTU
TAHUN 3&4
SESI 09/10


Assalamu’alaikum wbt dan salam sejahtera.



Salam mahabbah, Salam Perpaduan.

Seinfiniti kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmatNya kita masih bernafas dan berada dalam keadaan sihat sejahtera sehingga ke hari ini. Pertama-tamanya, saya mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada warga UKM Kampus KL di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk mewakili anda dalam Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia sesi 09/10.

Rakan seperjuangan yang dikasihi,

Tanggungjawab bukanlah satu anugerah tapi merupakan satu amanah. Tanggungjawab yang digalas ketika ini merupakan satu amanah yang tidak boleh dipandang enteng. Setiap janji yang ditaburkan perlu diusahakan untuk direalisasikan. Prinsip-prinsip inilah yang sepatutnya disemat dalam jiwa setiap ahli majlis perwakilan pelajar malah dalam diri setiap pemimpin yang dipilih. Menyentuh mengenai kepimpinan, kita sebagai mahasiswa seharusnya menyedari hakikat bahawa ke mana sahaja kita melangkah, kita merupakan seorang pemimpin. Pemimpin diri, pemimpin pelajar, malah merupakan bakal pemimpin negara. Pembelajaran di dewan kuliah semata-mata tidak cukup untuk menghadapi persaingan dan percaturan dunia di luar sana sebagai pemimpin. Mahasiwa kini perlu mengglobalisasikan ilmu dan pemikiran serta cakna dengan perubahan arus perdana dengan setiap isu yang berlaku di sekeliling kita perlu diambil kira untuk diambil iktibar dan pengajaran untuk ‘survival’ masa kini. Penyakit ‘tidak pedulisme’ yang semakin menular dikalangan mahasiswa kini perlu segera diatasi kerana penyakit inilah yang menyempitkan pemikiran mahasiswa ketika ini. Sehubungan dengan itu, kita seharusnya mempersiap siagakan diri dengan segala macam ilmu pengetahuan dan pengalaman untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar.

Rakan mahasiswa yang saya sayangi,

Manifesto untuk membangunkan institusi kemahasiswaan dan menjadikan isu kebajikan anda sebagai prioriti utama tidak akan dibiarkan sekadar angin lalu, tetapi akan berusaha dilakukan sebaik mungkin untuk kebaikan kita bersama. Cadangan, teguran dan saranan daripada anda amatlah dialu-alukan sekiranya terdapat sebarang kekurangan dari pihak saya.

Rakan mahasiswa yang saya hormati,

Menyoroti sejarah penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, tegaknya kita berdiri sebagai warga universiti tercinta ini adalah dari titik peluh dan keringat harapan bangsa kita. Tertubuhnya Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu pada tahun 1992 bukan sekadar satu tradisi untuk mengembangkan sayap keilmuan sahaja malah untuk melahirkan insan kamil yang sentiasa konsisten berkhidmat untuk masyarakat dan meneroka lebih banyak ilmu dan peluang dalam bidang sains kesihatan untuk kesejahteraan semua.

Justeru itu, jangan sia-siakan masa yang masih bersisa di bumi UKM tercinta. Rebut segala peluang yang ada untuk mengembang dan menyerlahkan kehebatan potensi diri yang tersimpan selama ini. Kitalah pewaris bangsa, kitalah yang bakal menentukan halatuju negara! Akhir kata, saya percaya dengan sokongan anda semua, kita dapat bersama-sama membangunkan era perubahan bagi melakukan anjakan paradigma dalam diri mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu untuk menempa kecemerlangan bukan sahaja dalam dunia akademik malah menjadi ‘survivor’ dalam persaingan dan percaturan dunia di luar sana. Bersama-sama kita mampu melakukannya! Sekian terima kasih.

Salam Mahasiswa.

Bergerak seiringan,memacu perubahan.


Nur Ili Mohamad Tarmizi
Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu Sesi 09/10
Universiti Kebangsaan Malaysia

Rabu, Februari 03, 2010

MPP GMUKM : JELAJAH TAHUN BARU CINA


3 Februari, Rabu - Jelajah MPP GMUKM ke UKM Kampus Kuala Lumpur sempena Tahun Baru Cina disambut meriah oleh semua warga kampus. Siri jelajah MPP GMUKM sesi 09/10 ini, adalah buat julung kali pertamanya setelah menang Pilihan Raya Kampus pada 28 Januari yang lepas.

Pengedaran limau, kalendar dan 'bookmark' MPP GMUKM diadakan di kafe, ruang menunggu bas, dewan kuliah dan sekitar kawasan kampus.

Rombongan yang didatangkan khas dari Bangi ini telah diketuai oleh MPP Umum Mahasiswa Saudara Muhamad Faiz Bin Ismail bersama MPP-MPP yang lain saudara Nik Ahmad Shafie Bin Raja Daud (MPP FPI), saudara Khairul Anuar Bin Mat Lazim (MPP FPEND), saudara Sarzliana Binti Soaidin @ Djuhari (MPP FKAB), dan saudara Nabilah Binti Mohamad Maiyidin (MPP UMUM).



Turut sama turun padang sebagai tuan rumah, saudari Mariah Binti Zakaria (MPP FFAR) dan saudari Nur Ili Binti Mohamad Tarmizi (MPP FSKB).

Saudara Faiz, MPP GMUKM bagi kerusi Umum Tahun 3 dan 4 yang berjaya memperolehi undian paling tertinggi pada Pilihan Raya Kampus lepas, kelihatan gembira dalam menjalankan tugasnya.



Respon yang diberikan oleh mahasiswa UKM Kampus Kuala Lumpur cukup membanggakan, mereka gembira dengan kehadiran MPP GMUKM datang dari jauh semata-mata untuk menziarahi mereka sambil mengedarkan limau beserta kalendar dan 'bookmark', sumbangan ikhlas dari MPP GMUKM.




"dari MAHASISWA kepada MAHASISWA"


Dimaklumkan kepada wartawan GMUKM, kedatangan MPP GMUKM tersebut di sini pada pukul 12 tengahari dan berangkat pulang ke Bangi kira-kira jam 3 petang. Sebanyak 400 limau dan 300 keping kalendar dan 'bookmark' telah diedarkan baik kepada mahasiswa mahupun staff kakitangan UKM.

Untuk makluman semua, objektif bagi aktiviti turun padang pada kali ini ialah untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga UKM yang telah memberikan sokongan kepada MPP Mahasiswa pada Pilihan Raya Kampus yang baru sahaja melabuhkan tirainya.



Selain itu, sebagai tanda ucapan Selamat Tahun Baru Cina dan selamat menempuh peperiksaan pertengahan semester pada minggu hadapan. Kami di pihak GMUKM dan MPP GMUKM doakan yang terbaik, semoga sahabat-sahabat memperoleh kejayaan dalam setiap bidang yang diceburi".





Kepada fakulti-fakulti lain, MPP Mahasiswa akan turun ke sana suatu masa nanti dan tunggulah kemunculan pimpinan GMUKM untuk bersama mahasiswa, bersama kita rancakkan gelombang PERUBAHAN.

Ahad, Januari 31, 2010

BUKTI UMNO RASUAH UNIVERSITI



Terbongkar! Surat ini akhirnya jatuh kepada tangan mahasiswa. Tapi tiada tindakan tegas dikenakan, sebaliknya mahasiswa ditekan dan diugut. Di manakah keadilan? Golongan terpelajar hanya menjadi boneka bagi mereka yang berkepentingan.




Ini di UTHM, bagaimana pula universiti-universiti lain? UKM pula? Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Berhati-hatilah dan berwaspada, manusia mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan.

KEMPEN BESAR-BESARAN : BONGKAR PENYELEWENGAN PRK UKM

Sumber : Presiden GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia)



Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Berkenaan Pilihan Raya Kampus (PRK) UKM baru-baru ini yang banyak berlaku penyelewengan, pihak kami telah membuat aduan secara profesional. Namun, aduan kami hanya dibakul sampahkan. Justeru, saya menyeru sahabat-sahabat yang mempunyai ruang seperti blog, FB dan lain-lain, sila "publish"kan penyelewengan-penyelewengan ini secara besar-besaran. Biar semua orang tahu bahawa ada sekumpulan manusia yang sedang menindas mahasiswa di UKM.



Kepada pimpinan ASPIRASI dan CCC yang kononnya bijak mahu mengajar kami supaya menggunakan pendekatan "nego" dalam menyelesaikan masalah, jangan anggap kami bodoh. Jangan anggap kami selalu demontrasi sahaja. Kami sudah banyak kali "nego". Saya bersedia berdebat dengan mana-mana pimpinan ASPIRASI dan CCC dalam isu ini kerana kamu sudah banyak kali menipu mahasiswa lain terutama tahun satu dalam hal ini.



Mesti ASPIRASI akan kata "ini fitnah!". Ya, saya cabar kamu bawa kes ini, kita tribunalkan secara terbuka. Mana tahu, kamu boleh membawa kes ini ke tribunal yang kami juga inginkan kerana kamu ada KABEL BESAR.....



Ayuh sahabat-sahabat, rancakkan kempen ini..... Sebarkan.....





ADUAN KESALAHAN DALAM TEMPOH PEMBUANGAN UNDI DAN PENGIRAAN PERJALANAN BAGI PEMILIHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UKM SESI 09/10.


Berikut adalah antara tindakan yang telah dilakukan oleh pihak Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar di beberapa Kolej Kediaman.


Kolej Keris Mas.

1) Bermula jam 9 pagi salah seorang pelajar Fakulti Pengajian Islam Tahun 2 telah diberikan kertas undi bagi kerusi Fakulti Pengajian Islam tahun 3 sedangkan tiada pertandingan untuk kerusi Pengajian Islam tahun 2 kerana Menang Tanpa Bertanding. Merujuk kepada Perkara 29 Peraturan Pemilihan, calon yang menang tanpa bertanding akan diisytiharkan tiada pertandingan akan dijalankan.


Tindakan ini jelas menyalahi peruntukan ini yang boleh dianggap sebagai berniat jahat tujuan mengelirukan pengundi dan seterusnya menunjukkan ketidakcekapan Jawatankuasa Pelaksana kolej ini.



2) Jawatankuasa Pelaksana Kolej telah berterusan mencatat nombor siri yang tercatat pada kertas undi walaupun telah dibantah oleh Calon dan Wakil Calon secara terhormat kepada Pengetua yang bertindak sebagai Ketua Pusat Undi dengan merujuk kepada buku Peraturan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UKM 2009.


Merujuk kepada Perkara 43 (1) Peraturan Pemilihan MPP.,Kertas undi adalah rahsia dan hanya dapat dikeluarkan pada hari pembuangan undi sahaja. Lebih teruk lagi Calon dan Wakil Calon yang membuat bantahan telah ditekan dan dimarahi oleh Pegetua Kolej berkenaan. Tindakan Jawatankuasa Pelaksana di peringkat Kolej ini telah dengan jelas melanggar peruntukan dalam Peraturan ini walau dengan apa alasan sekalipun. Tindakan ini juga telah dengan jelas sebagai usaha memberikan tekanan kepada pengundi pengundi terutama pelajar pelajar tahun 1.



3) Pihak Felo telah memberikan arahan kepada JAKSA Kolej untuk membuka Kaunter SPKG yang telah menimbulkan keraguan dan ketegangan antara calon dan wakil wakil calon yang bertanding. Alasan yang digunakan untuk perkara ini adalah setiap siswa/I perlu mendaftar di kaunter SPKG tersebut dahulu sebelum mengundi dengan alasan pemberian merit untuk pelajar yang turun mengundi.


Ini adalah dikira sebagai penyalahgunaan kuasa oleh felo felo untuk tujuan yang salah. Merujuk kepada Perkara 48(3)(a) Peraturan Pemilihan , adalah tidak dibenarkan untuk mewujudkan pondok pondok panas sepanjang hari pengundian. Tindakan Felo felo dan JAKSA ini jelas telah melanggar peraturan dan menimbulkan ketegangan yang gagal di tangani walaupun aduan telah dibuat kepada Jawatankuasa Pelaksana peringkat kolej.



4) Tindakan diatas juga telah menimbulkan pertelingkahan yang buruk antara calon dan wakil calon dengan pihak Pegawai Keselamatan peringkat atasan sendiri iaitu Ketua Pegawai Keselamatan yang merupakan Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP merujuk kepada Perkara 5 (2)(i) yang bertindak bias atau berat sebelah selepas gagal menangani isu ini sehingga jam 5.00 petang.



5) Tindakan mewujudkan Kaunter SPKG ini juga telah dikesan dengan tujuan yang menyalahi Peraturan 48(3)(b) dan (c) yang mana Kaunter tersebut telah digunakan untuk berusaha meraih undi kepada pihak pihak tertentu dan juga bagi tujuan mengedar senarai nama nama calon yang bertanding. Kewujudan kaunter SPKG ini telah disahkan oleh YDP JAKSA kolej ini iaitu Saudara Faizul Imran Bin Nadzri melalui notis yang di cop olehnya dan ditampal di dinding Kolej berkenaan.




6) JAKSA kolej Keris Mas juga telah bertindak memakai baju yang sama berlabel “Aspirasi” bagi tujuan meraih undi dan memberi tekanan kepada para pengundi, Calon dan Wakil Calon sepanjang tempoh hari pengundian. Perkara ini telah melanggar Perkara 48(2) yang melarang menunjukkan identiti yang melambangkan identiti sebuah kumpulan seperti pakaian, tanda nama dan lain lain.


Perkara ini telah diadu dan dibantah kepada Ketua Pusat Undi iaitu Pengetua Kolej sendiri oleh calon calon tetapi tidak dapat diselesaikan malahan tekanan diberikan kepada Calon yang mengadu dan membantah. (baca lanjut)








Kolej Burhanuddin Helmi.

1) Pihak JAKSA kolej bersama beberapa kumpulan pelajar telah bertindak mengedarkan senarai nama nama calon kepada pelajar pelajar Tahun 1 sebagai tekanan meraih undi kepada pengundi. Pelajar adalah dilarang untuk memancing undi sepanjang hari pengundian dengan merujuk kepada Perkara 23 Buku Panduan Calon Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar 2009.


Walaupun perkara ini telah dibantah oleh Calon dan Wakil CAlon, namun perkara ini masih lagi berterusan berlaku dan Wakil Calon dan Calon pula yang diberi tekanan apabila membuat bantahan.




2) Jawatankuasa Pelaksana Kolej telah berterusan mencatat nombor siri yang tercatat pada kertas undi walaupun telah dibantah oleh Calon dan Wakil Calon secara terhormat kepada Pengetua yang bertindak sebagai Ketua Pusat Undi dengan merujuk kepada buku Peraturan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UKM 2009. Merujuk kepada Perkara 43 (1) Peraturan Pemilihan MPP.,Kertas undi adalah rahsia dan hanya dapat dikeluarkan pada hari pembuangan undi sahaja.


Lebih teruk lagi Calon dan Wakil Calon yang membuat bantahan telah ditekan dan dimarahi oleh Pegetua Kolej berkenaan. Tindakan Jawatankuasa Pelaksana di peringkat Kolej ini telah dengan jelas melanggar peruntukan dalam Peraturan ini walau dengan apa alasan sekalipun. Tindakan ini juga telah dengan jelas sebagai usaha memberikan tekanan kepada pengundi pengundi terutama pelajar pelajar tahun 1




3) Semasa proses pengiraan undi dijalankan, Pengetua sebagai Ketua Pusat Undi telah melakukan tindakan yang meragukan Calon dan Wakil Calon yang mengira undi. Tindakan Pengetua Kolej iaitu Prof.Madya Dr.Kadderi Md.Desa.





Kolej Tun Hussin Onn.

1) Pengundi pengundi tahun 3 Fakulti teknologi dan Sains Maklumat telah tidak dibenarkan untuk mengundi atas alasan kerusi yang dipertandingkan adalah bagi pelajar tahun 1 dan 2 sahaja. Mereka hanya diberikan 1 kertas undi sahaja iaitu bagi memilih Caloon Umum.



2) Semasa Pengiraan Undi dijalankan, tiada penyelarasan untuk memisahkan undi yang rosak. Ada diantara kertas undi yang rosak diterima tanpa sebab yang munasabah dan tanpa persetujuan daripada calon wan wakil kira undi calon.




3) Terdapat sekumpulan pelajar yang masih lagi meraih undi disekitar kawasan kolej dengan menunjukkan identity perkumpulan dan berusaha mengedar risalah senarai nama calon sepanjang hari pengundian.






Kolej Ibrahim Yaakob.

1) Jawatankuasa Pelaksana Kolej telah berterusan mencatat nombor siri yang tercatat pada kertas undi walaupun telah dibantah oleh Calon dan Wakil Calon secara terhormat kepada Pengetua yang bertindak sebagai Ketua Pusat Undi dengan merujuk kepada buku Peraturan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UKM 2009. Merujuk kepada Perkara 43 (1) Peraturan Pemilihan MPP.


Kertas undi adalah rahsia dan hanya dapat dikeluarkan pada hari pembuangan undi sahaja. Lebih teruk lagi Calon dan Wakil Calon yang membuat bantahan telah ditekan dan dimarahi oleh Pegetua Kolej berkenaan. Tindakan Jawatankuasa Pelaksana di peringkat Kolej ini telah dengan jelas melanggar peruntukan dalam Peraturan ini walau dengan apa alasan sekalipun. Tindakan ini juga telah dengan jelas sebagai usaha memberikan tekanan kepada pengundi pengundi terutama pelajar pelajar tahun 1.




2) Salah seorang pelajar tahun 2 Fakulti Sains dan Teknologi hanya diberikan kertas undi bagi memilih calon kerusi umum sahaja tanpa diberikan kertas undi Fakulti. Tindakan ini telah menimbulkan keraguan kepada pengundi, Calon dan wakil calon di kolej berkenaan.






Pusat Pembuangan Undi di Pusaneka.

1) Pusat pembuangan undi ini telah dibuka lewat iaitu sekitar jam 8.20 pagi. Ini telah menimbulkan masalah kepada pelajar pelajar yang ingin mengundi. Tempoh waktu pembuangan undi adalah dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.



Secara umumnya, terdapat banyak salahlaku yang ditelah dikesan yang dilakukan diperingkat Kolej Kediaman dan kebanyakan daripadanya gagal ditangani dengan baik oleh Pengetua yang bertindak sebagai Ketua Pusat Undi. Kebanyakan tindakan ini telah memberikan tekanan kepada para pengundi, Calon dan Wakil Calon sepanjang tempoh Pengundian dan Pengiraan Undi yang berlangsung semalam bersamaan 28 Januari 2010.


Masalah catatan nombor siri ini berlaku hampir di kesemua kolej kediaman yang dikawal oleh Pengetua pengetua tetapi perkara ini tidak berbangkit sama sekali di Pusat Pembuangan Undi di Pusaneka yang diuruskan oleh Jawatankuasa Pelaksana daripada Fakulti fakulti.



Atas sebab-sebab inilah dan banyak sebab-sebab yang lain yang tidak dikemukakan diperingkat kami merasakan perlu melakukan beberapa tindakan,baik dari segi rundingan dan majlis-majlis penerangan kepada mahasiswa terutamanya.



Kepada mahasiswa sekalian, marilah kita terus menyatakan sokongan kita menolak kezaliman dan penipuan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu dalam mencatur politik kampus saban tahun.

DI MANA KEADILAN?



SUARA MAHASISWA!!





Bukan sengaja kami membantah
Bukan sengaja kami mendesak
Bukan juga untuk melawan
Hanya kerana
Kami inginkan kebenaran
Kami inginkan keadilan
Kami mahu ketelusan dan bukannya penindasan
Bukan juga penipuan
Apatah lagi ugutan dan paksaan
SPKG dan ugutan buang kolej menjadi alat
Polis, FRU, dan pengawal keselamatan hanya pak turut
Hentikan semua itu


Kerana kami bukannya boneka
Dan bukan juga untuk diperkudakan
Kami tidak redha akan kezaliman
Kami tidak akan berdiam diri
Kami akan tetap pertahankan
Walau sesekali terjatuh dan tersungkur
Walau halangan datang melanda
Kami tidak akan berundur walau selangkah
Tidak sesekali!


Kerana kami adalah mahasiswa
Hak kami sebagai mahasiswa!
Hak kami mesti dipertahankan
Yang benar tetap benar
Yang salah tetap salah
Tuhan bersama orang yang benar!
Tunggulah saat itu
Saat kebangkitan mahasiswa
Dan beroleh kemenangan!


Ya Tuhan kami,
Tetapkan hati kami untuk terus berjuang
Tunjukkan kebenaran, hapuskan kebatilan
Hancurkan kezaliman!
Hancurkan kezaliman!
Hancurkan kezaliman!

Sabtu, Januari 30, 2010

SIAPA YANG TIDAK MATANG? MENTERI ATAU MAHASISWA?




Pengerusi pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Malaya (UM), Mohd Shafie Hashim menyelar kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin yang menyifatkan tindakan sekumpulan mahasiswa berdemonstrasi di hadapan pejabat Naib Canselor UM semalam selepas kalah pada pilihan raya kampus (PRK) sebagai tidak matang.



Shafie sebaliknya mendakwa kenyataan Khaled itu membuktikan bahawa Menteri itu bukan seorang pemimpin rakyat dan mempunyai ego serta tidak ada prikemanusiaan terhadap penindasan.


“Jika begitu, sebenarnya Dato Khaled juga tidak matang kerana mengeluarkan kenyataannya tanpa menyelami apa yang mahasiswa rasai,” katanya menerusi kenyataan akhbarnya hari ini.


Shafie berkata pro-M jelas dengan prinsip perjuangannya yang hanya mahu menegakkan keadilan dan menghancurkan kezaliman terhadap apa sahaja yang berlaku.






Salah tetap salah

“Pro-M tidak bias (berat sebelah) pada mana-mana pihak, yang salah tetap salah, yang benar tetap benar! Dalam konteks pilihan raya Kampus di UM kali ini, kita berhadapan dengan sistem E-voting yang masih baru dan diragui lagi ketelusan dan integriti yang tiada pada pengendalian dan pengurusan sistem berkenaan,” katanya.


Menurut Shafie lagi pro-M berhadapan dengan pentas perlawanan yang tidak adil sehingga berlaku banyak penindasan yang sangat teruk.


Katanyai, “menang kalah bukan ukuran, tetapi mahasiswa tegas dan tetap pendirian di atas perjuangan untuk mepertahankan kebenaran dan keadilan sehingga menumbangkan segala kezaliman dan penindasan.”










Pro-M tidak matang


Semalam, Bernama melaporkan Khaled sebagai berkata tindakan sekumpulan mahasiswa UM yang berdemonstrasi di hadapan pejabat Naib Canselor selepas kalah pada PRK Khamis lalu sebagai tidak matang.


Katanya, kumpulan Pro-M perlu menerima kekalahan dan menghormati pilihan majoriti kerana PRK merupakan suatu proses demokrasi.


"Kalau tak berani terima kekalahan, buat apa nak bertanding," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas tindakan penyokong kumpulan Pro-M yang berhimpun dan membantah keputusan PRK yang memihak kepada kumpulan Pro-Aspirasi.


Mengenai desakan Pro-M supaya PRK diadakan semula melalui kaedah biasa dan menghapuskan sistem e-undi, Khaled berkata permintaan itu tidak dapat diterima sekiranya isu yang dibangkitkan itu tidak berasas.


Bagaimanapun, katanya, naib canselor universiti berkenaan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.


Ditanya kemungkinan kumpulan pelajar terbabit dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, beliau berkata perkara itu terserah kepada pihak pentadbiran universiti itu untuk menentukannya.












Keputusan PRK digantung


Kekecohan memuncak selepas pengumuman PRK malam Khamis yang lalu dengan beberapa kumpulan pelajar mendakwa berlakunya penyelewengan.


Kekecohan berlarutan sehingga pagi semalam yang menyaksikan rundingan lebih empat jam terpaksa diadakan oleh pentadbiran UM yang diketuai oleh naib canselornya Gauth Jasmon dengan kumpulan pelajar.


Turut hadir bersama rundingan semalam ialah bekas presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Ridzuan Mohammad.


Menurut beliau, bagi mengendurkan ketegangan naib canselor bersetuju menggantung buat sementara semua keputusan pilihan raya kampus UM sementara meninggu siasatan lanjut dijalankan.


Gauth juga dikatakan bersetuju membenarkan kumpulan pro-M untuk melantik perunding bagi menguji sistem e-undi yang didakwa mereka dimanipulasikan.






Keadaan di Universiti Malaya tegang


Sekiranya semua tuduhan berkenaan berasas, Ghauth bersetuju pilihan raya kampus harus diadakan semula.


Ghauth juga berjanji akan menyiasat dakwaan yang timbalan naib canselor, Azarae Idris menyalah-gunakan kedudukannya dan terbabit memanipulasikan pilihan raya itu.


Selepas pengumuman butiran perbincangan itu, kumpulan pro-M berarak ke Dewan Tunku canselor untuk meraikan keputusan berkenaan.


Mereka juga menghempas sebuah komputer sebagai melambangkan bantahan terhadap pengundian e-undi dan membawa komputer itu berarak di seluruh kampus.


Pada masa yang sama, mahasiswa berkenaan turut membakar akhbar Kosmo yang didakwa membuat laporan tidak tepat berhubung jumlah kerusi yang dimenangi mereka.


Sebelum ini, lebih 200 pelajar dari kumpulan pro-M yang tewas khamis lalu juga mengugut akan mengadakan demonstrasi jalanan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.


Antara tuntutan awal mereka ialah supaya pilihan raya kampus diadakan semula dan pembatalan pengundian secara berkomputer atau e-undi.


Pada PRK itu, kumpulan pro-A berjaya menguasai Universiti Malaya dengan menyapu 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi oleh pro-M.


Tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas. Dua daripada calon itu kemudiannya menyatakan sokongan kepada kumpulan Aspirasi.





....................................................

Di UKM siapa yang pula yang tidak matang, pentadbiran atau mahasiswa?
Jika sekalipun mahasiswa tidak matang, pihak pentadbir perlu tunjukkan contoh terbaik dengan bertindak secara matang bukan membawa FRU dan polis masuk.

Catatan Popular

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Ayuh mahasiswa, bangkit!!!

Dah daftar belum?

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites